SETIU, 14 Oktober – Kerajaan Terengganu memperkukuh usaha memperkasa sektor pertanian negeri dengan memperuntukkan sebanyak RM430 ribu bagi menaik taraf infrastruktur di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, Setiu.
Peruntukan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan, saliran dan jaringan jalan ladang bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil pertanian peserta di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan TKPM terus menjadi nadi pengeluaran makanan dan sumber pendapatan kepada rakyat.
"Semoga para peserta TKPM boleh meningkatkan pengeluaran hasil dengan penambahbaikan yang kita buat kepada jaringan jalan ladang dan sistem pengairan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, TKPM merupakan tanah milik kerajaan Negeri yang diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) khas untuk tujuan pertanian, penternakan, atau perikanan dengan matlamat utama bagi pengeluaran makanan negara.
Di Terengganu, lebih 2,000 hektar tanah telah diwartakan sebagai TKPM Pertanian termasuklah lokasi-lokasi penting seperti TKPM Palong Jenang Kemaman, TKPM Peradong Manir, TKPM Serating Marang, TKPM Tok Dor Besut dan TKPM Rhu Tapai Setiu.
Selain itu, terdapat kira-kira 4,000 hektar TKPM Penternakan dan sekitar 200 hektar TKPM Perikanan.

Mengulas mengenai konsep TKPM Pertanian, Azman menjelaskan bahawa setiap peserta diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) tanah antara 8 hingga 10 ekar seorang berserta kemudahan infrastruktur.
"Di sinilah mereka membanting tulang mencari rezeki. Kerajaan turut membantu dalam beberapa aspek lain termasuk bantuan teknikal, input dan pemasaran," tambahnya, menegaskan peranan kerajaan dalam menyokong usaha keras peserta TKPM.
Inisiatif naik taraf infrastruktur ini diharap akan memberi impak positif kepada ekonomi peserta TKPM dan seterusnya menyumbang kepada usaha negeri serta negara dalam mencapai tahap keterjaminan makanan yang lebih tinggi.