lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

380 Penduduk Bukit Besi Terima Geran Tanah, Borang 5A
380 Penduduk Bukit Besi Terima Geran Tanah, Borang 5A
  DUNGUN, 14 Julai – Seramai 380 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menerima dokumen hak milik dan borang 5A dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Sivik Jerangau Sungai, pada Selasa. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyifatkan, penyerahan geran itu menandakan satu lagi langkah proaktif kerajaan negeri dalam usaha membantu rakyat memiliki aset kekal yang boleh menjamin masa depan yang lebih baik, khususnya bagi generasi muda. Beliau turut mengingatkan bahawa hak milik yang diperoleh adalah satu amanah besar yang perlu dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab. “Jangan sesekali menjual tanah ini dengan mudah. Tanah adalah aset kekal yang nilainya akan semakin tinggi. "Hari ini kita mungkin tidak nampak manfaatnya, tetapi percayalah, suatu hari nanti anak cucu kita akan menangis jika tanah ini tergadai. “Gunakan tanah ini sebaik mungkin. Jika mampu, jadikan ia sebagai tapak pertanian, kediaman, atau projek kecil yang boleh membuka peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada komuniti setempat," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut, baru-baru ini. Majlis bersejarah itu menyaksikan seramai 242 penerima borang 5A bagi kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Bukit Besi Sejahtera, RTB Pertanian Sungai Angka dan RTB Pertanian Pasir Raja, Manakala 138 orang lagi menerima geran hak milik tanah, menjadikan jumlah keseluruhan penerima seramai 380 orang.
15 Jul 25
289
ADUN Sura Komited Tangani Isu Air Bertakung
ADUN Sura Komited Tangani Isu Air Bertakung
DUNGUN, 9 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi menzahirkan komitmen tinggi dalam menangani isu longkang tersumbat yang menyebabkan masalah air bertakung di kawasan Sura Hujung dan Kampung Kubang Miang, menjelang ketibaan musim tengkujuh yang semakin hampir. Menurutnya, longkang di kawasan terbabit kelihatan sempurna dari segi fizikal, namun gagal berfungsi dengan baik apabila berlaku hujan lebat. "Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana boleh mengakibatkan banjir dan menjadi punca kepada risiko kesihatan penduduk. “Longkang yang ada sepatutnya membantu melancarkan aliran air. "Namun apabila ia sering tersumbat, ia bukan sahaja gagal berfungsi malah boleh mengundang pelbagai masalah lain termasuk pembiakan nyamuk dan pencemaran persekitaran,” katanya. Dr Fakhruddin turut memaklumkan, isu tersebut telah disampaikan kepada pihak berkuasa tempatan dan menggesa agar tindakan segera diambil sebelum musim hujan tiba. “Masalah ini tidak boleh dipandang ringan. Sekiranya tidak ditangani lebih awal, ia boleh menyebabkan limpahan air dan kesulitan kepada penduduk sekitar,” tambahnya. “Kami akan terus memantau perkembangan di kawasan terlibat dan memastikan tindakan sewajarnya diambil. "Usaha pencegahan lebih baik daripada membiarkan rakyat menanggung akibat kemudian hari,” ujarnya sambil menegaskan bahawa perhatian terhadap isu seperti ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, khususnya dalam memastikan persekitaran yang selamat dan bersih.  
09 Jul 25
92
Terengganu Salur RM34 Ribu Bantu Mangsa Hakisan Pantai
Terengganu Salur RM34 Ribu Bantu Mangsa Hakisan Pantai
KUALA NERUS, 9 Julai – Sebanyak RM34,500 bantuan tunai disalurkan Kerajaan Negeri kepada 45 keluarga yang terjejas akibat hakisan pantai di Batu Rakit, sebagai tanda keprihatinan terhadap penduduk yang kehilangan rumah, gerai dan tanah tempat bergantung hidup. Dalam kepedihan kehilangan tempat berteduh, hadir sedikit sinar apabila bantuan segera itu diagihkan mengikut tahap kerosakan, sekali gus memberi nafas baharu kepada mangsa untuk bangkit semula. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, bencana itu bukan sekadar melibatkan kerosakan fizikal, tetapi turut menggugat kestabilan hidup penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada laut dan tanah sebagai sumber rezeki. "Antara kerosakan yang berlaku termasuk runtuhan jalan sepanjang 50 meter di Kampung Tanjung, kerosakan gerai dan jeti nelayan, serta kehilangan rumah dan tanah penduduk," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu majlis penyerahan sumbangan di Masjid Al-Abrar, Kampung Tanjung, di sini baru-baru ini. Beliau memaklumkan bahawa bantuan tunai disalurkan berdasarkan tahap kerosakan harta masing-masing. "Jumlah keseluruhan bantuan tunai yang disalurkan adalah sebanyak RM34,500. "Bantuan ini melibatkan pemberian RM500 kepada pengusaha kiosk yang terjejas dan RM2,000 kepada pemilik rumah serta kedai yang mengalami kerosakan teruk,", jelasnya. Tambah Shafizi, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menangani kesan hakisan secara menyeluruh, termasuk pembinaan benteng dan baik pulih infrastruktur terjejas. "Sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM80,000 bagi pembinaan benteng perlindungan sementara di Kampung Pengkalan Maras. "Selain itu, sebanyak RM120,000 turut diluluskan untuk kerja baik pulih dan pencegahan hakisan di Kampung Tanjung," tambahnya. Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ketika kejadian, terutama semasa musim tengkujuh yang lalu. "Ketika kejadian musim tengkujuh lalu, beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ke Kampung Kolam demi keselamatan. "Langkah ini diambil sementara menunggu penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh," ujarnya. Salah seorang penerima bantuan, Zamri Sulong, 43, kehilangan rumah dan tanah miliknya yang dianggarkan bernilai RM30,000 akibat ombak besar yang melanda secara tiba-tiba. "Rumah dan tanah yang kami bina bertahun-tahun hilang dalam satu malam. "Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu kerana prihatin terhadap nasib kami semua,” ujarnya.  
08 Jul 25
31
Dua Keluarga Mangsa Kebakaran Terima Kunci Rumah Baharu
Dua Keluarga Mangsa Kebakaran Terima Kunci Rumah Baharu
DUNGUN, 9 Julai - Dua keluarga yang mengalami musibah kebakaran rumah di Paka pada Ogos tahun lalu, menemukan titik bahagia apabila menerima kunci rumah baru hasil inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Tabung Darul Iman, semalam. Raja Kamarul Badri Raja Ab Malek dan Muhammad Nazimin Nasir yang masing-masing kehilangan kediaman mereka dalam kebakaran pada 2 Ogos 2024, kini mampu menarik nafas lega apabila rumah baharu mereka berjaya disiapkan dengan peruntukan khas sebanyak RM70,000 setiap satu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat ketika proses penyerahan rumah berkenaan semalam, menzahirkan harapan semoga rumah baru yang bakal didiami mereka menjadi tempat lahirnya ketenangan, kasih sayang dan keberkatan buat dua keluarga ini. “Ambe hadir hari ini bukan sekadar nak serah kunci, tapi nak sampaikan rasa kasih sayang kerajaan negeri kepada rakyat. Ini bukan hanya rumah batu, tapi rumah harapan. "Kita hendak mereka yang diuji bangkit semula dengan semangat baharu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat penyerahan dua kunci rumah yang baru siap dibina itu kepada mereka di Jalan Santong, Paka.     Senyuman jelas terukir di wajah kedua-dua penerima ketika menerima kunci rumah mereka. “Saya tak dapat gambarkan betapa bersyukurnya kami hari ini. Rumah lama memang dah habis terbakar, tapi syukur, ada yang prihatin. Terima kasih kepada YB (Yang Berhor,at) , kerajaan negeri dan semua yang bantu kami,” kata Raja Kamarul Badri.  
08 Jul 25
74
Terengganu Pertimbang Tambah Anak Angkat Pelajar UPSI
Terengganu Pertimbang Tambah Anak Angkat Pelajar UPSI
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Kerajaan Terengganu kini mempertimbangkan cadangan dan kemungkinan menambah jumlah anak angkat kerajaan negeri di kalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tercedera dalam tragedi nahas bas pelajar di Gerik, Perak, awal Jun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, pihaknya sedang menilai perkara itu menerusi portfolio yang dipegangnya. "Kita kini menerima dua lagi permohonan (untuk pertambahan) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, tetapi kita tengah meneliti perkara ini. "Ini disebabkan, tanggungan ini akan berterusan sehingga mereka tamat pengajian, jadi prosesnya agak lama. "Kita juga telah angkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bahawa proses pembayaran akan terus berlangsung sehingga ke akhir pengajian.  "Bermakna, jika saya tidak jadi exco sekali pun pembayaran itu akan tetap dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, setakat ini kerajaan negeri telah meluluskan dua pelajar UPSI terlibat iaitu Muhammad Adham Tuan Adnan dan Nur Ain Najwa Mohd Ilias dijadikan sebagai 'anak angkat kerajaan negeri'. "Pemilihan kedua-dua pelajar dipertimbangkan atas dasar latar belakang keluarga yang susah. "Seorang (Adham), diketahui kedua-dua ibu bapanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan, bapanya  juga cacat fizikal dan ibunya pula sakit kronik. "Seorang (Ain Najwa) lagi adalah anak yatim dan dari keluarga susah. "Jadi, kita ambil kedua-dua mereka untuk kita tanggung (dengan bantuan kewangan) sebanyak RM500 sebulan bagi meringankan beban keluarga mereka," ujarnya.
07 Jul 25
213
ADUN Air Putih Santuni Mangsa Kebakaran di Kg Pengkalan Binjai
ADUN Air Putih Santuni Mangsa Kebakaran di Kg Pengkalan Binjai
KEMAMAN, 2 Julai – Kebajikan satu keluarga yang terkesan akibat kebakaran di Kampung Pengkalan Binjai, Kemaman semalam mendapat perhatian segera Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam. Menurutnya, beliau akan melihat keperluan dan bantuan yang sesuai untuk disalurkan bagi meringankan beban mangsa yang hilang hampir segala-galanya dalam tragedi itu. “Mewakili kerajaan negeri saya amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa, justeru itu pada hari ini saya turun padang menyampaikan bantuan awal termasuk wang tunai, barangan dapur, pakaian serta keperluan harian lain bagi meringankan beban keluarga tersebut yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian berkenaan. “Buat sementara waktu, keluarga Yusri akan ditempatkan di sebuah homestay sebelum berpindah ke rumah sewa yang lebih sesuai. "Saya juga telah berbincang bersama pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menyelaras urusan penempatan mereka,” ujarnya. Tambah beliau lagi, usaha membaik pulih rumah kediaman keluarga tersebut akan diteruskan secara berperingkat agar mereka dapat kembali mendiami kediaman yang selesa. Mohd Hafiz menegaskan bahawa segala janji untuk menjaga kebajikan rakyat akan terus dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh. “Bantuan ini bukan sekadar simbolik, ia bukti bahawa kami hadir untuk bertindak, bukan sekadar berkata-kata,” katanya. Kebakaran pada pukul 11.15 pagi itu disedari Mohd. Yusraf Irfan Mohd. Yusri, 22, apabila dia terhidu bau asap dan terdengar beberapa bunyi letupan kecil sewaktu tengah mandi di dalam bilik air tersebut.
03 Jul 25
48
Santuni Balu Veteran ATM, Hargai Jasa Pejuang Negara
Santuni Balu Veteran ATM, Hargai Jasa Pejuang Negara
DUNGUN, 30 Jun – Seramai 64 orang balu bekas Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Dungun menerima sumbangan bantuan berupa beras, ayam dan wang tunai dalam satu program yang diadakan di Pejabat Persatuan Veteran ATM Cawangan Dungun, baru-baru ini. Menurut kenyataan yang dikeluarkan di Facebook Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, program berkenaan bukan sekadar simbolik pemberian sumbangan, malah merupakan satu bentuk penghargaan dan kasih sayang masyarakat terhadap waris-waris pejuang negara yang telah banyak berkorban demi keamanan dan kedaulatan tanah air. “Pengorbanan anggota tentera tidak ternilai harganya dan jasa mereka wajar dikenang sepanjang zaman. Maka apabila seorang pejuang telah kembali ke rahmatullah, menjadi tanggungjawab kita untuk terus menyantuni keluarga yang ditinggalkan, khususnya balu yang memainkan peranan besar sebagai penyambung perjuangan di sisi keluarga. “Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung serta menyuntik semangat untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup. Usaha kecil ini diharapkan menjadi amal jariah dan bukti bahawa jasa para veteran tidak pernah dilupakan,” ujarnya dalam kenyataan itu. Tambahnya, program seumpama itu dilihat penting bagi membina jalinan kebersamaan antara masyarakat dan waris pejuang negara, di samping menyemarakkan semangat solidariti serta kesinambungan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. Sumbangan telah disampaikan oleh Pegawai Khas kepada YB Ahli Parlimen Dungun, Tuan Haji Mohd Amin bin Hamid, yang mewakili beliau dalam program tersebut.        
24 Jun 25
127
Labuh 12 Tukun Konservasi, Pujuk Ikan 'Berkampung' Di Terengganu
Labuh 12 Tukun Konservasi, Pujuk Ikan 'Berkampung' Di Terengganu
SETIU, 23 Jun - Sebanyak 12 tukun konservasi dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Redang, hari ini sebagai usaha memperkaya pembiakan ikan dan hidupan laut.  Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang dimulakan sejak tahun 2006 itu dipertingkatkan kuantitinya sejak tahun 2018 dan ke atas bagi memastikan keterjaminan hasil laut negeri tersebut. "Tahun ni selain 12 yang dilabuhkan tadi, kita ada 80 tukun rekreasi yang akan dilabuhkan di beberapa daerah termasuk Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang akan dapat 16 unit bagi setiap lokasi. "Insya-Allah akan bermula mungkin pertengahan atau minggu keempat bulan Ogos bergantung kepada proses pembuatan tukun itu.  "Alhamdulillah, setakat ini berdasarkan data dan kajian, tukun kita memberi impak positif terhadap peningkatan hasil tangkapan nelayan pantai dan dalam masa sama berfungsi sebagai penampan bagi pukat tunda," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program melabuh tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda (konservasi) bersama Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang, yang berakhir tengahari tadi. Menurut Dr. Azman, usaha itu semakin memperlihatkan hasil dengan peningkatan hasil tangkapan sebanyak 39 peratus, daripada 33,000 metrik tan kepada 46,000 metrik tan. "Data untuk tahun 2024 masih menunggu, Insya-Allah (keluar) Julai ini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu. Berdasarkan maklum balas di lapangan ini, kita yakin hasil tangkapan meningkat.  "Kita (kerajaan negeri) mahu wujudkan garis sempadan tukun dari Kemaman ke Besut sejauh 245 kilometer dengan setiap kilometer kita sasarkan ada satu kelompok tukun.  "Sekarang, telah ada 1,600 unit tukun dari Besut ke Kemaman dan apabila program garisan tukun berjalan lancar, hasrat kita ialah ingin melindungi zon tangkapan nelayan pantai dalam jarak lima batu nautika dari pantai, daripada pencerobohan terutamanya pencerobohan pukat tunda," jelasnya. Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan negeri melalui portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi menyasarkan sebanyak 80 ke 100 tukun rekreasi akan dilabuhkan setiap tahun.  
23 Jun 25
442
Ibadah Korban DUN Sura Sasar Golongan Memerlukan
Ibadah Korban DUN Sura Sasar Golongan Memerlukan
DUNGUN, 7 Jun – Sebanyak 20 ekor lembu dan 11 ekor kambing telah dikorbankan dalam Program Korban Perdana DUN Sura sempena Aidiladha kali ini. Keutamaan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan termasuk anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan keluarga berpendapatan rendah di sekitar kawasan tersebut. Daripada jumlah tersebut, beberapa ekor lembu merupakan sumbangan orang ramai yang prihatin bagi membantu meluaskan manfaat kepada lebih ramai penerima, khususnya anak-anak yatim dan golongan mustadh’afin di kawasan DUN Sura. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata beliau amat bersyukur kerana segala proses ibadah korban berjalan lancar dan menyentuh secara langsung keperluan masyarakat setempat. “Alhamdulillah, semua proses penyembelihan dan agihan daging qurban berjalan dengan sempurna. Ini hasil kerjasama erat antara para petugas, penyumbang dan penduduk setempat yang bersama-sama menjayakan program ini dengan penuh keikhlasan,” katanya ketika ditemui di lokasi program. Menurut beliau, ibadah korban bukan sahaja satu tuntutan syariah, tetapi juga lambang kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. “Sebahagian besar agihan tahun ini difokuskan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang hidup dalam kesempitan. Kita mahu Aidiladha ini dirasai bersama, tanpa ada yang terpinggir,” ujarnya. Dr. Tengku Fakhruddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dan petugas yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program tersebut. “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang lembu, kambing dan tenaga. Semoga Allah SWT membalas setiap kebaikan dengan ganjaran yang lebih besar di dunia dan akhirat,” tambah beliau. Program Korban Perdana DUN Sura kini menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan rakyat, dengan penyertaan dan sambutan yang terus meningkat dari tahun ke tahun.
12 Jun 25
73
Nahas Pelajar UPSI: Bantuan Segera RM2,000 Tanda Kasih
Nahas Pelajar UPSI: Bantuan Segera RM2,000 Tanda Kasih
SETIU, 10 Jun – Empat keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi meratap pemergian anak-anak tersayang dalam nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meragut 15 nyawa.  Dalam suasana duka itu, Kerajaan Terengganu tampil menghulurkan bantuan segera berjumlah RM2,000, masing-masing RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 lagi dari Pejabat ADUN Jabi, sebagai tanda kasih kepada keluarga mangsa. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, bantuan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap penderitaan rakyat.  "Saya merakamkan ucapan takziah dengan rasa simpati yang mendalam kepada semua 15 mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas UPSI.  "Khususnya empat orang mangsa daripada DUN Jabi,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa di sekitar Jabi, di sini hari ini. Beliau turut menyifatkan pemberian itu bukan sekadar bantuan material, tetapi tanda kehadiran kerajaan di sisi rakyat dalam saat paling getir.  "Walaupun sumbangan ini tidak dapat mengubati kesedihan, tapi sebagai tanda kita bersama di waktu-waktu sukar sebegini,” ujar beliau. Empat pelajar yang terkorban dikenal pasti sebagai Allahyarhamah Fatin Nasrien dari Kampung Kerandang, Allahyarhamah Nur Ainul Qistina dari Kampung Anak Ikan, Allahyarhamah Nur Dalila Farhana dari Kampung Banggol Tok Dor dan Allahyarhamah Nurly Sahirah dari Kampung Gong Pasir, kesemuanya mahasiswa UPSI yang sedang menuntut dalam pelbagai semester. "Mereka adalah anak-anak permata Jabi yang diharapkan mampu menjadi pendidik anak bangsa, tapi Allah lebih menyayangi mereka.  "Saya ucapkan takziah yang sangat bersangatan," ucap nya penuh hiba. Dalam masa sama, ADUN Jabi turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang membantu menguruskan jenazah mangsa.  "Jazakumullahu khairan jaza kepada semua pihak yang membantu dari awal sehingga selamat disempurnakan di tanah perkuburan.  "Semua ini insya-Allah akan diganjari Allah dengan ganjaran yang melimpah," katanya.  
10 Jun 25
436