lightning-solid
Berita :
RM500,000 Naik Taraf Skim Pengairan Padi Paya Paman
RM500,000 Naik Taraf Skim Pengairan Padi Paya Paman
Hidayah Azlin
15 Oct 25
43

KEMAMAN, 15 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan RM500,000 bagi menaik taraf Skim Pengairan Padi di Paya Paman, Kemaman, sebagai langkah strategik memperkukuh infrastruktur pertanian dan memastikan sistem pengairan berfungsi secara lebih efisien.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata projek itu menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam usaha menjamin kelangsungan sektor pertanian serta keterjaminan makanan negeri.

Namun, beliau turut melahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan kawasan tanah padi terbiar, khususnya apabila generasi muda semakin tidak berminat mengusahakan sawah peninggalan keluarga walaupun dilengkapi sistem pengairan dan saliran lengkap.

“Infrastruktur kita boleh cari bajet untuk bina. Namun, kita cukup bimbang dengan situasi tanah padi terbiar apabila generasi muda tidak lagi berminat untuk menguruskan tanah sawah peninggalan orang tua sehingga mewujudkan kawasan sawah terbiar walaupun mempunyai sistem pengairan dan saliran yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial miliknya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Kemaman, khususnya golongan muda, agar kembali aktif dalam aktiviti penanaman padi supaya usaha menaik taraf sistem pengairan ini benar-benar dimanfaatkan.

“Orang Kemaman kena rajin buat padi,” tegasnya.

Dr. Azman turut berharap kemudahan infrastruktur yang lebih baik ini akan menarik semula minat petani termasuk golongan muda untuk mengusahakan tanah sawah, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil padi di daerah tersebut.

Isu penuaan petani dan penyertaan belia yang semakin berkurang dalam sektor pertanian sering dibangkitkan di pelbagai negeri, mendorong kerajaan untuk merangka pendekatan serta insentif baharu bagi menjadikan sektor pertanian lebih menarik, moden dan berdaya saing.
 


Artikel Berkaitan