lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sultan Terengganu Berkenan Mencemar Duli Sertai Sultan Mizan Cup 2025
Sultan Terengganu Berkenan Mencemar Duli Sertai Sultan Mizan Cup 2025
SETIU, 13 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai acara kuda lasak Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, petang tadi. Baginda telah berkenan menyertai kategori Championship Endurance National (CEI) 2*120 Kilometer (KM). Sebanyak empat kategori dan tiga jarak laluan telah dipertandingkan yang melibatkan kategori CEI 2* 120 KM,  CEI 1* 100 KM, CEYJ 1* 100 KM dan CEN 80 KM. Kejuaraan kali ini dengan penyertaan seramai 128 peserta turut menampilkan penyertaan daripada Malaysia serta tujuh negara luar, termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, China, Jepun, Belarus dan Rusia. Mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan bersarungkan rompi biru bernombor sembilan, Sultan Terengganu bersama tunggangan pilihannya iaitu seekor kuda kelabu bernama M M Daykir, bersedia menentang 22 pencabar lain dalam kategori sama. Turut kembali bersama pasukan Unit Berkuda PDRM petang tadi ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husian, selaku penunggang bernombor 153 yang beraksi dalam kategori CEN 80KM bersama kudanya, Gelding. Perlumbaan yang bermula di litar berkeluasan 47 hektar dalam daerah Setiu itu dilepaskan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5 petang. Dengan jangkaan lebih 12 jam, perlumbaan tersebut dijadualkan untuk melabuhkan tirai seawal 5.20 pagi esok.  
13 Sep 25
173
Muktamar PAS Fokus Ekonomi, Sosial dan Keharmonian Kaum
Muktamar PAS Fokus Ekonomi, Sosial dan Keharmonian Kaum
HULU TERENGGANU, 13 September – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan Muktamar Agung PAS kali ini amat signifikan kerana berlangsung hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), sekali gus menjadi medan penting untuk memperdebatkan isu ekonomi, sosial, keharmonian kaum serta hala tuju parti sebagai kuasa politik nasional. Menteri Besar Terengganu itu berkata, perbahasan muktamar dijangka menumpukan pengukuhan dalaman parti serta agenda besar yang menyentuh masa depan negara.  “Kita percaya bahawa Muktamar kali ini adalah Muktamar yang begitu hampir dengan pilihan raya umum ke-16. "Jadi tentunya selain daripada pengukuhan parti, dan untuk meletakkan parti PAS di persada negara dan nasional sebagai parti yang berkaliber dan ada keupayaan untuk memimpin negara, sudah tentulah ini antara perkara yang akan diperbahaskan," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini. Menurutnya lagi, perbahasan kali ini bukan hanya menilai kekuatan PAS, tetapi turut memperhalusi dasar-dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.  "Dari aspek sosialnya, dari aspek ekonomi, dari aspek keharmonian kaum, dan apa yang perlu dilaksanakan oleh kepimpinan parti. "Jadi ia akan jadi lebih inklusif, apa yang diperjuangkan oleh PAS ini, untuk membawa PAS bersama dengan rakan muafakat politik," katanya.  Ahmad Samsuri menegaskan bahawa kejayaan dalam PRU-16 tidak akan tercapai sekiranya PAS bergerak bersendirian tanpa dukungan rakan sekutu politik.  "Kita tidak mahu menjadi single parti yang mengadakan usaha dalam pilihan raya nanti. "Kita percaya kemenangan boleh dicipta dalam pilihan raya akan datang jika sekiranya kita memperkukuhkan muafakat politik, dan mempereratkan kerjasama di seluruh negara," ujarnya.  
13 Sep 25
72
Dah Sampai Masa PAS Terajui PN – Dr Sam
Dah Sampai Masa PAS Terajui PN – Dr Sam
HULU TERENGGANU, 13 September – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan sudah tiba waktunya PAS diberi mandat untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) sebagai peneraju blok pembangkang, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan politik tanah air. Menteri Besar Terengganu itu berkata, pandangan daripada pelbagai pihak termasuk sayap-sayap parti akan diberi perhatian serius menjelang mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat esok.  "Kita pantau pandangan-pandangan yang diberikan oleh pihak di luar sana termasuk daripada sayap-sayap parti yang telah mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka.  "Saya percaya cadangan tersebut adalah satu perkara penting yang akan dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS pusat pada hari esok," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menekankan bahawa Muktamar PAS Pusat yang bermula Isnin ini bakal menjadi medan perbincangan besar mengenai hala tuju parti dalam PN.  "Pada hari Isnin akan bermula muktamar agung PAS Pusat. "Saya rasa sudah sampai waktu dan ketikanya untuk PAS berbincang dengan rakan muafakat politik untuk PAS pula mengambil alih dan mengetuai kerusi ini secara muafakat politik," jelasnya.
13 Sep 25
530
24 Pasangan Mempelai Marang Dirai Meriah
24 Pasangan Mempelai Marang Dirai Meriah
MARANG, 13 September– Program Walimatulurus Perdana 2025 kembali mewarnai suasana dengan penuh barakah apabila seramai 24 pasangan daerah ini dirai pada majlis yang penuh bermakna di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini. Program yang berlangsung serentak di seluruh Negeri Terengganu itu turut menyaksikan 192 pasangan diraikan, menjadikan penganjuran kali ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata,  tujuan majlis ini adalah untuk meringankan beban pasangan pengantin serta memupuk suasana kekeluargaan masyarakat melalui perkahwinan yang diurus secara berjemaah. "Tahniah diucapkan kepada semua pasangan pengantin yang diraikan. Semoga kehidupan berumah tangga mereka dilimpahi keberkatan, dipenuhi mawaddah, sakinah dan rahmat Allah hingga ke syurga," ujarnya. Beliau turut mengingatkan pasangan mempelai agar sentiasa bersabar, bersikap tolak ansur serta menggunakan kebijaksanaan dalam mengharungi cabaran kehidupan berumahtangga.
13 Sep 25
125
Dungun Antara Penyertaan Terbanyak Walimatulurus Perdana 2025
Dungun Antara Penyertaan Terbanyak Walimatulurus Perdana 2025
DUNGUN, 13 September – Daerah Dungun muncul antara lapan daerah dengan penyertaan terbanyak apabila seramai 30 pasangan pengantin selamat diijabkabulkan dalam Program Walimatulurus Perdana 2025 yang berlangsung hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, penganjuran itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi memudahkan pasangan muda mendirikan rumah tangga, selain memastikan mereka memulakan kehidupan berkeluarga dengan lebih teratur dan diberkati. “Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW. Baginda bersabda, wahai anak muda, sesiapa antara kamu yang mampu berkahwin maka berkahwinlah. Nikah itu sunnahku, dan siapa yang tidak menyukainya maka dia bukan daripada golonganku. “Justeru, kita mahu anak-anak muda Terengganu menyahut seruan ini dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Dungun, Lizan Che Mat; Pegawai Agama Daerah Dungun, Ahadi Othman; serta Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Daerah Dungun, Ahmad Faris Abdul Razak. Menurut Satiful, perkahwinan bukan sekadar lafaz akad nikah, sebaliknya amanah besar yang bakal dipersoalkan di hadapan Allah SWT. “Apabila seorang lelaki menyebut ‘aku terima nikahnya’, itu bukan hanya menerima pasangan, tetapi menerima satu amanah dunia hingga akhirat. “Maka setiap suami dan isteri perlu saling memahami, bersabar dan tidak mudah melafazkan perceraian, kerana talak adalah perkara yang paling dibenci Allah,” jelasnya. Beliau turut mengingatkan pasangan agar tidak takut memiliki zuriat hanya kerana bimbang soal kewangan. “Rezeki adalah ketentuan Allah. Rasulullah SAW menyebut bahawa umat Baginda yang ramai adalah kebanggaan di akhirat. “Maka janganlah kita gusar untuk berzuriat, kerana setiap anak adalah rezeki yang membawa keberkatan,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah, Pejabat Agama Daerah, agensi kerajaan, serta para sukarelawan yang menjayakan program tersebut. Secara keseluruhan, Program Walimatulurus Perdana 2025 melibatkan 192 pasangan pengantin dari lapan daerah seluruh Terengganu, dengan Dungun mencatatkan 30 pasangan.  
13 Sep 25
111
Tarif Baharu Air Tidak Jejas Majoriti Pengguna di Terengganu – SATU
Tarif Baharu Air Tidak Jejas Majoriti Pengguna di Terengganu – SATU
KUALA TERENGGANU, 13 September – Syarikat Air Terengganu (SATU) menegaskan pelaksanaan tarif baharu air tidak memberi kesan besar kepada majoriti pengguna domestik di negeri ini, sebaliknya hanya melibatkan segelintir yang menggunakan lebih 50 meter padu (m³) sebulan. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, purata penggunaan isi rumah di Terengganu sekitar 27.5 hingga 30m³ sebulan bagi sebuah keluarga empat orang, sekali gus meminimumkan kesan kenaikan tarif. "Tidak benar berlaku kenaikan sekali ganda sebagaimana ditularkan. Hanya segelintir pengguna yang menggunakan air melebihi 50m³ sebulan akan nampak perbezaannya," katanya ketika dihubungi.  Beliau menjelaskan kadar tarif air domestik di Terengganu masih antara terendah di negara ini, dengan caj RM0.66 semeter padu bagi penggunaan bawah 20m³ berbanding sehingga RM1.05 di beberapa negeri lain. Katanya, bagi blok 20 hingga 35m³, caj di Terengganu ialah RM1.69 semeter padu, lebih rendah berbanding Johor (RM2.35), manakala bagi penggunaan melebihi 35m³ pula dikenakan RM2.25 semeter padu berbanding RM3.50 di Johor serta RM3.51 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. "Ini jelas menunjukkan kadar tarif air di Terengganu masih kompetitif malah lebih rendah berbanding banyak negeri lain. “Sebagai contoh, penggunaan 30m³ sebulan hanya dicaj 20m³ pertama pada kadar RM0.66 dan baki 10m³ berikutnya pada RM1.69. Jumlah caj sebenar jauh lebih rendah berbanding angka yang ditularkan,” ujarnya. "Dengan kaedah blok ini, jumlah caj sebenar adalah lebih rendah daripada jumlah yang ditularkan," katanya. Dalam pada itu, Abdul Karim menolak dakwaan kononnya 75 peratus rumah di Terengganu akan mengalami kenaikan purata bil bulanan sebanyak RM37 sebagaimana tersebar di media sosial. “Itu tidak benar sama sekali. Pengguna boleh semak sendiri dengan kalkulator bil air yang disediakan dalam laman SATU untuk melihat anggaran caj sebenar," ujarnya. Mengikut rekod tambah beliau, terdapat 293,519 akaun pengguna domestik di Terengganu dengan 40 peratus menggunakan air tidak melebihi 20m³ sebulan, 19 peratus sehingga 30m³ dan 21 peratus sehingga 45m³. "Selain itu, empat peratus menggunakan sehingga 50m³, 12 peratus sehingga 80m³, manakala dua peratus masing-masing menggunakan sehingga 100m³ dan lebih 100m³. "Bagi kategori penerima subsidi 20m³ percuma, 32 peratus pengguna berada dalam tahap penggunaan tidak melebihi 20m³, manakala 68 peratus lagi melebihi kadar tersebut. “Berdasarkan data ini, majoriti pengguna berada dalam kategori penggunaan rendah hingga sederhana, manakala hanya sebilangan kecil yang berdepan kesan ketara,” jelas beliau. Tambahnya, pelarasan tarif air diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui mekanisme penetapan tarif (TSM) selepas mengambil kira kos operasi, kewangan serta keperluan penambahbaikan berperingkat bagi menjamin kelestarian bekalan air di Terengganu.
13 Sep 25
64
Sukan Pushbike, Lumba Sekadar Suka-suka?
Sukan Pushbike, Lumba Sekadar Suka-suka?
KUALA TERENGGANU, 13 September - Terengganu Pushbike Cup 2025 yang membuka tirai kejohanan hari ini, menyaksikan seramai 315 pelumba cilik mengambil bahagian. Berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), sebanyak 21 kategori dipertandingkan selama dua hari kejohanan sehingga esok. Namun, sejauh mana potensi dan hala tuju sukan ini yang menumpukan penyertaan seawal usia dua tahun hingga ke 12 tahun sahaja? Pengarah Program Terengganu Pushbike 2025 merangkap wakil M8 Malaysia, Mohd Zul Fadhli Mohamed bagaimanapun menegaskan bahawa sukan pushbike bukan semata-mata sukan dua roda, sebaliknya ia merupakan platform pembinaan bakat pelbagai sukan lain. Jelasnya, perkembangan sukan ini di kalangan peringkat awal kanak-kanak adalah satu perkara yang sangat baik. "Sebenarnya sukan ini adalah salah satu implementasi sains sukan yang mana kita bina dan kembangkan bakat anak-anak ini sebagai persediaan ke sukan-sukan lain. "Kita telah mula berkembang di Malaysia, namun di Indonesia dan Thailand lebih awal. "Menerusi sukan pushbike, ia ada pembinaan disiplin, persediaan latihan, fokus, mentaliti juara. Bayangkan dalam umur tiga tahun, mereka boleh fokus dengar arahan. "Kalau kata kita telah capai satu tahap matang, kita sebenarnya telah menyediakan satu kumpulan bakat untuk pelbagai sukan," katanya ketika ditemui di lokasi kejohanan, hari ini. Tambahnya, ada beberapa pelumba pushbike telah berjaya menyertai sukan motosikal mini GP(mini moto) setelah tamat usia matang berlumba pushbike. "Alhamdulillah, PSKT menyokong penuh sukan ini ditambah lagi dengan selaras kesesuaian sukan ini dalam pembangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sebab ia ada unsur fizik, aerodinamik dan sebagainya. "Kita ada perbincangan dengan PSKT untuk adakan pushbike bertaraf antarabangsa di peringkat Terengganu dan ia masih di peringkat awal, bahkan pihak mereka turut menyatakan usaha untuk mewujudkan litar khusus buat sukan pushbike," ujarnya. Dalam pada itu, ketua pegawai eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim turut bersetuju dengan kenyataan itu. "Perancangan bersama penganjur M8 Bike sedang diusahakan untuk mengadakan litar tetap bagi latihan dan menganjurkan kejohanan. "Kita bersama kerajaan negeri akan mengenalpasti lokasi yang menarik dan paling utama apabila melibatkan kanak-kanak, kita memerlukan satu litar dengan spesifikasi keselamatan yang terjamin," jelasnya. Beliau menambah, pemilihan sukan pushbike sebagai antara tanda dagang (trademark) PSKT mempunyai beberapa sebab tersendiri. "Sukan pushbike melibatkan koordinasi motor yang berkait rapat dengan biologi dari segi pergerakan ketika berlumba, tentang bagaimana mereka dapat mengawal sistem saraf secara harmoni. "Apabila dilatih seawal usia dua tahun, kita berupaya melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan berkualiti. "Apabila kita bercakap untuk melahirkan kanak-kanak yang cergas dan cerdas, bukan itu sahaja. "Kita juga ingin membantu kerajaan negeri menyediakan pelapis di peringkat negeri dan negara," katanya.
13 Sep 25
84
Terengganu Dinobat Negeri Paling Bahagia 2024
Terengganu Dinobat Negeri Paling Bahagia 2024
KUALA TERENGGANU, 12 September - Terengganu dinobat sebagai negeri paling bahagia di Malaysia apabila mencatat skor 8.64 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Kejayaan itu meletakkan Terengganu dalam kategori sangat bahagia sekali gus menggambarkan kesejahteraan sosial dan kualiti hidup yang tinggi di negeri Pantai Timur itu. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Johor muncul di tempat kedua dengan skor 8.08 manakala Negeri Sembilan ketiga dengan 8.01. “Bagi peringkat daerah, Kluang, Johor merekodkan skor tertinggi di seluruh negara iaitu 9.83, diikuti Raub, Pahang (9.52) dan Mersing, Johor (9.50). “Secara keseluruhan, sebanyak 36 daerah berada dalam kategori sangat bahagia dengan skor antara 8.02 hingga 9.83,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, laporan MHI kali ini adalah yang pertama diterbitkan secara terperinci sehingga ke peringkat negeri dan daerah, membolehkan penilaian kebahagiaan dibuat lebih bersasar berpandukan realiti setempat. Beliau menjelaskan, MHI 2024 dibangunkan berdasarkan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang menilai tahap kebahagiaan melalui empat dimensi utama iaitu fizikal, sosial, emosi dan spiritual. Secara keseluruhan, Malaysia mencatat skor kebahagiaan 7.60 yang meletakkan negara dalam kategori bahagia. “Perbandingan antara kawasan bandar (7.61) dan luar bandar (7.56) menunjukkan jurang yang kecil, mencerminkan keseimbangan pembangunan dan kualiti hidup. “Komponen keagamaan dan kerohanian menjadi penyumbang terbesar kepada kebahagiaan dengan skor 8.69, manakala faktor keluarga di tempat kedua dengan 8.64,” ujarnya. Bagaimanapun katanya, kebudayaan (6.22) dan emosi (6.40) dikesan berada pada tahap paling rendah, memberi isyarat perlunya perhatian terhadap aspek kesejahteraan emosi serta penghayatan budaya dalam dasar sosial negara. Tambah beliau lagi, dari sudut demografi, wanita dilaporkan lebih bahagia (7.62) berbanding lelaki (7.57). Golongan muda berusia 15 hingga 19 tahun pula merekodkan skor tertinggi iaitu 7.79, manakala warga emas 65 tahun ke atas mencatatkan skor 7.54. Mohd Uzir berkata, dapatan itu membuktikan rakyat Malaysia kekal optimis serta mempunyai daya tahan kolektif yang kuat dalam mendepani cabaran global. “Indeks ini akan menjadi rujukan penting untuk pihak berkuasa merancang strategi meningkatkan kualiti hidup rakyat mengikut keperluan negeri dan daerah,” katanya.
12 Sep 25
822
PSKT Dok Rilek, Himpun 315 Pelumba Cilik
PSKT Dok Rilek, Himpun 315 Pelumba Cilik
KUALA TERENGGANU, 12 September - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) kembali hangat minggu ini dengan kehadiran lebih 300 pelumba cilik dari dalam dan luar negara yang akan berentap bermula esok. Kali ini, PSKT menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Terengganu Pushbike 2025 yang menampilkan penyertaan dari (5 peserta) Indonesia, Thailand(23) dan Singapura(5). Lebih menarik, sepanjang dua hari kejohanan PSKT menyediakan pakej istimewa memasuki galeri PSKT serendah RM15 sahaja. Menurut pengarah program Terengganu Pushbike, Mohd Zul Fadhli Mohamed, sebanyak 315 peserta berumur antara dua hingga sembilan tahun akan bertanding dalam 21 kategori sepanjang dua hari kejohanan. "Lapan kategori bagi hari pertama esok (campuran), manakala 13 kategori pada hari kedua. "Tahun ini kita sediakan lebih kurang 300 meter bagi kategori empat tahun ke atas, tetapi untuk bawah tiga tahun kita akan pendekkan sedikit. Antara pelumba yang mencuba litar sebelum kejohanan, hari ini. "Paling menjadi tumpuan tentulah kategori terbuka dan biasanya lebih sengit kerana pelumba semua telah matang dan berkemahiran," katanya ketika ditemui selepas sesi percubaan litar, hari ini. Dalam pada itu, seiring kejohanan ini turut diadakan pelbagai acara sampingan. Antaranya ialah pertandingan mewarna, persembahan dikir barat, pertunjukan maskot, forum sains dan acara pentas yang menampilkan Sham Visa, Shidi DATA dan Ustaz Elyas Ismail. Pertandingan mewarna menjadi salah satu acara sampingan yang diadakan.  
12 Sep 25
269
Tingkat 48 Peratus Pelajar Baharu Bukti Masyarakat Yakin Terhadap UC TATI
Tingkat 48 Peratus Pelajar Baharu Bukti Masyarakat Yakin Terhadap UC TATI
KUALA TERENGGANU, 11 September – Universiti Kolej TATI (UC TATI) mencatatkan peningkatan kemasukan pelajar baharu sebanyak 48 peratus bagi ambilan Julai lalu, iaitu seramai 312 orang berbanding tahun sebelumnya. Rektor Universiti College TATI (UC TATI) Prof. Ir. Dr Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, peningkatan ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan UC TATI sebagai institusi pendidikan tinggi yang menawarkan pengajaran berkualiti, suasana kampus kondusif dan program pengajian  relevan dengan keperluan semasa. “UC TATI terus mengukuhkan kedudukan apabila berjaya tersenarai dalam TOP 3 MQA Awards 2025 (Internal Quality Assurance) Higher Education Provider Excellence Award. “Selain itu, UC TATI turut mendapat kelulusan untuk melaksanakan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Kampus Bandaraya Kuala Terengganu dan program Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Teknologi Maklumat di Kampus Induk Kemaman,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini. Selaras dengan visi, pelajar baharu diseru untuk membiasakan diri dengan budaya ilmu, menanam semangat ingin tahu dan berfikiran kritis.  Selain itu, mereka juga diingatkan agar menghormati pensyarah, menghargai rakan dan mengurus masa dengan bijak kerana kejayaan individu adalah sebahagian daripada kejayaan UC TATI. “⁠Teruskan berusaha dengan ilmu, integriti dan semangat perpaduan. Kekalkan budaya positif, saling menyokong, dan jadikan cabaran sebagai peluang untuk maju. Bersama kita angkat nama UC TATI ke peringkat lebih tinggi. “UC TATI memberi fokus kepada pengajaran berkualiti, pembinaan karakter graduan yang seimbang, serta penerapan nilai profesionalisme,” tambah beliau. Dengan komitmen berterusan terhadap peningkatan infrastruktur, kemudahan pembelajaran moden dan penekanan kepada nilai integriti serta perpaduan, justeru itu, UC TATI bertekad untuk terus melangkah sebagai sebuah institusi pengajian tinggi berprestij di peringkat nasional.
11 Sep 25
235