KEMAMAN, 2 Julai – Kebajikan satu keluarga yang terkesan akibat kebakaran di Kampung Pengkalan Binjai, Kemaman semalam mendapat perhatian segera Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam.
Menurutnya, beliau akan melihat keperluan dan bantuan yang sesuai untuk disalurkan bagi meringankan beban mangsa yang hilang hampir segala-galanya dalam tragedi itu.
“Mewakili kerajaan negeri saya amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa, justeru itu pada hari ini saya turun padang menyampaikan bantuan awal termasuk wang tunai, barangan dapur, pakaian serta keperluan harian lain bagi meringankan beban keluarga tersebut yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian berkenaan.
“Buat sementara waktu, keluarga Yusri akan ditempatkan di sebuah homestay sebelum berpindah ke rumah sewa yang lebih sesuai.
"Saya juga telah berbincang bersama pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menyelaras urusan penempatan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, usaha membaik pulih rumah kediaman keluarga tersebut akan diteruskan secara berperingkat agar mereka dapat kembali mendiami kediaman yang selesa.
Mohd Hafiz menegaskan bahawa segala janji untuk menjaga kebajikan rakyat akan terus dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh.
“Bantuan ini bukan sekadar simbolik, ia bukti bahawa kami hadir untuk bertindak, bukan sekadar berkata-kata,” katanya.
Kebakaran pada pukul 11.15 pagi itu disedari Mohd. Yusraf Irfan Mohd. Yusri, 22, apabila dia terhidu bau asap dan terdengar beberapa bunyi letupan kecil sewaktu tengah mandi di dalam bilik air tersebut.