MARANG, 13 September– Program Walimatulurus Perdana 2025 kembali mewarnai suasana dengan penuh barakah apabila seramai 24 pasangan daerah ini dirai pada majlis yang penuh bermakna di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini.
Program yang berlangsung serentak di seluruh Negeri Terengganu itu turut menyaksikan 192 pasangan diraikan, menjadikan penganjuran kali ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, tujuan majlis ini adalah untuk meringankan beban pasangan pengantin serta memupuk suasana kekeluargaan masyarakat melalui perkahwinan yang diurus secara berjemaah.
"Tahniah diucapkan kepada semua pasangan pengantin yang diraikan. Semoga kehidupan berumah tangga mereka dilimpahi keberkatan, dipenuhi mawaddah, sakinah dan rahmat Allah hingga ke syurga," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan pasangan mempelai agar sentiasa bersabar, bersikap tolak ansur serta menggunakan kebijaksanaan dalam mengharungi cabaran kehidupan berumahtangga.
