Artikel "Pertanian" Terkini
Petani Melon Wajar Jadi Contoh – ADUN Sura
DUNGUN, 17 Ogos - Kejayaan seorang petani melon menghasilkan sehingga enam tan buah melon manis setiap musim wajar dijadikan contoh kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang pertanian moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata pencapaian Mohd Jalil Mat Ali, 63, membuktikan bahawa sektor pertanian mempunyai potensi besar menjana pendapatan lumayan jika diusahakan dengan ilmu dan kesungguhan.
“Kita lihat sendiri bagaimana Tuan Haji Jalil mampu menghasilkan lebih 4,000 biji melon setiap musim menggunakan sistem fertigasi. Ini bukan pencapaian kecil,” katanya ketika melawat ladang petani tersebut di sini.
Beliau turut memuji ketekunan dan daya tahan petani itu yang berdepan pelbagai cabaran termasuk serangan musuh tanaman serta peningkatan kos baja dan input pertanian.
“Kejayaan ini perlu diketengahkan sebagai inspirasi kepada anak muda. Kita di peringkat negeri juga komited membantu dengan menyediakan kursus, bantuan input dan membuka lebih banyak peluang pasaran,” katanya lagi.
Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata pihaknya akan terus turun padang bagi meninjau usaha-usaha pertanian di kawasan itu, selain memastikan setiap masalah yang dihadapi petani dapat ditangani dengan segera demi memperkukuh ekonomi luar bandar.
17 Aug 25
93
15 Tahun Usaha, Petani Hasilkan Enam Tan Melon Setiap Musim
DUNGUN, 15 Ogos – “Kalau tidak sabar dan terus belajar, saya mungkin sudah lama berhenti,” kata Mohd Jalil Mat Ali, 63, seorang petani berpengalaman yang kini mampu menghasilkan sehingga enam tan buah melon manis setiap musim hasil usaha lebih 15 tahun dalam bidang pertanian.
Beliau yang mengusahakan tanaman melon manis menggunakan sistem fertigasi menjangkakan hasil sebanyak 4,000 biji buah bagi musim kali ini, dengan tiga musim tuaian setahun.
Menurut Mohd Jalil, pelbagai cabaran dihadapi pada peringkat awal, termasuk serangan haiwan perosak seperti kera dan tupai serta peningkatan kos baja dan racun, namun semuanya ditempuh berbekalkan minat serta keazaman untuk berjaya.
“Saya pernah mengalami kerugian apabila banyak tanaman rosak akibat gangguan kera.
“Tambahan pula, harga baja dan racun semakin mahal. Tapi saya tidak putus asa, saya belajar dan buat penambahbaikan setiap musim,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini.
Beliau berkata, penggunaan sistem fertigasi bukan sahaja membantu meningkatkan hasil dan kualiti buah, malah memudahkan pengurusan ladang secara lebih efisien.
“Kini alhamdulillah, hasil semakin baik dan ada pembeli tetap dari luar daerah. Ini sumber rezeki utama saya,” ujarnya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi turut hadir meninjau hasil tanaman Mohd Jalil dan menyatakan sokongan terhadap usahanya, selain menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang pertanian moden.
Menurutnya, penglibatan belia dalam sektor ini bukan sahaja mampu menjana pendapatan, malah turut menyumbang kepada kelestarian bekalan makanan negara.
16 Aug 25
2780
Jadikan Pertanian Agenda Nasional
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menjadikan sektor pertanian sebagai identiti teras Malaysia yang perlu diberikan tumpuan sepenuhnya dan diangkat sebagai agenda nasional.
Katanya, perkara itu penting untuk diberikan perhatian selain menjadikan 'mega-trend' lain terkini di peringkat global seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan teknologi sebagai fokus pembangunan jangka panjang.
"Lihatlah agenda nasional yang pernah kita berikan tumpuan suatu ketika dahulu, ke mana kesan dan hasilnya masa kini?.
"Adakah ia menjadi pemacu ekonomi negara kita atau ia sekadar trend semasa yang dijadikan tumpuan sehingga kita terlepas fokus yang sepatutnya,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), di Dewan Rakyat, semalam.
12 Aug 25
52
RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sasaran pertumbuhan sektor pertanian Terengganu hanya 1.1 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disifatkan terlalu rendah dan bercanggah dengan pengumuman besar Kerajaan Persekutuan yang mahu menjadikan negeri itu hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata sasaran itu tidak selari dengan potensi sebenar sektor berkenaan.
"Gema besar tapi sasaran kecil. Agak menghairankan mengenai sasaran dan perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau menjelaskan, pengumuman Perdana Menteri di Parlimen berkaitan projek mega itu bercanggah dengan angka sasaran yang terlalu sederhana.
"Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan Negeri Terengganu, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi KDNK sektor pertanian negeri ini disasarkan hanya 1.1 peratus.
"Sedangkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu bagi tahun 2023 ialah 7.4 peratus," jelasnya.
Menurutnya, subsektor perikanan dan akuakultur merupakan nadi ekonomi rakyat, di samping subsektor tanaman dan penternakan yang semakin berkembang pesat.
"Subsektor perikanan dan subsektor akuakultur adalah merupakan salah satu industri strategik bagi ekonomi rakyat Terengganu.
"Subsektor tanaman dan subsektor penternakan Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan kebelakangan ini," tambah beliau.
Azman turut memetik dapatan Banci Pertanian 2024 yang meletakkan Terengganu sebagai negeri dengan pegangan ternakan dan pertanian tertinggi di Malaysia.
"Sebagaimana dapatan dalam Banci Pertanian 2024, Terengganu mempunyai jumlah pegangan ternakan dan pertanian tertinggi dalam negara.
"Kerana itulah, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang tahun 2030," jelasnya lagi.
Beliau menegaskan unjuran itu adalah realistik dan berasaskan data sebenar di lapangan, sekali gus lebih tinggi berbanding sasaran RMK-13.
"Ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan fakta dan data di lapangan.
"Kalau sekadar mensasarkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu pada kadar 1.1 peratus maka ia tak sepadan dengan gema kuat pengumuman untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara," tegasnya.
Beliau menyeru supaya perancangan pembangunan sektor pertanian negeri dipacu ke hadapan dan tidak mundur kebelakang.
"Kita perlu berjalan ke hadapan dan bukannya mengundur ke belakang.
"Saya menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman," ujarnya.
11 Aug 25
514
Dr. Sam Pelik Sasaran PM Terhadap Pertumbuhan Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa hairan terhadap sasaran pertumbuhan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian Terengganu yang hanya ditetapkan pada purata 1.1 peratus setahun.
Menurutnya, angka tersebut tidak mencerminkan potensi sebenar negeri itu, memandangkan sektor perikanan dan akuakultur turut menjadi antara industri strategik dalam ekonomi biru Terengganu.
“Sub-sektor tanaman dan penternakan di Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin memberangsangkan kebelakangan ini.
“Kerajaan negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk berkembang sehingga 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang 2030, atau secara purata 8.0 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Samsuri turut menuntut agar Perdana Menteri mempertimbangkan beberapa perkara berkaitan sektor pertanian, termasuk menyokong pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran, serta pembinaan pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran hasil pertanian dan bekalan makanan di Terengganu.
“Langkah ini sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara,” ujarnya.
11 Aug 25
330
Tertinggi di Malaysia, Terengganu Catat 73,051 Pegangan Pertanian
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Terengganu memiliki 73,051 pegangan pertanian dengan sektor ternakan sebanyak 12,018 yang juga merupakan rekod tertinggi di Malaysia bagi tahun rujukan 2023.
Jumlah tersebut merangkumi 99.1 peratus dimiliki individu dan hanya 0.9 peratus oleh pertubuhan dengan 58,435 melibatkan tanaman, diikuti ternakan (12,018), perikanan tangkapan (3,013), akuakultur (988), serta perhutanan dan pembalakan (195).
Walau bagaimanapun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, angka tersebut tidak selari dengan peningkatan ekonomi pemain industri pertanian skala sara hidup, khususnya golongan B40.
Dr. Azman ibrahim (kanan) dan Dr. Mohd Uzir (kiri)
"Alhamdulillah, di Terengganu kita tengok dari segi individu yang terlibat dalam pertanian, dalam bidang penternakan, angka kita adalah besar. Tapi hasil kita tidak tinggi. Kita tidak berpuas hati dengan bilangan rakyat yang terlibat dalam sektor-sektor yang kita sebut tadi.
"Kalau kita tengok dari segi data tanah sekalipun, di Terengganu ini kelompok yang berada dalam kelompok B40 boleh dikatakan semua ada tanah sekitar seekar sekeluarga. Tapi mereka masih berada dalam kelompok B40, kenapa?.
"Kerana dulu orang-orang tua berfikir jika kita tanam serba sedikit cukup sekadar supaya anak cucu boleh makan. Tak payah beli. Hasil yang dapat, nak makan tak habis tetapi bila nak jual ianya terlalu sedikit," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah DOSM negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid.
Namun, beliau berkata, melalui data bancian terkini daripada DOSM yang lebih tepat, kerajaan negeri kini mampu untuk mentafsirkan data itu kepada pelaksanaan dasar yang lebih tepat serta bermanfaat kepada rakyat.
"Data ini sebenarnya satu input yang sangat penting untuk kita nak merangka bagaimana kita nak meningkatkan ekonomi rakyat.
"Dan mungkin selepas ini kita boleh libatkan syarikat-syarikat dalam bentuk 'anchor' Kemudian, rakyat kita bekerja di bawah dia dalam skala yang kita boleh kata skala komersial.
"Sekurang-kurangnya pendapatan (golongan B40) itu akan meningkat di atas paras kemiskinan. Itu dia antara sumbangan awal yang saya boleh sebut bagaimana kita nak memanfaatkan data dalam bentuk tindakan.
Dalam pada itu, Dr. Azman turut menyuarakan harapan beliau untuk membuang stereotaip umum yang beranggapan industri pertanian tidak menjamin masa depan, terutamanya dalam kalangan belia.
31 Jul 25
3980
Aktiviti Pertanian Terpinggir Perlu Diangkat Dalam Statistik
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sebahagian besar realiti sektor pertanian di Terengganu masih belum terakam sepenuhnya dalam statistik rasmi, sekali gus membuatkan data semasa yang dikumpul tidak dapat memberi gambaran keseluruhan di lapangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, meskipun data yang disediakan sebelum ini diperoleh daripada pelbagai jabatan dan agensi berkaitan, masih wujud ruang besar untuk diharmonikan agar gambaran sebenar di lapangan dapat ditampilkan secara menyeluruh.
Katanya, laporan Interim Banci Pertanian Terengganu 2024 menunjukkan 73,051 pegangan pertanian yang direkodkan di Terengganu bagi tahun rujukan 2023 adalah 99.1 peratus (72,367) merupakan pegangan pertanian individu manakala hanya 0.9 peratus (684) pegangan pertanian milik pertubuhan.
"Kita tidak kata data itu tidak tepat, tetapi masih ada banyak ruang untuk diharmonikan. Contohnya, kalau kita tanya berapa banyak lembu ada di Terengganu, pejabat veterinar bagi angka tertentu.
"Tetapi hakikatnya di negeri Terengganu ini hampir setiap rumah ada lembu yang tidak didaftarkan. Itu masih belum diambil kira lembu yang dilepaskan bebas ditepi jalan," katanya.
Tambah beliau, aktiviti seperti mencandat sotong yang bermusim, pendaratan ikan oleh nelayan kecil, dan ternakan kecil-kecilan di rumah tidak selalu dimasukkan ke dalam rekod rasmi kerana ia tidak melalui saluran yang memerlukan pendaftaran.
"Kalau kita pergi ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk dapatkan data dan jumlah pendaratan, biasanya yang lapor dari segi jumlah daratan hasil tangkapan ini ialah mereka yang nak dapat minyak bersubsidi, elaun sara hidup nelayan dan bantuan-bantuan yang lain.
"Ramai lagi nelayan yang mendaratkan hasil tangkapan di tepi-tepi pantai yang tidak dilaporkan. Setiap tahun bila musim candat sotong, berapa orang mari mencandat sotong di Terengganu, balik dengan ratusan kilo (hasil tangkapan) tanpa direkod.
"Jadi data yang telah kita dapat itu, ada ruang untuk diharmonikan lagi. Maknanya, Angka sebenar jauh lebih besar daripada angka yang berada di atas kertas.
Dr. Azman (tengah), Dr. Mohd Uzir (kiri) dan Marlini (kanan)
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid.
Justeru, Dr. Azman menyambut baik usaha DOSM melalui Banci Pertanian 2024 yang melibatkan bancian rumah ke rumah untuk mendapatkan maklumat menyeluruh merentas sub-sektor tanaman, penternakan, perikanan dan perhutanan.
"Di sinilah penghargaan kita kepada pihak DOSM yang bukan setakat bergelumang di lapangan malah bergelumang dengan angka-angka yang mungkin bagi sesetengah orang memeningkan mata.
"Maknanya bukan semua orang ada kemampuan untuk menganalisa angka dan data yang meliputi semua lapisan masyarakat.
"Sebab itulah saya sangat menghargai dan berterima kasih kerjasama pihak DOSM bersama dengan jabatan-jabatan yang terlibat, memang diakui bukan kerja yang mudah," ujarnya.
31 Jul 25
168
TaniStats Solusi Lambakan Hasil Pertanian
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Kerajaan negeri mencadangkan penggunaan TaniStats atau sistem data pertanian bagi mengatasi masalah lambakan hasil pertanian tempatan yang bukan berpunca daripada kekurangan permintaan, tetapi kegagalan menyampaikan produk ke pasaran yang memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim menaruh harapan platform tersebut bakal merapatkan jurang antara permintaan dan pasaran berpotensi.
Katanya, TaniStats dilengkapi data dari peringkat ladang sehingga peruncitan sekali gus menyediakan data pasaran yang lebih telus dan tepat di seluruh rantaian bekalan.
"Lambakan ini bukan kerana produk tidak ada pembeli, tetapi kita tidak berjaya menyampaikan kepada tempat yang betul.
"Contohnya duku Terengganu, hanya ada di Terengganu. Semasa di tempat kita harga dia 50 sen, di Lembah Klang, di Pulau Pinang dan di utara masih lagi hampir RM2.00 sekilo.
"Maknanya ada tempat orang nak beli, tapi kita tidak berjaya nak menyampaikan ke tempat orang yang nak membeli.
"Dan di sinilah kita harapkan dengan adanya TaniStats, kita boleh tengok keperluan di seluruh negara," beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid.
Tambahnya, platform bersepadu itu turut dilengkapi ciri MyAgroPrice, yang memaparkan harga purata produk pertanian di peringkat ladang, pemborong dan runcit negeri‑negeri dalam Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Dalam pada itu, Dr. Azman turut menegur pelaksanaan pengagihan bantuan pertanian yang bersifat 'lepas tangan' tanpa pemantauan menyeluruh bagi rantaian pengeluaran.
"Satu ketika dahulu, bila buat program pertanian, kita beri sahaja anak pokok. Satu polibeg, dua polibeg seorang bawa balik. Bila kita minta laporan rupanya dah terlalu banyak anak pokok yang diagihkan, tetapi tidak menjadi pokok.
"Mungkin kering di tepi tangga. Bermakna kita hanya lepas tangan (tidak melakukan pemantauan selepas bantuan pertanian diserahkan kepada penerima program). Itu bukan lagi cara bekerja yang betul.
"Cara bekerja yang betul kita kena pastikan dalam rantaian pengeluaran itu semuanya lengkap dan bukan hanya sampai ke peringkat pemasaran sahaja tapi sampai ke peringkat kita menitik beratkan faktor persediaan, khususnya MyGAPS.
MyGAP ataupun 'Amalan Pertanian Baik' adalah skim pensijilan yang komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan yang dilaksanakan berdasarkan piawaian Malaysian Standard (MS).
Azman positif melalui persediaan itu, produk tempatan yang tidak kurang kualitinya berbanding produk pasaran luar mempunyai potensi tinggi untuk menembusi ruang-ruang pasaraya ternama.
31 Jul 25
90
Labuh 12 Tukun Konservasi, Pujuk Ikan 'Berkampung' Di Terengganu
SETIU, 23 Jun - Sebanyak 12 tukun konservasi dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Redang, hari ini sebagai usaha memperkaya pembiakan ikan dan hidupan laut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang dimulakan sejak tahun 2006 itu dipertingkatkan kuantitinya sejak tahun 2018 dan ke atas bagi memastikan keterjaminan hasil laut negeri tersebut.
"Tahun ni selain 12 yang dilabuhkan tadi, kita ada 80 tukun rekreasi yang akan dilabuhkan di beberapa daerah termasuk Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang akan dapat 16 unit bagi setiap lokasi.
"Insya-Allah akan bermula mungkin pertengahan atau minggu keempat bulan Ogos bergantung kepada proses pembuatan tukun itu.
"Alhamdulillah, setakat ini berdasarkan data dan kajian, tukun kita memberi impak positif terhadap peningkatan hasil tangkapan nelayan pantai dan dalam masa sama berfungsi sebagai penampan bagi pukat tunda," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program melabuh tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda (konservasi) bersama Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang, yang berakhir tengahari tadi.
Menurut Dr. Azman, usaha itu semakin memperlihatkan hasil dengan peningkatan hasil tangkapan sebanyak 39 peratus, daripada 33,000 metrik tan kepada 46,000 metrik tan.
"Data untuk tahun 2024 masih menunggu, Insya-Allah (keluar) Julai ini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu. Berdasarkan maklum balas di lapangan ini, kita yakin hasil tangkapan meningkat.
"Kita (kerajaan negeri) mahu wujudkan garis sempadan tukun dari Kemaman ke Besut sejauh 245 kilometer dengan setiap kilometer kita sasarkan ada satu kelompok tukun.
"Sekarang, telah ada 1,600 unit tukun dari Besut ke Kemaman dan apabila program garisan tukun berjalan lancar, hasrat kita ialah ingin melindungi zon tangkapan nelayan pantai dalam jarak lima batu nautika dari pantai, daripada pencerobohan terutamanya pencerobohan pukat tunda," jelasnya.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan negeri melalui portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi menyasarkan sebanyak 80 ke 100 tukun rekreasi akan dilabuhkan setiap tahun.
23 Jun 25
440
Kontraktor Gagal Akan Dituntut Ganti - Dr. Azman
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada kontraktor yang gagal membekalkan benih ikan dan udang berkualiti apabila sejumlah anak udang yang dilepaskan ke sungai didapati mati dan terapung.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa pihak kontraktor akan diminta menggantikan benih tersebut.
"Macam yang kita tengok tadi semua yang turun ke sungai tengok anak udang yang kita lepas tu banyak yang terapung daripada yang boleh berenang.
"Kita tidak akan berkompromi dalam soal kualiti. Kontraktor sudah diberi jadual pelepasan benih jam 9 pagi. Mereka perlu merancang waktu perjalanan dan keadaan penyimpanan benih dengan teliti.
"Maka kita akan tuntut semula dengan kontraktor. Maknanya setiap sen daripada duit rakyat kita mesti pastikan supaya ia sampai kepada rakyat dalam bentuk manfaat.
"Insya-Allah kita mari lepas semula yang tidak hidup.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Dan Insentif Input Akuakultur Serta Pelancaran Penandaan Peralatan Menangkap Ikan Nelayan Darat, semalam.
Menurut Dr. Azman, perkara itu terkandung dalam kontrak dan kerajaan negeri akan memastikan setiap sen peruntukan digunakan sebaik mungkin demi manfaat maksimum kepada rakyat.
Tambahnya lagi, pendekatan pelepasan benih secara berperingkat pada tahun ini membolehkan pemantauan rapi dijalankan bagi menilai keberkesanan program dan menambah baik pelaksanaannya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan rasa syukur apabila kerajaan negeri berjaya mendapat peruntukan yang lebih baik dibawah dana kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan.
"Tahun ini alhamdulillah, negeri Terengganu mendapat satu jumlah yang agak besar dibawah dana kerjasama keterjaminan makanan kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian.
"Kita dapat sehingga 20 projek. Dan diantara projek itu ialah agihan 'input' dan juga pelbagai bantuan kepada sektor nelayan sama ada nelayan darat, nelayan pantai dan juga penternak akuakultur.
"Dan ia akan menyusul satu persatu dan insya-Allah kita akan selesaikan sebelum hujung tahun 2025," jelasnya.
Sehingga 15 Jun 2025, 596,00 ekor benih yang telah dilepaskan di perairan Terengganu adalah dari Pusat Pengembangan Akuakultur Perikanan di Pahang serta Pusat Penetasan Udang Galah di Perak.
23 Jun 25
71