lightning-solid
Berita :
Infrastruktur Sukan DUN Sura Diperkasa
Infrastruktur Sukan DUN Sura Diperkasa
Naim Fadhilah Kamaruddin
08 Oct 25
65

DUNGUN, 8 Oktober – Infrastruktur sukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura kini diperkasa dengan projek pembinaan gelanggang bola sepak pantai yang hampir siap sepenuhnya dan dijangka dapat digunakan dalam masa terdekat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, projek pembangunan itu adalah salah satu inisiatif utama untuk menggalakkan penyertaan golongan belia dalam aktiviti sukan serta memupuk gaya hidup sihat dalam komuniti setempat.

“Menerusi projek ini, kami berhasrat menyediakan kemudahan sukan yang berkualiti dan mampu menjadi pusat tarikan bagi belia di DUN Sura,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi Facebooknya hari ini.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menambah, gelanggang bola pantai yang dibina bukan sahaja akan menjadi tapak latihan dan pertandingan, malah menjadi venue utama bagi kejohanan bola sepak pantai Piala ADUN Sura yang akan berlangsung pada bulan November nanti.

“Kejohanan ini adalah langkah pertama kami untuk mengaktifkan penggunaan gelanggang baharu ini dan saya menyeru semua yang berminat supaya mendaftar segera bagi menyertai acara tersebut,” ujarnya lagi.

Projek pembangunan ini dilihat mampu memberikan impak positif terhadap pembangunan sukan di kawasan tersebut serta membuka peluang untuk memupuk bakat belia dalam bidang sukan bola sepak pantai.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau mendaftar penyertaan kejohanan bolehlah menghubungi pejabat ADUN Sura atau melayari laman rasmi Facebook ADUN Sura.


Tag :

Artikel Berkaitan