DUNGUN, 7 Jun – Sebanyak 20 ekor lembu dan 11 ekor kambing telah dikorbankan dalam Program Korban Perdana DUN Sura sempena Aidiladha kali ini.
Keutamaan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan termasuk anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan keluarga berpendapatan rendah di sekitar kawasan tersebut.
Daripada jumlah tersebut, beberapa ekor lembu merupakan sumbangan orang ramai yang prihatin bagi membantu meluaskan manfaat kepada lebih ramai penerima, khususnya anak-anak yatim dan golongan mustadh’afin di kawasan DUN Sura.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata beliau amat bersyukur kerana segala proses ibadah korban berjalan lancar dan menyentuh secara langsung keperluan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, semua proses penyembelihan dan agihan daging qurban berjalan dengan sempurna. Ini hasil kerjasama erat antara para petugas, penyumbang dan penduduk setempat yang bersama-sama menjayakan program ini dengan penuh keikhlasan,” katanya ketika ditemui di lokasi program.

Menurut beliau, ibadah korban bukan sahaja satu tuntutan syariah, tetapi juga lambang kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Sebahagian besar agihan tahun ini difokuskan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang hidup dalam kesempitan. Kita mahu Aidiladha ini dirasai bersama, tanpa ada yang terpinggir,” ujarnya.

Dr. Tengku Fakhruddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dan petugas yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program tersebut.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang lembu, kambing dan tenaga. Semoga Allah SWT membalas setiap kebaikan dengan ganjaran yang lebih besar di dunia dan akhirat,” tambah beliau.
Program Korban Perdana DUN Sura kini menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan rakyat, dengan penyertaan dan sambutan yang terus meningkat dari tahun ke tahun.