DUNGUN, 9 Julai - Dua keluarga yang mengalami musibah kebakaran rumah di Paka pada Ogos tahun lalu, menemukan titik bahagia apabila menerima kunci rumah baru hasil inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Tabung Darul Iman, semalam.
Raja Kamarul Badri Raja Ab Malek dan Muhammad Nazimin Nasir yang masing-masing kehilangan kediaman mereka dalam kebakaran pada 2 Ogos 2024, kini mampu menarik nafas lega apabila rumah baharu mereka berjaya disiapkan dengan peruntukan khas sebanyak RM70,000 setiap satu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat ketika proses penyerahan rumah berkenaan semalam, menzahirkan harapan semoga rumah baru yang bakal didiami mereka menjadi tempat lahirnya ketenangan, kasih sayang dan keberkatan buat dua keluarga ini.
“Ambe hadir hari ini bukan sekadar nak serah kunci, tapi nak sampaikan rasa kasih sayang kerajaan negeri kepada rakyat. Ini bukan hanya rumah batu, tapi rumah harapan.
"Kita hendak mereka yang diuji bangkit semula dengan semangat baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penyerahan dua kunci rumah yang baru siap dibina itu kepada mereka di Jalan Santong, Paka.

Senyuman jelas terukir di wajah kedua-dua penerima ketika menerima kunci rumah mereka.
“Saya tak dapat gambarkan betapa bersyukurnya kami hari ini. Rumah lama memang dah habis terbakar, tapi syukur, ada yang prihatin. Terima kasih kepada YB (Yang Berhor,at) , kerajaan negeri dan semua yang bantu kami,” kata Raja Kamarul Badri.
