lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sultan Mizan Pimpin RTES Ungguli Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
Sultan Mizan Pimpin RTES Ungguli Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
SETIU, 14 September – Keunggulan sukan berkuda lasak sekali lagi tersemat dalam lipatan sejarah apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berangkat memimpin pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) hingga berjaya meraih kejuaraan berpasukan dalam acara CEI 2* 120KM Kejohanan Antarabangsa Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong. Pasukan RTES yang dianggotai oleh Sultan Mizan, Tengku Muhammad Syukri Tengku Mahmood, Jasryn Jaffly dan Muhammad Aizad Mohd Riduan dinobatkan sebagai pasukan terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM25,000 berserta trofi dan pingat yang disempurnakan pengurniannya oleh baginda sendiri. Dalam acara individu, Sultan Mizan yang beradu tenaga di bawah panji RTES, menamatkan perlumbaan penuh cabaran itu dengan catatan masa tujuh jam sembilan minit 55 saat, lantas mempersembahkan kejayaan yang mengharumkan nama negara. Baginda berkenan menerima hadiah tempat kelima yang disembahkan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Turut mencuri tumpuan, paduka anakanda baginda, Tengku Puteri Utama Raja yang mewakili Kelab RTES, telah mempersembahkan tunggangan cemerlang sehingga berjaya meraih tempat ketiga dalam acara Mini Endurance 15KM VIP. Istiadat penyampaian hadiah penuh gilang-gemilang itu turut menyaksikan keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Seri Setia Mahkota Raja, Tengku Puteri Utama Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan hadir oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia.  
14 Sep 25
72
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
HULU TERENGGANU, 14 September – Dalam kepayahan menempuh banjir saban tahun dan hidup sebagai insan kelainan upaya, seorang bapa di Kampung Lebak tidak mampu menahan sebak apabila anaknya terpilih menyertai Program Walimatul Urus Perdana 2025 anjuran Kerajaan Negeri Terengganu bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Bapa pengantin, Sufian Ismail, mengakui perjalanan hidupnya penuh getir sebelum pulang ke kampung halaman mencari rezeki secara sederhana.  "Saya pernah berkhidmat di Media Prima Berhad di Kuala Lumpur sebagai pembantu komunikasi, namun akhirnya saya pulang ke Kuala Berang untuk mencari rezeki dengan menjual aiskrim. "Kali ini anak saya yang diberi peluang menyertai Program Walimatul Urus Perdana. Saya terlalu terharu, dan hanya mampu ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta YPKT kerana memilih anak saya," ujarnya. Dalam luahan hatinya, beliau turut menceritakan cabaran yang sering membelenggu keluarganya di Kampung Lebak yang sudah diwartakan sebagai kawasan banjir.  "Setiap tahun kami diuji dengan bencana ini, sehinggakan Kampung Lebak digazetkan sebagai kawasan banjir, dan saya sendiri pernah menyaksikan segala harta benda tenggelam dalam sekelip mata. "Saya adalah pemegang kad OKU yang berdaftar dengan JKM, dengan menerima hanya RM450 sebulan, itulah yang saya gunakan untuk menyara keluarga disamping rezeki tambahan sebagai penjual aiskrim," jelasnya. Menantunya, Mohd Hanafi Mohd Izzuddin yang berasal dari Kuala Lumpur turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri.  "Saya hanyalah seorang anak muda biasa dari Kuala Lumpur, namun diberi penghormatan menyertai program ini bersama pasangan. Saya benar-benar terhutang budi kepada pihak penganjur.  "Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang bukan sahaja menganjurkan program ini dengan begitu baik, malah memilih saya dan isteri untuk diraikan bersama pasangan lain," tambahnya. Program Walimatul Urus Perdana 2025 menyaksikan Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.2 juta bagi membantu 192 pasangan B40 melangsungkan perkahwinan secara serentak di seluruh negeri, termasuk 20 pasangan dari daerah Hulu Terengganu.” Majlis resepsi peringkat negeri disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu selepas upacara akad nikah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.  
14 Sep 25
140
SG4 Sepakat Jadi Hab Solidariti Palestin di Asia Tenggara
SG4 Sepakat Jadi Hab Solidariti Palestin di Asia Tenggara
JITRA, 14 September – Empat negeri dalam blok SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis bersepakat memperkukuh kedudukan sebagai ‘hab solidariti’ Asia Tenggara melalui penganjuran pelbagai program kemanusiaan termasuk kempen kesedaran, kutipan derma serta mobilisasi sukarelawan bagi membela nasib rakyat Palestin. Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, usaha tersebut telah diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang bersifat menyeluruh dan berterusan. “Kerajaan Negeri Kedah bersama rakan-rakan dalam SG4 turut meneroka bidang pendidikan dan pembangunan modal insan bagi membantu rakyat Palestin secara berstruktur, termasuk tawaran biasiswa, pertukaran akademik, latihan kemahiran dan peluang ekonomi. “Inisiatif ini bertujuan memastikan bantuan yang kita salurkan bukan hanya reaktif semata-mata, tetapi membina daya tahan jangka panjang rakyat Palestin serta memperkukuh suara dan gerakan ummah di rantau ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, hari ini. Program tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi. Dalam pada itu, Dr. Haim Hilman menyatakan keyakinan bahawa model kerjasama SG4 mampu diperluas dan dijadikan contoh bukan sahaja kepada negeri-negeri lain di Malaysia, malah juga kepada negara jiran di Asia Tenggara. “Melalui kerjasama serantau, kita dapat menggabungkan sumber dan kepakaran bagi melaksanakan program bantuan kemanusiaan, memperkukuh diplomasi rakyat ke rakyat, serta meningkatkan tekanan moral terhadap pihak-pihak yang terus menzalimi Palestin,” tegasnya.  
14 Sep 25
85
Konvensyen DHPP Kali Ke-10 Catat Sejarah
Konvensyen DHPP Kali Ke-10 Catat Sejarah
KEDAH, 14 September – Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat Kali Ke-10 (2025) mencatat sejarah penting apabila menjadi yang terakhir sebelum DHPP dimartabatkan setaraf dengan Dewan-Dewan utama PAS. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan dasar Islam yang diperjuangkan PAS meraikan kepelbagaian dan peranan sahabat bukan Muslim dalam usaha membina negara yang adil, sejahtera dan berkebajikan. “Insya-Allah, dengan langkah tersusun dan amanah yang digalas, PAS bersama DHPP akan terus memimpin Malaysia ke arah pentadbiran berteraskan integriti, kebajikan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya. Beliau yang merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat Kali Ke-10 (2025) yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Ahmad Amzad hadir sebagai pemerhati bersama Ahli Parlimen Kapar merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Halimah Ali, mewakili PAS Pusat. Konvensyen bertemakan “DHPP Teguh Menyulam Perpaduan” itu turut diserikan dengan ucapan pimpinan PAS dan DHPP, antaranya Naib Presiden PAS merangkap Penasihat DHPP Pusat, Datuk Idris Ahmad, serta Ketua DHPP Pusat, Balasubramaniam Nachiappan. DHPP kini memiliki keanggotaan seramai lebih 78,000 ahli di seluruh negara, menjadikannya platform penting dalam mengukuhkan hubungan PAS dengan masyarakat bukan Muslim. Ahmad Amzad turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur yang telah bekerja keras menjayakan konvensyen ini serta menyeru agar DHPP terus memperkukuhkan keyakinan masyarakat bukan Islam, menjadi jambatan penghubung dengan perjuangan PAS. “Insya-Allah, dengan langkah tersusun dan amanah yang digalas, PAS bersama DHPP akan terus memimpin Malaysia ke arah pentadbiran berteraskan integriti, kebajikan dan kesejahteraan untuk semua,” tambahnya.
14 Sep 25
57
Kijal Cetus Gelombang Solidariti Sumud Flotilla Terawal di Asia
Kijal Cetus Gelombang Solidariti Sumud Flotilla Terawal di Asia
KEMAMAN, 14 September – Kijal melakar sejarah tersendiri apabila menjadi antara lokasi terawal di Asia yang menganjurkan Gelombang Solidariti Sumud Flotilla, sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin. Pengarah Program, Wan Mohd Redzuan Ahmad Kamar berkata, program yang diadakan di Pantai Penunjuk, Kijal itu bermula dengan konvoi motosikal membabitkan 300 peserta. “Konvoi ini mengelilingi kawasan sekitar sejauh 60 kilometer selama sejam setengah bermula di Shell Bukit Anak Dara sebelum berakhir di tapak program. "Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada perarakan 50 buah bot yang menghiasi perairan Pantai Penunjuk, sebagai simbol solidariti dari lautan," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan bertempat di Pantai Penunjuk Kijal kelmarin. Acara kemuncak ialah Majlis Perasmian Penutup Sumud Nusantara Flotilla, yang digabungkan dengan Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah dan Pertandingan Mewarna. Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, yang turut serta menunggang motosikal dalam konvoi berkenaan sebagai simbol kebersamaan dan solidariti. Mohd Redzuan berkata lebih 600 peserta hadir memeriahkan program, termasuk peserta konvoi, perarakan bot, pertandingan mewarna serta para pengunjung yang memberikan sokongan padu. Katanya, program turut dimeriahkan dengan ceramah pengenalan Sumud Flotilla yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Hassan Harun Al-Ahmadi. "Beliau menjelaskan konsep ketabahan (sumud) serta perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak mereka. "Semoga usaha ini menjadi titik tolak kepada gelombang kebangkitan solidariti umat Islam di rantau ini, sekali gus memperkukuh sokongan berterusan kepada perjuangan rakyat Palestin," ujarnya.  
14 Sep 25
106
Delegasi Antarabangsa Meriahkan Muslim Ummah International Forum di Kedah
Delegasi Antarabangsa Meriahkan Muslim Ummah International Forum di Kedah
JITRA, 14 September – Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) yang berlangsung di BDB Darul Aman Golf Resort, Kedah, hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran delegasi dari Palestin, Turkiye, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa MUNIF 2025, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyifatkan penyertaan negara-negara tersebut sebagai detik bermakna dalam usaha memperkukuh persaudaraan Islam dan solidariti ummah merentasi sempadan. “Bagi pihak Jawatankuasa Penganjur, saya mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu kehormat, para peserta serta rakan-rakan media. “Kehadiran anda semua memberikan suntikan semangat dan keyakinan bahawa usaha memperteguh suara dan gerakan umat Islam bukan sekadar retorik, tetapi boleh diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan strategi nyata,” katanya ketika berucap di forum tersebut. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah, serta sokongan erat anggota SG4 iaitu Kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan dan Perlis yang bersama menjayakan penganjuran forum ini. “Terima kasih juga kepada penganjur bersama serta para penaja daripada institusi dalam dan luar negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO dan NGI), syarikat korporat, tokoh masyarakat dan para dermawan yang telah memberikan sumbangan, komitmen dan bantuan signifikan sehingga forum bersejarah ini dapat direalisasikan,” tambahnya. Forum antarabangsa ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama, memperkasakan wacana Islam global, selain mengangkat semangat kebersamaan umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa dunia.
14 Sep 25
369
RM1.2 Juta Diperuntuk Bagi Walimatul Urus Perdana Terengganu 2025
RM1.2 Juta Diperuntuk Bagi Walimatul Urus Perdana Terengganu 2025
HULU TERENGGANU, 14 September– Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi membantu 192 pasangan pengantin dari golongan B40 melangsungkan perkahwinan menerusi Program Walimatul Urus Perdana 2025 yang berlangsung serentak di seluruh daerah pada Sabtu. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja meringankan beban kewangan pasangan pengantin, malah berperanan memupuk nilai kekeluargaan serta mengukuhkan institusi perkahwinan di negeri ini. “Kita bersyukur kerana dapat bersama-sama dalam Program Walimatul Urus Perdana Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Hulu Terengganu, yang juga diadakan serentak di semua daerah. "Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pengantin baru yang secara serentak diijabkabulkan, seramai 192 pasangan seluruh negeri termasuk 20 pasangan di daerah Hulu Terengganu,” katanya. Majlis resepsi peringkat negeri disempurnakan beliau bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu selepas upacara akad nikah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang. Turut hadir barisan kepimpinan negeri termasuk Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mufti Negeri Terengganu, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, serta ahli keluarga pengantin. Tambah beliau lagi, perkahwinan merupakan sunnah Nabi SAW dan fitrah manusia yang diberkati Allah SWT, selain menjadi amanah besar dalam membina Baitul Muslim. Katanya, ia juga merupakan perjalanan panjang yang memerlukan kesabaran, persefahaman, toleransi dan kasih sayang berterusan. “Alam rumah tangga penuh suka duka, ada kebahagiaan dan cabaran. Tempuhilah dengan bersama-sama menghadapi segala ujian,” ujarnya. Program tahunan anjuran kerajaan negeri ini dilihat bukan sahaja membantu pasangan pengantin memulakan kehidupan berumah tangga dengan lebih mudah, malah menjadi wadah memperkukuh ukhuwah masyarakat melalui penyertaan keluarga dan komuniti setempat.
14 Sep 25
224
Lebih 1,000 Peserta Sertai Mount Berembun Climbathon Challenge 2025
Lebih 1,000 Peserta Sertai Mount Berembun Climbathon Challenge 2025
DUNGUN, 14 September – Lebih 1,000 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC’25) yang berlangsung di Taman Eko Rimba Chemerong, di sini, semalam Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, MBCC bukan sahaja memperkenalkan keindahan Gunung Berembun yang mempunyai tiga air terjun semulajadi Chemerong, Berembun dan Langsir, malah turut memperkenalkan konsep pelancongan sukan untuk seisi keluarga. "Insya-Allah, bermula tahun depan MBCC akan diperluaskan ke peringkat antarabangsa dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu, seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027,” jelasnya.  "Program ini juga dapat memberi impak ekonomi kepada penduduk sekitar Hulu Dungun termasuk peniaga dan pengusaha inap desa, selain menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan yang terlatih bagi membimbing peserta sepanjang pendakian," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Sidang Media MBCC 2025 berempat di Taman Eko Rimba Chemerong semalam. Program tersebut anjuran bersama Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan kerjasama kerajaan negeri. Dalam program berkenaan, sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa, Razali turut menanam pokok sebagai simbolik kesedaran pentingnya pemeliharaan hutan secara lestari. Sementara itu, Pengarah Program, Mohd. Rafi Kori berkata, MBCC’25 berkonsepkan ‘trail run’ yang menggabungkan elemen alam semulajadi, sukan dan kembara. “Tahun ini, tiga kategori diperkenalkan iaitu Cengal (terbuka lelaki & wanita serta veteran), Meranti (tertutup lelaki & wanita) dengan hadiah keseluruhan RM13,000. "Manakala kategori Nyatuh atau ‘Fun Trail’ sejauh dua dan lima kilometer pula dibuka untuk mereka yang mahu mendaki secara santai,” ujarnya.  
14 Sep 25
105
MUNIF Himpun Pemimpin Gerakan Islam, Cendekiawan Perkukuh Sinergi Bina Rangkaian Strategik
MUNIF Himpun Pemimpin Gerakan Islam, Cendekiawan Perkukuh Sinergi Bina Rangkaian Strategik
JITRA, 14 September - Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) menjadi platform menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, NGO dan Cendekiawan bagi memperkukuh sinergi serta membina rangkaian kerjasama strategik di Rantau Asia Tenggara dan dunia Islam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia juga menjadi platform bagi membincangkan agenda tindakan segera dan praktikal bagi menyelamatkan rakyat Gaza dan membebaskan Masjid Al-Aqsa serta bumi Palestin daripada terus dijajah. "Tujuan Munif ini juga diadakan adalah untuk menjana idea serta cadangan berimpak tinggi yang boleh dilaksanakan bersama melalui saluran kemanusiaan, pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi dan diplomasi rakyat ke rakyat. "Melalui firmah Allah adalah menjadi kewajipan  kepada umat Islam untuk bersama dalam isu Palestin,"ujarnya ketika berucap di MUNIF yang diadakan di BDB Darulaman Golf Resort, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, katanya adalah menjadikan harapan agar forum yang diadakan itu akan menjadi pentas penting untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran. "Seterusnya melahirkan resolusi dan pelan tindakan yang lebih tersusun demi kebaikan ummah dan Islam tercinta,"ujarnya.
14 Sep 25
25
PSKT- UniSZA Bina Produk Makanan Sihat
PSKT- UniSZA Bina Produk Makanan Sihat
KUALA TERENGGANU, 14 September - Usaha Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam mewujudkan rantaian makanan sihat perlu disokong sebaiknya. Antara yang menjadi tumpuan kini adalah pembangunan pelbagai produk hiliran berasaskan ubi keledek vitato. Ketua Penyelaras Unit Pemasaran Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA, Dr Zarizal Suhaili menyifatkan, kerjasama yang dibangunkan mampu menawarkan manfaat besar kepada masyarakat. "Menerusi kerjasama PSKT, apa yang kita dapat adalah pendedahan luas bagi setiap kepakaran yang dipindahkan yang mana apa-apa penyelidikan yang kita usahakan dapat dikembangkan kepada komuniti. "Dalam projek ini, mereka wujudkan tapak untuk penyediaan kita punya sistem fertigasi, membolehkan kita laksanakan penanam 1,000 beg ubi vitato dalam keluasan setengah ekar tanah. "Ini prototaip pertama kami dengan pembenihan bermula awal bulan Jun lalu yang mana kita telah tuai sebahagiannya sebanyak 30 kilogram," katanya ketika ditemui dalam program jualan sempena Kejohanan Terengganu Pushbike Cup 2025 di perkarangan PSKT, semalam.  Tambahnya, hasil tuaian sepenuhnya dijangka mampu mencapai sekitar 500 kg. Selain itu, projek tersebut turut dijayakan dengan kerjasama pemain industri iaitu Warisan Kayana Group Sdn Bhd dalam usaha memastikan produk yang dihasilkan mampu bersaing dalam pasaran. "Kini kita terdedah dengan makanan segera, namun untuk imbangi keadaan ini kita cuba wujudkan konsep makanan segera dengan kandungan yang sihat melalui produk dari ubi keledek vitato ini. "Cabarannya besar, namun kita perlu cuba dapatkan pihak industri yang boleh keluarkan snek dengan kandungan sihat sebagaimana produk-produk pembangunan yang dikeluarkan universiti. "Kerjasama ibu bapa, universiti, komuniti dan industri mampu meletakkan keutamaan generasi masa depan kepada pemakanan yang sihat," katanya.  
14 Sep 25
1141