DUNGUN, 9 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi menzahirkan komitmen tinggi dalam menangani isu longkang tersumbat yang menyebabkan masalah air bertakung di kawasan Sura Hujung dan Kampung Kubang Miang, menjelang ketibaan musim tengkujuh yang semakin hampir.
Menurutnya, longkang di kawasan terbabit kelihatan sempurna dari segi fizikal, namun gagal berfungsi dengan baik apabila berlaku hujan lebat.
"Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana boleh mengakibatkan banjir dan menjadi punca kepada risiko kesihatan penduduk.
“Longkang yang ada sepatutnya membantu melancarkan aliran air.
"Namun apabila ia sering tersumbat, ia bukan sahaja gagal berfungsi malah boleh mengundang pelbagai masalah lain termasuk pembiakan nyamuk dan pencemaran persekitaran,” katanya.

Dr Fakhruddin turut memaklumkan, isu tersebut telah disampaikan kepada pihak berkuasa tempatan dan menggesa agar tindakan segera diambil sebelum musim hujan tiba.
“Masalah ini tidak boleh dipandang ringan. Sekiranya tidak ditangani lebih awal, ia boleh menyebabkan limpahan air dan kesulitan kepada penduduk sekitar,” tambahnya.
“Kami akan terus memantau perkembangan di kawasan terlibat dan memastikan tindakan sewajarnya diambil.
"Usaha pencegahan lebih baik daripada membiarkan rakyat menanggung akibat kemudian hari,” ujarnya sambil menegaskan bahawa perhatian terhadap isu seperti ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, khususnya dalam memastikan persekitaran yang selamat dan bersih.
