lightning-solid
Berita :
380 Penduduk Bukit Besi Terima Geran Tanah, Borang 5A
380 Penduduk Bukit Besi Terima Geran Tanah, Borang 5A
Muhammad Amiruddin Zamri
15 Jul 25
289

 

DUNGUN, 14 Julai – Seramai 380 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menerima dokumen hak milik dan borang 5A dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Sivik Jerangau Sungai, pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyifatkan, penyerahan geran itu menandakan satu lagi langkah proaktif kerajaan negeri dalam usaha membantu rakyat memiliki aset kekal yang boleh menjamin masa depan yang lebih baik, khususnya bagi generasi muda.

Beliau turut mengingatkan bahawa hak milik yang diperoleh adalah satu amanah besar yang perlu dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Jangan sesekali menjual tanah ini dengan mudah. Tanah adalah aset kekal yang nilainya akan semakin tinggi.

"Hari ini kita mungkin tidak nampak manfaatnya, tetapi percayalah, suatu hari nanti anak cucu kita akan menangis jika tanah ini tergadai.

“Gunakan tanah ini sebaik mungkin. Jika mampu, jadikan ia sebagai tapak pertanian, kediaman, atau projek kecil yang boleh membuka peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada komuniti setempat," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut, baru-baru ini.

Majlis bersejarah itu menyaksikan seramai 242 penerima borang 5A bagi kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Bukit Besi Sejahtera, RTB Pertanian Sungai Angka dan RTB Pertanian Pasir Raja,

Manakala 138 orang lagi menerima geran hak milik tanah, menjadikan jumlah keseluruhan penerima seramai 380 orang.


Tag :

Artikel Berkaitan