HULU TERENGGANU, 13 September – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan Muktamar Agung PAS kali ini amat signifikan kerana berlangsung hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), sekali gus menjadi medan penting untuk memperdebatkan isu ekonomi, sosial, keharmonian kaum serta hala tuju parti sebagai kuasa politik nasional.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, perbahasan muktamar dijangka menumpukan pengukuhan dalaman parti serta agenda besar yang menyentuh masa depan negara.
“Kita percaya bahawa Muktamar kali ini adalah Muktamar yang begitu hampir dengan pilihan raya umum ke-16.
"Jadi tentunya selain daripada pengukuhan parti, dan untuk meletakkan parti PAS di persada negara dan nasional sebagai parti yang berkaliber dan ada keupayaan untuk memimpin negara, sudah tentulah ini antara perkara yang akan diperbahaskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, perbahasan kali ini bukan hanya menilai kekuatan PAS, tetapi turut memperhalusi dasar-dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.
"Dari aspek sosialnya, dari aspek ekonomi, dari aspek keharmonian kaum, dan apa yang perlu dilaksanakan oleh kepimpinan parti.
"Jadi ia akan jadi lebih inklusif, apa yang diperjuangkan oleh PAS ini, untuk membawa PAS bersama dengan rakan muafakat politik," katanya.
Ahmad Samsuri menegaskan bahawa kejayaan dalam PRU-16 tidak akan tercapai sekiranya PAS bergerak bersendirian tanpa dukungan rakan sekutu politik.
"Kita tidak mahu menjadi single parti yang mengadakan usaha dalam pilihan raya nanti.
"Kita percaya kemenangan boleh dicipta dalam pilihan raya akan datang jika sekiranya kita memperkukuhkan muafakat politik, dan mempereratkan kerjasama di seluruh negara," ujarnya.