lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

70 Petani Lega Jalan Konkrit Siap Sebelum Musim Menuai
70 Petani Lega Jalan Konkrit Siap Sebelum Musim Menuai
BESUT, 14 Oktober – Kira-kira 70 orang petani di Baruh Padi Gong Nibong, Jabi kini boleh menarik nafas lega apabila projek pembinaan jalan konkrit sepanjang 700 meter dijangka siap sepenuhnya sebelum musim menuai tiba, sekali gus memudahkan aktiviti pertanian mereka. Jalan pertanian yang mempunyai lebar 12 kaki itu bakal memberi manfaat besar kepada pengurusan kira-kira 240 hektar kawasan sawah padi di kampung berkenaan, dengan kemudahan infrastruktur yang lebih kukuh dan efisien. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata projek penting itu dibina menggunakan peruntukan bajet negeri bagi memastikan hasil tuaian petani dapat diangkut keluar dengan lebih mudah dan teratur. “Saya bercita-cita nak tengok semua jalan pertanian seperti ini, namun kekangan bajet membataskan hasrat tersebut. “Oleh itu, kita melaksanakan secara berfasa dengan mengutamakan kawasan yang paling penting. Jalan pertanian Baruh Padi Gong Nibong ini dibina sepenuhnya menggunakan peruntukan negeri,” katanya. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, jalan konkrit tersebut direka dengan teliti menggunakan dua lapis BRC (Bent Reinforced Concrete) bagi memastikan ia cukup kuat dan tahan lasak menampung pergerakan jentera berat pertanian, terutama ketika musim hujan. Beliau turut memaklumkan bahawa projek kini berada di peringkat akhir, dengan hanya baki 150 meter pembinaan yang belum disiapkan. Projek ini diharap dapat mengatasi masalah jalan tanah liat yang sering becak dan sukar dilalui semasa musim tengkujuh, selain meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos pengangkutan hasil pertanian. “Walaupun cuaca hujan sedikit mengganggu kelancaran kerja-kerja pembinaan, saya mohon semua bersabar. Kerja sedang giat dijalankan dan, insya-Allah, jalan ini boleh digunakan sebelum musim menuai tiba,” jelasnya.    
15 Oct 25
149
RM500,000 Naik Taraf Skim Pengairan Padi Paya Paman
RM500,000 Naik Taraf Skim Pengairan Padi Paya Paman
KEMAMAN, 15 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan RM500,000 bagi menaik taraf Skim Pengairan Padi di Paya Paman, Kemaman, sebagai langkah strategik memperkukuh infrastruktur pertanian dan memastikan sistem pengairan berfungsi secara lebih efisien. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata projek itu menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam usaha menjamin kelangsungan sektor pertanian serta keterjaminan makanan negeri. Namun, beliau turut melahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan kawasan tanah padi terbiar, khususnya apabila generasi muda semakin tidak berminat mengusahakan sawah peninggalan keluarga walaupun dilengkapi sistem pengairan dan saliran lengkap. “Infrastruktur kita boleh cari bajet untuk bina. Namun, kita cukup bimbang dengan situasi tanah padi terbiar apabila generasi muda tidak lagi berminat untuk menguruskan tanah sawah peninggalan orang tua sehingga mewujudkan kawasan sawah terbiar walaupun mempunyai sistem pengairan dan saliran yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial miliknya, hari ini. Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Kemaman, khususnya golongan muda, agar kembali aktif dalam aktiviti penanaman padi supaya usaha menaik taraf sistem pengairan ini benar-benar dimanfaatkan. “Orang Kemaman kena rajin buat padi,” tegasnya. Dr. Azman turut berharap kemudahan infrastruktur yang lebih baik ini akan menarik semula minat petani termasuk golongan muda untuk mengusahakan tanah sawah, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil padi di daerah tersebut. Isu penuaan petani dan penyertaan belia yang semakin berkurang dalam sektor pertanian sering dibangkitkan di pelbagai negeri, mendorong kerajaan untuk merangka pendekatan serta insentif baharu bagi menjadikan sektor pertanian lebih menarik, moden dan berdaya saing.  
15 Oct 25
43
Pesawah Baruh Gerong Mengeluh, Nasib Jelapang Padi Terancam
Pesawah Baruh Gerong Mengeluh, Nasib Jelapang Padi Terancam
BESUT, 14 Oktober – Masalah bekalan air yang membelenggu pesawah di Baruh Gerong salah satu Jelapang Padi utama di Besut kini menjadi perhatian serius pihak berkuasa negeri. Isu ini mendapat perhatian selepas seorang pesawah veteran, Abd Latif Majid, 75 menyuarakan kekecewaannya. Dia mengadu nasib padi mereka tidak akan berubah selagi sumber air utama daripada Empangan Paya Peda tidak disalurkan ke kawasan sawah mereka. "Masalah air dalam Baruh Gerong tidak akan selesai selagi air dari Empangan Paya Peda tidak sampai ke sini...," adunya, yang menggambarkan situasi kritikal yang dihadapi oleh komuniti pesawah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa aduan bekalan air ini perlu diambil serius. "Masalah aduan bekalan air dari pesawah kita kena ambil tindakan serius. Saya akan panggil segera pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) untuk melihat permasalahan ini dari punca dan sepanjang jajaran tali air," tegas beliau. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, penyelesaian perlu dicari di peringkat akar umbi. “Ini kerana masalah perlu dikenalpasti dan diselesaikan dari puncanya. ''Baruh Gerong merupakan kawasan penting dalam pengeluaran padi negeri. Kegagalan bekalan air yang mencukupi terutamanya dari Empangan Paya Peda yang dibina untuk menampung keperluan pengairan boleh menjejaskan hasil tuaian dan mengancam jaminan makanan tempatan," katanya.  Penyiasatan oleh IADA Ketara dijangka akan menumpukan kepada punca kelewatan atau kekurangan air di Baruh Gerong sama ada disebabkan oleh masalah teknikal, penyenggaraan taliair atau isu lain sepanjang rangkaian pengairan dari Empangan Paya Peda. Rakyat dan pesawah Baruh Gerong kini menanti penyelesaian tuntas daripada pihak berwajib.
14 Oct 25
56
Terengganu Peruntuk RM430 Ribu Naik Taraf Infrastruktur TKPM Rhu Tapai
Terengganu Peruntuk RM430 Ribu Naik Taraf Infrastruktur TKPM Rhu Tapai
SETIU, 14 Oktober – Kerajaan Terengganu memperkukuh usaha memperkasa sektor pertanian negeri dengan memperuntukkan sebanyak RM430 ribu bagi menaik taraf infrastruktur di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, Setiu. Peruntukan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan, saliran dan jaringan jalan ladang bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil pertanian peserta di kawasan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan TKPM terus menjadi nadi pengeluaran makanan dan sumber pendapatan kepada rakyat. "Semoga para peserta TKPM boleh meningkatkan pengeluaran hasil dengan penambahbaikan yang kita buat kepada jaringan jalan ladang dan sistem pengairan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambahnya, TKPM merupakan tanah milik kerajaan Negeri yang diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) khas untuk tujuan pertanian, penternakan, atau perikanan dengan matlamat utama bagi pengeluaran makanan negara. Di Terengganu, lebih 2,000 hektar tanah telah diwartakan sebagai TKPM Pertanian termasuklah lokasi-lokasi penting seperti TKPM Palong Jenang Kemaman, TKPM Peradong Manir, TKPM Serating Marang, TKPM Tok Dor Besut dan TKPM Rhu Tapai Setiu. Selain itu, terdapat kira-kira 4,000 hektar TKPM Penternakan dan sekitar 200 hektar TKPM Perikanan. Mengulas mengenai konsep TKPM Pertanian, Azman menjelaskan bahawa setiap peserta diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) tanah antara 8 hingga 10 ekar seorang berserta kemudahan infrastruktur. "Di sinilah mereka membanting tulang mencari rezeki. Kerajaan turut membantu dalam beberapa aspek lain termasuk bantuan teknikal, input dan pemasaran," tambahnya, menegaskan peranan kerajaan dalam menyokong usaha keras peserta TKPM. Inisiatif naik taraf infrastruktur ini diharap akan memberi impak positif kepada ekonomi peserta TKPM dan seterusnya menyumbang kepada usaha negeri serta negara dalam mencapai tahap keterjaminan makanan yang lebih tinggi.
14 Oct 25
1036
Exco Pertanian Saran Agensi Persekutuan Bekerja Dalam Satu Pasukan
Exco Pertanian Saran Agensi Persekutuan Bekerja Dalam Satu Pasukan
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Kerjasama antara agensi Kerajaan Pusat dalam sektor pertanian di Terengganu dengan Kerajaan Negeri didakwa mula terjejas apabila terdapat agensi yang bertindak bersendirian dan tidak melibatkan Kerajaan Negeri dalam program mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim menyarankan agar semua pihak termasuk agensi Persekutuan bekerja dalam satu pasukan demi mencapai matlamat yang sama untuk rakyat Terengganu. Beliau mendakwa tindakan sesetengah agensi Kerajaan Pusat itu berlaku lantaran kerana arahan daripada Pengerusi Lembaga Pengarah mereka yang merupakan lantikan politik. "Masih ada lagi di Terengganu Agensi Kerajaan Pusat dalam keluarga pertanian Terengganu yang bertindak sendiri-sendiri tanpa memaklumkan dan melibatkan Kerajaan Negeri dalam program-program lantaran kerana arahan dari Pengerusi Lembaga Pengarah mereka yang merupakan lantikan politik," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini. Dr. Azman menjelaskan, pendekatan yang digunakan Kerajaan Negeri setakat ini adalah dengan memberi nasihat serta menekankan kepentingan untuk bekerjasama demi matlamat bersama. "Biarlah kita bekerja dalam satu pasukan menuju matlamat yang sama. Tak kisahlah siapa pun Pengerusi Lembaga kerana awak semua berpijak di bumi Terengganu. Kerajaan Negeri ingin membantu bagi memudahkan urusan. "Kalau mereka yang memegang jawatan di atas inginkan keuntungan politik, silakan ambil. Saya tak berhajat dengan keuntungan politik murahan," tegasnya, sambil membandingkan situasi itu dengan penggal lepas di mana hubungan kerjasama adalah erat dan saling membantu. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, perubahan ini mula dirasai dalam era Madani ini.  Namun katanya, situasi sedikit berbeza di Terengganu apabila Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan besar kepada agensi dan jabatan Persekutuan untuk pelaksanaan program pertanian. "Contohnya, kita salurkan sehingga RM5 juta setahun kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk dana Skim Pinjaman Modal Tani. Jabatan Perikanan Malaysia disalurkan melebihi RM4 juta setahun untuk program tukun, unjam, lepas benih ikan dan pelbagai program bantuan," jelasnya. Tambahnya, tujuan Kerajaan Negeri mempelawa kerjasama dan berbaik bukanlah untuk meminta dana sebaliknya adalah untuk saling membantu dan memanfaatkan sumber sedia ada demi manfaat rakyat.
13 Oct 25
89
Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang dirampas kerana menceroboh dan mencuri hasil laut negara akan dilupuskan dengan kaedah penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Rhu, Besut pada 21 Oktober depan. Langkah ini merupakan tindakan tegas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu dalam membanteras pencerobohan nelayan asing di samping inisiatif memulihara ekosistem marin negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata proses penenggelaman bot-bot ini adalah bukti komitmen APMM dan kerajaan negeri dalam mengawal kedaulatan laut serta melindungi khazanah hasil laut negara. “Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara kita akan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di Perairan Pulau Rhu Besut pada 21 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada APMM Terengganu yang terus komited mengawal laut Terengganu dari anasir asing yang merosakkan dan mencuri khazanah hasil laut. Menurut beliau, sebelum dilupuskan, semua enjin dan peralatan bernilai akan ditanggalkan daripada bot tersebut. Katanya, hanya badan bot sahaja yang akan ditenggelamkan untuk memastikan ia selamat dan sesuai dijadikan habitat baharu hidupan laut. Pelupusan bot yang dijadikan tukun tiruan dilihat memberikan kesan jangka panjang sebagai struktur sokongan kepada pemuliharaan biodiversiti marin, menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut, sekali gus membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan. APMM Terengganu sebelum ini telah kerap kali menggunakan kaedah penenggelaman bot nelayan asing yang dilucut hak mahkamah sebagai tukun tiruan di perairan negeri, menandakan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan perikanan haram.
13 Oct 25
87
'Satu Rumah, Satu Laman Tani'
'Satu Rumah, Satu Laman Tani'
HULU BESUT, 10 Sept – Pusat Khidmat Masyarakat (ADUN) Hulu Besut hari ini melancarkan projek perintis Laman Tani, tanaman timun batang, sebagai usaha memperkenalkan konsep “Satu Rumah, Satu Laman Tani.” Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin yang turut memaklumkan bahawa inisiatif ini adalah bagi menyahut saranan Pengarah USWa Negeri Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, yang menggalakkan aktiviti bercucuk tanam dilaksanakan di setiap rumah. Menurut Mohd Husaimi, projek perintis di PKM ini akan diperluas ke seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Hulu Besut, sebagai langkah memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pertanian kecil-kecilan di halaman rumah. “Pendekatan ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos sara hidup, bahkan memberi manfaat kepada kesihatan, kelestarian alam sekitar serta mengeratkan ukhuwah dalam komuniti,” katanya. Dalam pada itu,beliau turut menyeru penduduk yang sudah mempunyai laman tani supaya meneruskannya, manakala yang belum bermula disaran mengambil contoh daripada projek ini.  
10 Sep 25
992
Masih Ada Lot Kosong TKPM, Kerajaan Negeri Ajak Petani Rebut Peluang
Masih Ada Lot Kosong TKPM, Kerajaan Negeri Ajak Petani Rebut Peluang
KUALA TERENGGANU, 3 September - Petani dan usahawan tani Terengganu dipelawa merebut peluang menyertai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang masih mempunyai lot kosong untuk diusahakan di beberapa daerah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, permohonan boleh dibuat di Pejabat Pertanian Daerah dengan keutamaan diberikan kepada rakyat serta usahawan tempatan. Dr. Azman (Tengah) di TKPM Rhu Tapai, Setiu "Semalam bila saya post gambar ladang betik di TKPM Rhu Tapai Setiu, ada beberapa orang yang mesej menyatakan minat untuk turut sama terlibat.  "Kepada petani atau usahawan yang berminat menyertai TKPM boleh membuat permohonan. Ada lagi lot-lot kosong yang sedia untuk diisi oleh pemohon yang layak," katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya, hari ini. Menurut beliau, selain tanaman betik, TKPM turut memberi peluang untuk mengusahakan tanaman makanan yang mempunyai tempoh singkat matang. "Kalau nak tanam durian perlu mohon tanah kategori lain," jelasnya ringkas. Berdasarkan maklumat Jabatan Pertanian Negeri Terengganu yang telah dikongsikan oleh Dr. Azman melalui hantaran yang sama, kekosongan lot TKPM ditawarkan di tiga lokasi utama. Antaranya termasuklah TKPM Rhu Tapai, Setiu (35 lot terbuka); TKPM Paloh Jenang, Kemaman (6 lot terbuka) serta TKPM Tok Dor, Besut dengan tujuh lot terbuka serta 22 lot Struktur Pelindung Hujan (SPH). Sekiranya berminat, borang permohonan boleh diperoleh di Pejabat Pertanian Daerah terlibat, manakala sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian pejabat di Besut (09-6971015), Setiu (09-6097373) dan Kemaman (09-8583195). Ladang betik Amira di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkeluasan 10 ekar dan mengandungi kira-kira 5,000 pokok Terdahulu, Dr. Azman berkongsi kejayaan seorang anak muda tempatan yang mengusahakan ladang betik varieti Amira dengan keluasan 10 ekar di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkapasiti kira-kira 5,000 pokok. Jelasnya, betik varieti tersebut mula mengeluarkan hasil pada usia lapan bulan dengan jangka hayat maksimum tiga tahun, manakala harga ladang sekitar RM3 sekilogram.
03 Sep 25
1497
Tukun Tiruan Bukan Hanya 'Rumah Ikan'
Tukun Tiruan Bukan Hanya 'Rumah Ikan'
MARANG, 18 Ogos - Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melabuhkan sebanyak 18 Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (rekreasi) di perairan Jambu Bongkok, di sini hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri  Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim memaklumkan, program berkenaan adalah siri pertama daripada lima siri program labuh tukun tiruan yang akan turut dilaksanakan iaitu di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Rhu Sepuluh Setiu dan Beting Lintang, Besut dengan 18 unit tukun bagi setiap siri. "Kita sasarkan ia bukan sahaja jadi peranti rumah untuk ikan, tetapi dalam masa yang sama bertindak sebagai penampan bagi menghalang aktiviti dan pencerobohan pukat tunda kepada zon tangkapan nelayan pantai pada jarak kira-kira lima batu nautika dari persisir pantai. "Kalau kita tengok dari segi jumlah peningkatan hasil pendaratan, indikatornya jelas menunjukkan dalam konteks Terengganu bahawa nelayan pantai adalah penyumbang utama, iaitu lebih dari 60 peratus sehingga hampir 70 peratus jumlah tangkapan disumbangkan oleh nelayan pantai. "Mungkin secara tidak langsung indikator ini adalah hasil dari program memperkaya sumber perikanan kita," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato' Adnan Hussain. Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang, Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar dan Pegawai Daerah Marang, Zulkifly Isa. Dr. Azman menambah, usaha itu turut menghasilkan peningkatan hasil pendaratan ikan di Terengganu. "Kalau dibandingkan tahun 2022 dan 2023, terlalu jauh berbeza. Pada tahun 2022 sekitar 33,000 metrik tan, manakala pada 2023 naik kepada 46,000 metrik tan yang mencatatkan peningkatan sekitar 39 peratus yang turut menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri Terengganu. "Ini merupakan sebahagian rangka program besar kita yang telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada dua tahun lepas untuk kita wujudkan satu garisan tukun dari Kemaman sehingga ke Besut  yang melibatikan perairan sepanjang 245 kilometer dengan sasaran satu kelompok tukun bagi setiap kilometer, bemakna kita akan ada 245 kelompok tukun yang terdiri daripada 10 hingga 20 unit bagi setiap kelompok. "Program ini tidak akan terhenti di sini, berapa jumlah yang dlabuhkan stiap tahun bergantung kepada jumlah peruntukan yang diperolehi, tetapi biasanya kita sasarkan dari 80 hingga 100 unit setiap tahun, kerjasama erat antara kementerian dan kerajaan negeri akhirnya akan membuahkan hasil," katanya. Dalam pada itu, Adnan menyatakan bahawa usaha berkenaan juga mendapat perhatian di peringkat persekutuan. "Saya sangat menyanjung tinggi dan menghargai inisiatif kerajaan negeri Terengganu yang berusaha gigih untuk meningkatkan biodiversiti marin di negeri ini. Jadi, kita ada kerjasama strategik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di bawah KPKM seperti dimaklumkan  Dato' Exco. "Negeri Terengganu juga mendapat peruntukan RM2.9 juta untuk aktiviti tukun, malah ia lebih besar daripada peruntukan persekutuan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia. "Di Terengganu, kita melihat kepentingan di pantai timur ini perairannya yang luas serta di sini merupakan antara stok biodiversiti marin yang sangat kaya. Selain daripada kita ada Taman-taman Laut, tukun-tukun ini secara tidak  langsung dapat meningkatkan biodiversiti marin dan ia mempunyai  pelbagai fungsi seperti penghalang pukat tunda dan baik untuk pemancing rekreasi, serta dapat menambahkan pendapatan nelayan tradisi kita yang menggunakan bubu dan pukat hanyut. "Saya juga harap perjuangan sebegini dapat kita teruskan di RMK ke-13 nanti," tambahnya. Dalam majlis yang diadakan tadi, Jabatan Perikanan Malaysia turut menyerahkan tujuh buat bot baharu kepada lima negeri iaitu Terengganu, Kedah, Selangor, Perak dan Perlis bagi  membantu meningkatkan penguatkuasaan konservarsi sumber perikanan negara.
19 Aug 25
425
Tujuh Bot Peronda Baharu Tingkat Kawalan Perairan Negara
Tujuh Bot Peronda Baharu Tingkat Kawalan Perairan Negara
MARANG, 18 Ogos - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyerahkan tujuh bot peronda khusus untuk penguatkuasaan konservasi sumber perikanan negara. Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato' Adnan Hussain memaklumkan, bot-bot dengan kos keseluruhan bernilai RM11 juta itu diserahkan hari ini kepada pangkalan-pangkalan operasi di Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu. "Untuk perolehan, bot 13 meter sebanyak tujuh unit adalah tujuan khusus untuk menguatkuasakan Akta Perikan 1985 di perairan Malaysia khususnya zon pantai. "Salah satunya akan ditempatkan di Terengganu untuk mengawal selia perairan di sini, manakala dua unit lain di Selangor, dua di Perak, satu masing-masing di Kedah dan Perlis. "Ia bagi meningkatkan keupayaan Jabatan Perikanan Malaysia sekali gus menangani isu-isu dikaitkan dengan IUU (aktiviti Perikanan Tidak Dikawal Selia)," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan makanan dan Komoditi Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim, di perairan Jambu Bongkok, di sini hari ini. Dalam program berkenaan, sebanyak 18 tukun tiruan dilabuhkan di bawah peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang dan Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar serta Pegawai dan Pentadbir Tanah Daerah Marang, Zulkifly Isa. Menurut Adnan, lebih menarik lagi ialah bot-bot berkenaan dibina oleh kontraktor tempatan yang beroperasi di Terengganu iaitu MSET Inflatable Terengganu. "Kita harap dengan bot yang baru ini, moral anggota kita dapat ditingkatkan dan sekali gus aktiviti pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan," tambahnya. Dalam pada itu, Dr. Azman turut berterima kasih kepada pihak kementerian di atas penyerahan aset tersebut. "Ada tujuh bot peronda laju dengan enjin 900HP, boleh dikatakan bot peronda terbesar (dimiliki DOF) dengan panjang 13 meter kerana sebelum ini, bot peronda dalam sekitar 10 meter dengan 600HP. "Dengan saiz yang ada ini sebenarnya memberikan kita pilihan untuk kita menguatkuasakan Akta Perikanan 1985, khususnya perairan Terengganu ini sangat luas sehingga kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sekitar 87,000 kilometer persegi. "Aset-aset yang cekap sangat diperlukan untuk kita menjamin keselamatan perairan kita dan juga menjaga khazanah laut kita kerana kita bukan hanya berhadapan dengan masalah nelayan asing khususnya dari Vietnam, malah kita berdepan pencerobohan bot pukat tunda dari negeri jiran yang menceroboh zon  tangkapan nelayan Terengganu. "Kebanyakan bot pukat tunda yang ditahan melakukan aktiviti pukat tunda dalam jarak 6-7 batu nautika sahaja dari persisir pantai. Jadi, kita tidak pernah berhenti dalam menyuarakan hak nelayan Terengganu supaya Akta Perikanan 1985 ini dikuatkuasakan demi menjamin keharmonian semua pihak. "Aset-aset ini akan meningkatkan lagi kredibiliti dan kemampuan penguatkuasa kita dalam melaksanakan tugas kita," katanya.      
18 Aug 25
192