DUNGUN, 11 Oktober – Program Rawatan Syifa’ anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura di Kampung Sungai Buaya menjadi ruang ketenangan buat penduduk yang berdepan tekanan hidup serta gangguan emosi, melalui pendekatan Islamik berasaskan doa dan ruqyah syariah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, yang turut hadir pada program berkenaan berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu masyarakat menangani tekanan mental dan spiritual dengan cara yang selari dengan ajaran Islam.
“Sebagai seorang doktor yang pernah bertugas di lapangan kesihatan awam, saya melihat ramai yang datang ke hospital bukan semata-mata kerana sakit fizikal, tetapi kerana jiwanya penat dan terbeban. Di sinilah peranan rawatan Syifa’ yang membantu mereka pulih dari dalam melalui doa dan keyakinan kepada Allah,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di program berkenaan.
Beliau berkata, keseimbangan antara rawatan moden dan pendekatan kerohanian perlu ditekankan supaya masyarakat bukan sahaja sihat tubuh badan, tetapi juga tenang hati dan fikiran.
“Kita tidak menolak ubat moden, tetapi kita mengajak masyarakat untuk tidak melupakan ubat hati iaitu zikir, doa dan tawakal. Apabila jiwa kuat, insya-Allah tubuh juga akan menjadi lebih sihat,” ujarnya.
Program yang diadakan di Surau Kampung Sungai Buaya itu menarik penyertaan ramai penduduk yang mendapatkan rawatan ruqyah serta mendengar perkongsian daripada perawat bertauliah.