lightning-solid
Berita :
Ahli Parlimen Besut Gesa Henti Sindrom Nuri, Tegur Kelekaan Tadbir Urus
Ahli Parlimen Besut Gesa Henti Sindrom Nuri, Tegur Kelekaan Tadbir Urus
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
08 Oct 25
213

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, menegur kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan kerajaan dalam isu aset usang serta hasil negara yang gagal direalisasikan, sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Tahun 2025.

Ketika membahaskan laporan itu di Dewan Rakyat petang tadi, beliau berkata perbelanjaan besar bagi penyenggaraan aset lama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jelas menunjukkan kebergantungan berterusan terhadap aset yang sudah berusia dan tidak lagi ekonomik untuk diselenggara.

“APMM telah membelanjakan RM229.93 juta bagi kapal melebihi usia 30 tahun, dan RM78 juta lagi bagi bot berusia antara 11 hingga 20 tahun. Ini bukan lagi langkah berhemah, sebaliknya tanda kebergantungan yang berisiko,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan keperluan kerajaan mengelak daripada terperangkap dalam apa yang disebut sebagai sunk cost fallacy atau 'kesesatan kos lepas', iaitu terus berbelanja hanya kerana pelaburan lama yang telah dibuat tanpa menilai keberkesanan semasa.

“Kita sudah belajar daripada pengalaman helikopter Nuri, senggara terlalu lama sehingga menelan kos lebih besar daripada membeli baharu, dan akhirnya mengorbankan nyawa anggota keselamatan. Jangan biar ‘Sindrom Nuri’ berulang di laut pula,” tegasnya.

Che Mohamad turut mempersoalkan ketidakaturan dalam pengurusan aset APMM, termasuk bayaran hampir RM60,000 bagi peralatan yang tidak dibekalkan serta RM140,000 bagi peralatan yang tidak menepati spesifikasi.

Katanya, kelemahan ini bukan sekadar soal teknikal, tetapi melibatkan keselamatan anggota di lapangan apabila beberapa ujian penting bagi memastikan kelayakan pelayaran (seaworthiness) kapal didapati tidak dijalankan sebelum pendaftaran aset.

“Kegagalan seperti ini membahayakan anggota maritim yang bertugas di laut, dan mencerminkan pengurusan aset yang longgar serta tidak menepati prinsip tadbir urus yang baik,” ujarnya lagi.

Dalam perbahasan sama, beliau turut menarik perhatian terhadap isu potensi hasil kerajaan yang tidak direalisasikan seperti dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.

Antaranya, anggaran hasil tambahan sekurang-kurangnya RM115 juta yang boleh dikutip sekiranya nombor pendaftaran kenderaan tidak aktif ditawarkan kepada umum pada harga minimum, selain denda dan sewaan yang tidak dikutip melibatkan jumlah puluhan juta ringgit.

“Akaun belum terima hasil meningkat kepada RM44.55 bilion pada 2024 berbanding RM39.52 bilion tahun sebelumnya, peningkatan 12.8 peratus. Daripada jumlah itu, RM20.6 bilion telah melebihi tempoh enam tahun dan berisiko dihapus kira,” katanya.

Beliau berkata, setiap hasil yang tidak dikutip bermaksud kehilangan sumber untuk rakyat, sama ada dalam bentuk kemudahan awam, pendidikan mahupun keselamatan.

“Kebocoran hasil bukan kerana kecurian, tetapi kerana kelekaan pentadbiran,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Besut menegaskan bahawa teguran terhadap laporan audit bukan bertujuan menyerang kerajaan, sebaliknya untuk memperbetulkan kelemahan dan memastikan setiap sen hasil negara dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

“Malangnya, bila kita menegur, ada pula yang menyerang secara peribadi. Kalau nak menjilat, jilatlah, tapi jangan sampai menuduh orang lain bermacam-macam,” katanya dengan nada tegas.

Beliau turut mengingatkan bahawa tadbir urus (governance) yang sering dilaungkan kerajaan perlu diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar slogan.

“Slogan ‘Malaysia Madani Bekerja’ nampak gah, tetapi laporan audit ini membuktikan pengurusan kewangan kerajaan masih sarat dengan kelemahan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan