KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Kerajaan Terengganu kini mempertimbangkan cadangan dan kemungkinan menambah jumlah anak angkat kerajaan negeri di kalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tercedera dalam tragedi nahas bas pelajar di Gerik, Perak, awal Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, pihaknya sedang menilai perkara itu menerusi portfolio yang dipegangnya.
"Kita kini menerima dua lagi permohonan (untuk pertambahan) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, tetapi kita tengah meneliti perkara ini.
"Ini disebabkan, tanggungan ini akan berterusan sehingga mereka tamat pengajian, jadi prosesnya agak lama.
"Kita juga telah angkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bahawa proses pembayaran akan terus berlangsung sehingga ke akhir pengajian.
"Bermakna, jika saya tidak jadi exco sekali pun pembayaran itu akan tetap dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, setakat ini kerajaan negeri telah meluluskan dua pelajar UPSI terlibat iaitu Muhammad Adham Tuan Adnan dan Nur Ain Najwa Mohd Ilias dijadikan sebagai 'anak angkat kerajaan negeri'.
"Pemilihan kedua-dua pelajar dipertimbangkan atas dasar latar belakang keluarga yang susah.
"Seorang (Adham), diketahui kedua-dua ibu bapanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan, bapanya juga cacat fizikal dan ibunya pula sakit kronik.
"Seorang (Ain Najwa) lagi adalah anak yatim dan dari keluarga susah.
"Jadi, kita ambil kedua-dua mereka untuk kita tanggung (dengan bantuan kewangan) sebanyak RM500 sebulan bagi meringankan beban keluarga mereka," ujarnya.