lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

Selesai Urus Jenazah, Terengganu Fokus Bantu Mangsa Cedera
Selesai Urus Jenazah, Terengganu Fokus Bantu Mangsa Cedera
BESUT, 10 Jun - Berakhirnya urusan pengebumian jenazah mangsa-mangsa nahas kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik dengan pengebumian dua jenazah terakhir, Nurul Izyanti Muhammad Azahar dan Nurul Fatihah Setaman hari ini, Kerajaan Terengganu kini fokus dalam menyalurkan bantuan bagi mangsa-mangsa yang tercedera. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, pihaknya sedang memperkemaskan maklumat untuk penyaluran bantuan tersebut. "Malam ini (semalam) kita sudah berikan bantuan segera sebanyak RM1,000 seorang kepada YB masing-masing iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera (3 orang mangsa) ,Kuala Besut (1), Hulu Besut (5), Jerteh (1), Langkap (1) dan Jabi (4 mangsa). Itu untuk bantuan segera. "Selepas ini, kita akan fokus kepada yang cedera. Kita banyak sumber sebenarnya, cuma belum tahu lagi mungkin dari JKM, universiti dan sebagainya. "Setakat ini kita dapat maklumat yang kritikal ada seorang di Ipoh yang memerlukan pembedahan dengan kos sebanyak RM27,000," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan solat jenazah 13 mangsa terlibat di Masjid Hadhari Jerteh, awal pagi tadi. Beliau memaklumkan akan meneliti kos berkenaan serta berunding dengan pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkaitan perkara itu. "Kita juga akan tengok lagi bagi yang cedera dan meneliti lokasi mereka berada. "Ini termasuk pemandu dan kelindan kerana mereka rakyat Terengganu juga. "Setakat ini, saya telah berhubung dengan isteri pemandu dan dia maklumkan ada patah (cedera) tetapi tidak disahkan lagi tahapnya. "Manakala, kelindan masih tidak pasti keadaannya," katanya.  
10 Jun 25
163
Nahas Pelajar UPSI: DUN Jabi Sumbang RM1,000 Buat Keluarga Mangsa
Nahas Pelajar UPSI: DUN Jabi Sumbang RM1,000 Buat Keluarga Mangsa
SETIU, 9 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada empat keluarga mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di DUN berkenaan. Empat mangsa nahas dari DUN itu ialah Allahyarhamah Fatin Nasrien dari Kampung Kerandang, Allahyarhamah Nur Ainul Qistina Mat Ali (Kg Anak Ikan), Allahyarhamah Nur Dalila Farhana Mohamad Isma (Kg Bharu Tok Dor) dan Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman (Kg Gong Pasir). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, sumbangan tunai tersebut merupakan inisiatif bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa dalam menyempurnakan urusan kepulangan jenazah anak-anak mereka. "Di Jabi, memang ada tabung khairat kematian yang apabila berlaku kematian kita bagi RM1,200 kepada ahli dan juga RM1,000 kepada tanggungan. "Tetapi, apabila mangsa yang terlibat ini bukan ahli, kita salurkan (ia sebagai) bantuan segera bagi meringankan bebanan mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Kerandang, hari ini. Tambahnya, bantuan itu boleh salurkan bila-bila masa, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana semua waris kini berada di Ipoh menguruskan kepulangan jenazah. Dr. Azman sempat menziarahi keluarga mangsa di rumah masing-masing serta meninjau persiapan kariah kampung menyambut kepulangan jenazah mahasiswa-mahasiswi terbabit, petang tadi turut meluahkan kesediaan pihaknya membantu. "Di Kg Kerandang kita sudah siapkan liang lahad dari tadi lagi, di Kg Anak Ikan pun. Maknanya, sekadar yang kita boleh bantu bagi meringankan urusan mereka. "Ia bukan hanya bantuan secara 'One-off', kita akan bantu apa yang perlu secara berperingkat pada kadar kemampuan kita.  Dato' Dr Azman bertemu Haziq, adik Allahyarhamah Nur Ainul Qistina Mat Ali di Kg Anak Ikan, petang tadi. "Alhamdulillah, semua membantu dari kerajaan negeri, UPSI, pejabat ADUN dan badan bukan kerajaan (NGO) juga banyak membantu. "Bagi pihak DUN Jabi, kami mengucapkan takziah dengan sangat mendalam dan simpati, bukan hanya keluarga tetapi kami juga merasa kehilangan," ujarnya.
09 Jun 25
223
Zuraida Bawa Amanah 472 Peserta, Jayakan Misi Korban di Kemboja
Zuraida Bawa Amanah 472 Peserta, Jayakan Misi Korban di Kemboja
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengetuai delegasi misi kemanusiaan ke Kemboja bagi melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha, mewakili 472 peserta dari Terengganu yang menyertai program tahun ini. Misi anjuran bersama dua badan bukan kerajaan, NISA’ Terengganu dan JANITA, membawa semangat ukhuwah dan amanah rakyat Malaysia untuk disampaikan kepada masyarakat Islam di pedalaman Kemboja. Menurut Zuraida, proses penyembelihan haiwan korban dilaksanakan pada 8 dan 9 Jun, manakala program kebajikan khas untuk 200 keluarga asnaf di sempadan Vietnam pula dijadual berlangsung pada Hari Raya keempat.  “Program ini satu bentuk dakwah dan kasih sayang sesama umat Islam di rantau ini.  “Kita ingin sampaikan bahawa saudara kita di Kemboja tidak bersendirian,” katanya sebelum berlepas ke lokasi misi. Beliau memaklumkan bahawa gangguan capaian internet mungkin berlaku kerana lokasi pelaksanaan berada di kawasan pedalaman, menyebabkan kemas kini perjalanan misi akan dikongsikan sedikit lewat bergantung kepada kekuatan liputan. Meskipun berhadapan cabaran logistik dan komunikasi, Zuraida menegaskan bahawa semua usaha telah dirancang rapi untuk menjamin kelancaran misi yang dijangka berlangsung selama beberapa hari. “Kami membawa amanah rakyat Terengganu dan berharap seluruh perjalanan ini dikira sebagai ibadah dan diberkati Allah SWT,” katanya.  Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta korban atas kepercayaan yang diberikan dan memohon doa agar misi berjalan lancar serta semua delegasi pulang dengan selamat.
08 Jun 25
36
Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
KEMAMAN, 1 Jun – Kebajikan rakyat dan pendidikan generasi muda menjadi dua agenda paling utama dalam dasar pentadbiran negeri. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dasar yang memberi kesan terus kepada rakyat sentiasa menyentuh jiwanya, terutamanya dalam perkara yang mampu meringankan beban hidup rakyat. "Daripada keseluruhan dasar yang kita rancang, antara perkara terpenting ialah melibatkan inisiatif kebajikan kepada rakyat. "Untuk meringankan bebanan kepada rakyat, itu ada nilai sentimental kepada saya," katanya dalam Majlis Bicara Santai Pimpinan semasa program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, di sini, baru-baru ini. Menurut beliau, selain kebajikan, inisiatif Pendidikan menjadi perkara kedua untuk membina kehidupan berdikari dan bukan sekadar pemberian sementara. "Saya lihat, manusia ini kalau kita beri ikan, maka dia bolehlah makan ikan tersebut. "Tapi kalau kita beri joran kepada dia, maka dia boleh berdikari, kita ajar pula cara nak guna joran itu, akhirnya dia mampu untuk cari ikan sendiri," jelasnya. Ahmad Samsuri yakin, pendidikan ialah pelaburan jangka panjang yang akan mencorakkan masa depan rakyat dan negeri. "Inilah konsep pendidikan kepada rakyat, saya percaya kalau buat begitu, kita menyediakan kehidupan mereka di masa akan datang. "Mungkin 10 hingga 20 tahun akan datang, anak muda inilah yang akan meneruskan agenda kita di masa kita sudah tiada," ujarnya.
01 Jun 25
133
YPU Tawar Peluang Bantu Pengusaha Vape Beralih Angin
YPU Tawar Peluang Bantu Pengusaha Vape Beralih Angin
KEMAMAN, 28 Mei - Bagi menyokong usaha kerajaan negeri mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape secara terbuka, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menawarkan peluang kepada pengusaha-pengusaha vape yang ingin beralih mengusahakan perniagaan lain. Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi berkata, yayasan tersebut sebagai badan yang membantu usahawan ada menyediakan pelbagai kemudahan bagi menyokong usaha mereka 'beralih angin'. "Jadi, kepada pengusaha vape yang berminat, kita minta mereka kalau boleh daftar dahulu sebagai ahli YPU, dari situ kita akan salurkan informasi dan mereka boleh hadir mengikuti kursus berkaitan. "Kita ada menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah. Tempohnya juga agak lama dan kita sediakan antara RM7,000 hingga RM50,000 bergantung kepada jenis dan saiz perniagaan. "Walaubagaimanapun, kalau mereka memerlukan pinjaman yang lebih besar, kita akan membantu menyalurkan mereka membuat pinjaman dengan agensi-agensi lain yang menyediakan kemudahan sama dengan nilai lebih tinggi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir dalam program Sembang Usahawan di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), semalam. Majlis yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dato' Ariffin Deraman itu dihadiri lebih 100 usahawan daerah Kemaman dan melibatkan komunikasi dua hala bersama sekitar 16 agensi negeri dan persekutuan. Afnida menjelaskan, YPU turut diperkasakan dengan jawatankuasa dinamakan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) yang melibatkan kira-kira 40 agensi keusahawanan di dalamnya yang boleh dimanfaatkan bagi membantu usahawan negeri itu. "Sebab itu kita minta mereka datang ke YPU dan menyertai kursus yang ditawarkan, supaya mereka nampak ke arah mana untuk ubah perniagaan sama ada industri makanan dan minuman atau pakaian dan sebagainya. "(Tawaran) ini terbuka kepada semua usahawan, janji rakyat Terengganu dan lebih baik yang berdaftar sebagai ahli YPU," jelasnya.  
28 May 25
96
UDM Gelam Mas Raih Juara di Majlis Aidilfitri DUN Kota Putera
UDM Gelam Mas Raih Juara di Majlis Aidilfitri DUN Kota Putera
BESUT, 20 April - UDM Gelam Mas dinobatkan sebagai juara gerai terbaik Jamuan Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, pada Jumaat. Dalm majlis yang berlangsung di Dewan Limbongan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 sebagai hadiah utama. Manakala, UDM Seberang Kastam meraih tempat kedua dan UDM Keluang di tempat ketiga. Dianggarkan lebih 15,000 penduduk setempat hadir berkunjung ke majlis sambutan yang dikhabarkan paling meriah pernah diadakan. Ribuan pengunjung bermula selepas solat Maghrib menikmati lebih 12 jenis juadah makanan disajikan kepada pelbagai masyarakat yang hadir, antaranya ialah kambing golek, nasi daging berlengas, dan sate. Acara sambutan tidak berakhir di situ; pertunjukan bunga api menjadi penutup yang mengagumkan, menyajikan pengunjung dengan pemandangan indah di langit malam yang memeriahkan suasana. Mengakhiri majlis, pemberian cincin emas terakhir daripada lima cincin yang dijanjikan kepada pengunjung menambah unsur kejutan dan kegembiraan kepada semua yang hadir. Jamuan Hari Raya DUN Kota Putera tahun ini bukan sahaja berjaya dari segi keterlibatan, tetapi juga dalam memupuk semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Kota Putera dan Negeri Terengganu.              
15 Apr 25
35
150 Asnaf Terima Agihan Zakat di KMI
150 Asnaf Terima Agihan Zakat di KMI
KUALA TERENGGANU, 3 April - Seramai 150 asnaf dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan golongan memerlukan di Hospital KMI Kuala Terengganu (KMIKT) menerima agihan zakat wakalah dalam satu program penuh bermakna. Sumbangan ini hasil inisiatif kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, TDM Berhad, yang semakin menunjukkan prestasi memberangsangkan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini. "Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TDM Berhad, KMIKT, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), serta semua yang terlibat dalam menjayakan program petang ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT.  Beliau menegaskan bahawa kepimpinan negeri menganggap kekayaan negeri sebagai amanah yang mesti dikembalikan kepada rakyat. "Semenjak Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui kerajaan negeri, kita berpegang pada tema 'Maju, Berkat, Sejahtera'. "Keuntungan yang diraih bukan untuk kepentingan syarikat semata-mata, tetapi dipulangkan kepada rakyat," jelas beliau. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, turut menzahirkan komitmen syarikat dalam membantu masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf. "Sebagai syarikat yang beroperasi di DUN Batu Buruk, menjadi tanggungjawab sosial kami untuk membantu mereka yang memerlukan," ujar beliau. Menurut beliau, program ini bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga manifestasi nilai Islam yang menitikberatkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang berkemampuan. "Kami amat berbangga dapat bersama-sama meraikan asnaf yang terpilih pada petang ini.  "Semoga sumbangan ini dapat membantu mereka menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan bahagia," tambahnya. Beliau turut berkongsi kejayaan TDM Berhad dalam dua sektor utama, iaitu perkhidmatan hospitaliti dan perladangan.  "Pada tahun lepas, operasi keseluruhan hospital KMI mencatat hasil sebanyak RM340 juta, dengan KMI Kuala Terengganu (KMI KT) antara yang paling cemerlang.  "Manakala dalam sektor perladangan, TDM mengusahakan lebih 40,000 hektar tanaman kelapa sawit di seluruh Terengganu, menghasilkan pendapatan sekitar RM290 juta.  "Secara keseluruhan, TDM berjaya memperoleh hasil melebihi RM600 juta," jelasnya. Tambah Najman, hasil keuntungan ini turut dikongsi bersama masyarakat melalui pembayaran zakat. "Kami berjaya menyalurkan sebanyak RM2 juta dalam bentuk zakat pada tahun lalu.  "Untuk Ramadan ini sahaja, lebih 3,000 penerima di seluruh Terengganu menerima manfaat daripada sumbangan ini," tambahnya. Menurut beliau, kejayaan sesebuah syarikat bukan diukur semata-mata melalui pencapaian kewangan, tetapi juga melalui impak positif yang diberikan kepada masyarakat.  "TDM Berhad sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan memastikan kejayaan yang diperoleh dikongsi bersama masyarakat, khususnya golongan yang kurang bernasib baik," kata beliau. Pengurus Besar KMIKT, Salina Long, menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama pihaknya bekerjasama dengan Pusat Khidmat ADUN Batu Buruk dalam program sebegini. "KMIKT sentiasa proaktif dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat. Kami berharap program seperti ini dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang," ujarnya.
03 Apr 25
147
TDM Santuni 200 Asnaf DUN Bukit Besi
TDM Santuni 200 Asnaf DUN Bukit Besi
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) menyantuni 200 orang asnaf melalui program TDM Bersama Masyarakat DUN Bukit Besi di Dewan Sivik Jerangau Sungai. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM telah memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk agihan kepada 200 asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi melalui kerjasama strategik antara TDM dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Besi. "Program ini adalah manifestasi hasrat kami untuk bersama-sama membangunkan komuniti, khususnya di Bukit Besi, ke arah masa depan yang lebih berkat.  "Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur melalui keuntungan kewangan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangan dan impak positif yang dapat kami kongsi kepada masyarakat," katanya. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi; Ghazali Sulaiman, Pegawai MAIDAM Daerah Zon Selatan; Hamidah Abd Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd; Hamdan Ibrahim. Tambah beliau, program itu juga merupakan sebahagian daripada usaha syarikat dalam memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan. "Sebagai sebuah syarikat yang menitikberatkan pembangunan mampan, inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). "Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Mampan, yang bertujuan memastikan kawasan penempatan dan komuniti menjadi lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. "TDM menyokong matlamat ini demi memperkukuh kesejahteraan komuniti.. "Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, kami bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan tetapi juga kepada kesejahteraan masyarakat.  "Program ini adalah salah satu cara untuk kami memahami keperluan komuniti dan memastikan bantuan yang disalurkan memberi manfaat jangka panjang," tambah Najman. Dalam pada itu, beliau juga menyatakan hasrat untuk memperluaskan inisiatif yang sama ke kawasan-kawasan lain di Terengganu bagi memastikan lebih ramai golongan mendapat manfaat daripada program seumpama itu.  
29 Mar 25
119
Akhirnya, Kerajaan Terengganu Bantu 'Buskers' Terjejas
Akhirnya, Kerajaan Terengganu Bantu 'Buskers' Terjejas
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Kerajaan Terengganu menyampaikan insentif 'one-off' sebanyak RM600 seorang, kepada penghibur-penghibur jalanan (buskers) yang terjejas akibat larangan persembahan jalanan bagi 10 malam terakhir Ramadan yang dikuatkuasakan sebelum ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif itu merupakan pelan sokongan terhadap keputusan yang dibuat. "Saya tahu jumlah itu tidak besar sangat tetapi, sekurang-kurangnya ia dapat menampung kehilangan daripada pendapatan bagi 10 hari tersebut. "Sebenarnya, kami ada dua pilihan (ketika itu) sama ada pejam mata dan biarkan, atau bertindak terus dan dalam masa sama menyediakan pelan sokongan (back-up) kerana mengambil kira sebahagian 'busker' yang menjadikan aktiviti ini sebagai punca pendapatan mereka, cuma kita tidak sebutkan dalam pekeliling yang diedarkan. "Kita sama sekali tidak akan lakukan kezaliman, penganiayaan khususnya kepada rakyat kita dalam sebarang tindakan yang diambil," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pertemuan dengan para penghibur jalanan di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, asas kepada tindakan adalah aduan daripada orang ramai yang mengaitkan dengan negeri Terengganu yang meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran dan pengurusan kerajaan. "Kerajaan negeri perlu sangat berhati-hati dalam semua tindakan termasuk reaksi kepada setiap aduan dan komen daripada umum. "Kerajaan ini, semua orang kita kena fikir dan lihat dari semua sudut dan semua segi.  "Jadi, saya bagi pihak kerajaan negeri mengambil kesempatan sekiranya saudara saudari marah dengan keputusan itu, memohon maaflah dalam tindakan yang diambil. "Seperti saya maklumkan tadi, dalam setiap keputusan kita telah letak 'back-up plan' sebab kita sama sekali tidak akan menganiaya rakyat kita kerana mereka adalah rakyat yang kami kena bantu," tambahnya. Pertemuan tersebut dihadiri sekitar 30 penghibur jalanan, sebahagian daripada 41 orang 'busker' yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan untuk persembahan sepanjang bulan Ramadan ini.  
26 Mar 25
249
'Buskers' Lega Terima Bantuan Kerajaan Terengganu, Sokong Usaha Tambah Baik
'Buskers' Lega Terima Bantuan Kerajaan Terengganu, Sokong Usaha Tambah Baik
KUALA TERENGGANU, 26 Mac- Persatuan Buskers Terengganu berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai bantuan kepada penghibur jalanan yang terjejas dengan larangan aktiviti 'busking' sepanjang 10 malam terakhir Ramadan. Dalam pertemuan bersama kerajaan Terengganu diwakili Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah itu, bantuan berjumlah RM600 disampaikan kepada sekitar 30 'buskers' yang hadir. Setiausaha agung persatuan, Mohd Fazli A Rahman berkata, insentif 'one-off ' berkenaan amat dihargai kerana dapat membantu mengurangkan beban mereka terutama bagi yang melakukan aktiviti 'busking' secara sepenuh masa. "Kami semua bersyukur kepada kerajaan negeri kerana telah memberi bantuan untuk menampung perbelanjaan kita yang tidak lagi boleh 'busking' (pada bulan Ramadan). "Ada beberapa perkara yang kita beritahu kepada Yang Berhormat (YB) exco supaya jangan pukul rata dalam isu-isu berkaitan serta tidak bertindak secara drastik pada masa akan datang supaya kita boleh atur untuk buat benda lain selain 'busking'. "Kita juga akan menyokong penuh apa yang akan dibuat kerajaan negeri, cuma kita akan lihat apa yang ingin dibuat menerusi sesi libat urus yang dicadangkan selepas ini," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas pertemuan di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya, komunikasi dua hala antara persatuan dan kerajaan negeri akan terus dijalinkan selepas ini dalam penambahbaikan aktiviti 'busking'. "Bagi kita juga, untuk 'buskers' di negeri Terengganu kami tidak memaksa mereka untuk sertai persatuan, tetapi kami berikan kelonggaran jika rasa ada sesuatu yang kita (persatuan) boleh bantu, sertailah kami. "Kita tidak mahu situasi ini berulang. Apa yang berlaku sekarang ini, memang mereka yang tidak bernaung di bawah kita yang menjadi (punca) masalahnya. Ini kerana, kekurangan informasi, apa-apa maklumat dia tidak terima. Sedangkan, kita sesama ahli sering berhubung dalam menyediakan tema, genre lagu ketika bulan Ramadan atau pada hari biasa, ada tema yang kita tetapkan kepada ahli kita.  "Jadi yang bukan ahli ini dari segi penerimaan itu agak kurang," katanya.  
26 Mar 25
1384