KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Sekitar 300 bot pelbagai saiz memenuhi muara Sungai Terengganu, petang tadi bagi menzahirlan solidariti kepada perjuangan pembebasan Palestin.
Penasihat Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu (PBSSNT), Hamdi Harun menyifatkan, penganjuran perarakan itu menjadi simbol gelombang kebangkitan rakyat yang membuktikan bahawa walaupun jarak memisahkan, umat Islam di Malaysia tetap bersama dalam doa, sokongan dan perjuangan untuk membela bumi Al-Quds yang diberkati.
"Melihat kepada sambutan dan semangat masyarakat, jumlah itu dijangka melebihi anggaran awal. Ramai pihak ingin turut serta sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin dan meraikan wira-wira Sumud Flotilla yang baru pulang ke tanah air.

"Tujuan utama perarakan ini adalah untuk membakar semula semangat solidariti ummah terhadap perjuangan Palestin, di samping meraikan keberanian para wira yang menyertai misi Taufan Al Aqsa", katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, perjuangan Palestin bukan isu bermusim, sebaliknya ia ujian keimanan dan maruah umat Islam.

"Ketika dunia semakin sunyi dan seolah-olah melupakan penderitaan Gaza, kita mesti terus menyemarakkan kesedaran agar umat tidak lalai.
"Program seperti ini penting untuk memastikan api perjuangan tidak padam dan bukan sekadar dengan slogan, tetapi melalui tindakan, doa, infaq serta kesedaran berterusan.
"Anak muda mesti dididik bahawa membela Palestin adalah sebahagian daripada tanggungjawab iman dan ukhuwah Islamiah," tambahnya.