KUALA NERUS, 9 Julai – Sebanyak RM34,500 bantuan tunai disalurkan Kerajaan Negeri kepada 45 keluarga yang terjejas akibat hakisan pantai di Batu Rakit, sebagai tanda keprihatinan terhadap penduduk yang kehilangan rumah, gerai dan tanah tempat bergantung hidup.
Dalam kepedihan kehilangan tempat berteduh, hadir sedikit sinar apabila bantuan segera itu diagihkan mengikut tahap kerosakan, sekali gus memberi nafas baharu kepada mangsa untuk bangkit semula.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, bencana itu bukan sekadar melibatkan kerosakan fizikal, tetapi turut menggugat kestabilan hidup penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada laut dan tanah sebagai sumber rezeki.
"Antara kerosakan yang berlaku termasuk runtuhan jalan sepanjang 50 meter di Kampung Tanjung, kerosakan gerai dan jeti nelayan, serta kehilangan rumah dan tanah penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis penyerahan sumbangan di Masjid Al-Abrar, Kampung Tanjung, di sini baru-baru ini.

Beliau memaklumkan bahawa bantuan tunai disalurkan berdasarkan tahap kerosakan harta masing-masing.
"Jumlah keseluruhan bantuan tunai yang disalurkan adalah sebanyak RM34,500.
"Bantuan ini melibatkan pemberian RM500 kepada pengusaha kiosk yang terjejas dan RM2,000 kepada pemilik rumah serta kedai yang mengalami kerosakan teruk,", jelasnya.
Tambah Shafizi, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menangani kesan hakisan secara menyeluruh, termasuk pembinaan benteng dan baik pulih infrastruktur terjejas.
"Sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM80,000 bagi pembinaan benteng perlindungan sementara di Kampung Pengkalan Maras.
"Selain itu, sebanyak RM120,000 turut diluluskan untuk kerja baik pulih dan pencegahan hakisan di Kampung Tanjung," tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ketika kejadian, terutama semasa musim tengkujuh yang lalu.
"Ketika kejadian musim tengkujuh lalu, beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ke Kampung Kolam demi keselamatan.
"Langkah ini diambil sementara menunggu penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh," ujarnya.
Salah seorang penerima bantuan, Zamri Sulong, 43, kehilangan rumah dan tanah miliknya yang dianggarkan bernilai RM30,000 akibat ombak besar yang melanda secara tiba-tiba.
"Rumah dan tanah yang kami bina bertahun-tahun hilang dalam satu malam.
"Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu kerana prihatin terhadap nasib kami semua,” ujarnya.
