lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Salur RM34 Ribu Bantu Mangsa Hakisan Pantai
Terengganu Salur RM34 Ribu Bantu Mangsa Hakisan Pantai
KUALA NERUS, 9 Julai – Sebanyak RM34,500 bantuan tunai disalurkan Kerajaan Negeri kepada 45 keluarga yang terjejas akibat hakisan pantai di Batu Rakit, sebagai tanda keprihatinan terhadap penduduk yang kehilangan rumah, gerai dan tanah tempat bergantung hidup. Dalam kepedihan kehilangan tempat berteduh, hadir sedikit sinar apabila bantuan segera itu diagihkan mengikut tahap kerosakan, sekali gus memberi nafas baharu kepada mangsa untuk bangkit semula. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, bencana itu bukan sekadar melibatkan kerosakan fizikal, tetapi turut menggugat kestabilan hidup penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada laut dan tanah sebagai sumber rezeki. "Antara kerosakan yang berlaku termasuk runtuhan jalan sepanjang 50 meter di Kampung Tanjung, kerosakan gerai dan jeti nelayan, serta kehilangan rumah dan tanah penduduk," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu majlis penyerahan sumbangan di Masjid Al-Abrar, Kampung Tanjung, di sini baru-baru ini. Beliau memaklumkan bahawa bantuan tunai disalurkan berdasarkan tahap kerosakan harta masing-masing. "Jumlah keseluruhan bantuan tunai yang disalurkan adalah sebanyak RM34,500. "Bantuan ini melibatkan pemberian RM500 kepada pengusaha kiosk yang terjejas dan RM2,000 kepada pemilik rumah serta kedai yang mengalami kerosakan teruk,", jelasnya. Tambah Shafizi, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menangani kesan hakisan secara menyeluruh, termasuk pembinaan benteng dan baik pulih infrastruktur terjejas. "Sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM80,000 bagi pembinaan benteng perlindungan sementara di Kampung Pengkalan Maras. "Selain itu, sebanyak RM120,000 turut diluluskan untuk kerja baik pulih dan pencegahan hakisan di Kampung Tanjung," tambahnya. Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ketika kejadian, terutama semasa musim tengkujuh yang lalu. "Ketika kejadian musim tengkujuh lalu, beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ke Kampung Kolam demi keselamatan. "Langkah ini diambil sementara menunggu penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh," ujarnya. Salah seorang penerima bantuan, Zamri Sulong, 43, kehilangan rumah dan tanah miliknya yang dianggarkan bernilai RM30,000 akibat ombak besar yang melanda secara tiba-tiba. "Rumah dan tanah yang kami bina bertahun-tahun hilang dalam satu malam. "Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu kerana prihatin terhadap nasib kami semua,” ujarnya.  
08 Jul 25
37
DUN Terengganu Kutuk Israel
DUN Terengganu Kutuk Israel
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam sebulat suara meluluskan usul membantah dan mengutuk tindakan kejam rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran dengan menyasarkan kemudahan strategik dan infrastruktur penting negara tersebut baru-baru ini. Usul dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim itu menyeru Dewan mengambil maklum dan memandang serius tindakan agresif rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara tersebut. “Serangan ini berlaku di luar wilayah Israel sendiri dan jelas merupakan satu bentuk pencerobohan yang melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta prinsip asas kedaulatan negara-negara bebas. “Tindakan Israel ini juga dilihat sebagai usaha untuk mencetuskan ketegangan yang lebih meluas di rantau Asia Barat, menjejaskan kestabilan serantau, dan membuka jalan kepada campur tangan kuasa luar demi kepentingan geopolitik mereka,” ujarnya. Katanya, umat Islam di seluruh dunia memandang serangan ini sebagai satu penghinaan terhadap prinsip keadilan, kedaulatan dan keselamatan negara umat Islam, serta satu bentuk penjajahan moden yang semakin berani dan biadab. “Umat Islam wajib bersolidariti menolak pencerobohan seumpama ini, menzahirkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk keganasan negara (state terrorism) yang dilakukan oleh Israel, serta menolak sebarang percubaan kuasa besar untuk memecah-belahkan kesatuan Ummah melalui konflik proksi dan adu domba mazhab atau bangsa. “Penubuhan Israel sendiri adalah hasil projek penjajahan untuk melindungi kepentingan Barat di Timur Tengah, mengawal sumber strategik, dan menjadi alat tekanan terhadap dunia Islam,” jelas beliau. Justeru, Kerajaan Negeri di bawah SG4 mengecam dan menolak sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Iran serta apa-apa bentuk pencerobohan ke atas mana-mana negara berdaulat. “Kerajaan Negeri melalui saluran diplomasi dan NGO Islam digesa untuk mendukung usaha kesedaran awam mengenai bahaya Zionisme dan peranan Israel dalam menaja ketidakstabilan di dunia Islam. “Kerajaan Malaysia hendaklah mengambil pendirian konsisten untuk mengutuk pencerobohan ini di peringkat antarabangsa termasuk dalam sidang ASEAN, OIC, dan PBB, serta mendesak tindakan diplomatik dan undang-undang antarabangsa ke atas Israel,” ujarnya. Malah katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hendaklah segera bersidang dan mengeluarkan resolusi bersama yang tegas, termasuk langkah diplomatik dan ekonomi, untuk menekan Israel agar menghentikan sebarang tindakan agresif dan mematuhi undang-undang antarabangsa. “Semua negara Islam diseru untuk mengetepikan perpecahan dalaman dan bersatu menolak campur tangan kuasa luar yang hanya mahu melemahkan kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan dunia Islam,” ujarnya.  
08 Jul 25
122
Sungai Tiruan Kemaman Jangka Siap 2031
Sungai Tiruan Kemaman Jangka Siap 2031
Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kemaman dengan peruntukan RM300 juta kini  diperingkat pra pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.
08 Jul 25
47
422 Aduan Kes Gajah Liar Ceroboh Kampung
422 Aduan Kes Gajah Liar Ceroboh Kampung
KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menerima 422 aduan dari tahun 2020 sehingga April lalu mengenai pencerobohan gajah dalam penempatan penduduk.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, sepanjang Januari hingga April tahun ini 29 kes telah direkodkan. “Pada tahun lalu, sebanyak 114 aduan berkaitan isu gajah liar menceroboh masuk kebun dan kawasan penempatan penduduk di negeri ini. “Tahun 2023 (109 kes), 2022 (53 kes), 2021 (63 kes) dan 2020 (54 kes),” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, beberapa usaha jangka panjang dan pendek telah diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani isu ini.  “Antaranya menubuhkan pasukan Basong Rangers sebagai langkah pencegahan awal bagi konflik antara gajah dan manusia di mana pemantauan dan rondaan oleh komuniti setempat dilaksanakan di kawasan panas (hotspot) laluan gajah. “Kita juga mewujudkan ‘Food Bank’ dengan penanaman rumput napier dijadikan sebagai ‘food bank’ di kawasan yang telah dibalak dan terjejas serta di kawasan ladang sebagai langkah jangka panjang untuk mengelakkan mitigasi gajah ke kawasan luar habitat asal dalam menangani konflik manusia-gajah,” ujarnya. Katanya, pemasangan lampu di kawasan-kawasan ‘hotspot’ juga antara langkah yang diusahakan untuk mengurangkan gangguan gajah di kawasan kampung kerana gajah sensitif terhadap cahaya. Malah katanya, Perhilitan Terengganu turut melaksanakan pemasangan kolar satelit gajah bagi memantau pergerakkan dan perilaku gajah.  “Pemasangan kolar satelit ini juga adalah ‘early warning system’ yang dapat mengesan kedudukan gajah bagi membuat perancangan awal untuk menentukan strategi dan kaedah mengurangkan gangguan kedatangan gajah dikawasan yang terlibat.  “Sehingga kini, terdapat dua kolar satelit yang telah dipasang dan satu yang masih aktif iaitu di Ladang TDM, Cherul,” ujarnya. Jelas Dr Azman, kawalan populasi (tembak mati/ penakaian) merupakan tindakan yang akan diambil sekiranya tindakan - tindakan lain yang telah dibuat tidak berkesan.  
07 Jul 25
153
Terengganu Taja Anak Muda Jadi Juruteknik Pesawat Bertauliah
Terengganu Taja Anak Muda Jadi Juruteknik Pesawat Bertauliah
 Kerajaan Terengganu terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi apabila memperkenalkan Program Latihan Persijilan Juruteknik Pesawat Bertauliah (CAAM Category A1), hasil kerjasama bersama Yayasan Terengganu, Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dan syarikat penerbangan Batik Air.
07 Jul 25
251
Terengganu Taja Anak Muda Jadi Juruteknik Pesawat Bertauliah
Terengganu Taja Anak Muda Jadi Juruteknik Pesawat Bertauliah
KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Kerajaan Terengganu terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi apabila memperkenalkan Program Latihan Persijilan Juruteknik Pesawat Bertauliah (CAAM Category A1), hasil kerjasama bersama Yayasan Terengganu, Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dan syarikat penerbangan Batik Air. Program berimpak tinggi itu membuka peluang kepada anak Terengganu, khususnya dalam kalangan belia dan golongan asnaf, untuk menceburi bidang aeroangkasa secara profesional dengan latihan bertaraf industri serta pensijilan rasmi daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, setakat ini seramai 15 orang calon telah ditaja oleh Yayasan Terengganu dan YPM bagi menyertai program tersebut. "Bagi Kohort 1, seramai 58 calon telah menghadiri sesi temu duga di Pusat Cari Kerja THRDC dan 8 daripadanya berjaya dipilih oleh Batik Air serta memulakan kursus pada 1 Mac 2025. "Manakala Kohort 2 menyaksikan 18 calon temu duga secara dalam talian, dan 10 daripada mereka telah mendapat tawaran," katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, dalam sidang DUN di Wisma Darul Iman, hari ini. Sulaiman mengemukakan pertanyaan berhubung inisiatif baharu yang dilaksana kerajaan negeri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi strategik. Mengulas lanjut, Satiful berkata kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif penempatan pekerjaan secara bersasar melibatkan lebih 800 anak tempatan dalam industri seperti Sony, Panasonic, Mybrush dan Telekom Malaysia dari tahun 2022 hingga 2024. "Turut diberi keutamaan ialah golongan asnaf, melalui Program Oil & Gas Wakalah Technical Programme (OGWTP) anjuran INSTEP dan YPM yang melibatkan 47 peserta. "Peserta program ini menjalani latihan dalam bidang Mekanikal dan Elektrik dan Instrumen serta dilengkapi pensijilan seperti BOSIET, AESP, OGSP dan BOFA yang diiktiraf industri," jelas beliau. Tambah Satiful, dalam sektor halal pula, seramai 102 peserta menyertai Certified Halal Internal Auditing Programme (CHAP) anjuran Halal Development Corporation (HDC) dan UniSZA bagi melahirkan auditor dalaman halal profesional. Sementara itu katanya, sektor kereta api (rail) menjadi tumpuan baharu susulan pelancaran perkhidmatan kereta api Pantai Timur. Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) yang melibatkan latihan di China telah dimulakan oleh pihak ECRL, namun penglibatan belia Terengganu masih perlu dipertingkatkan. Beliau turut memaklumkan bahawa institusi seperti TATIUC, TESDEC, KKYT, TTITC serta IPT lain memainkan peranan dalam latihan teknikal, manakala THRDC menyelaras pemadanan kerja dengan industri selepas tamat pengajian. “Ada industri memerlukan pensijilan tambahan, maka peranan Yayasan Terengganu dan YPM penting dalam menyediakan dana latihan tambahan agar graduan bersedia sepenuhnya untuk ke industri sebenar,” jelasnya.
07 Jul 25
1057
Pertanian Hulu Terengganu Terus Diperkasa
Pertanian Hulu Terengganu Terus Diperkasa
KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Kerajaan negeri komited melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha memperkasakan agenda pertanian di Hulu Terengganu yang merupakan antara bidang utama sumber pendapatan rakyat di daerah itu suatu ketika dahulu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, antara usaha yang dilaksanakan kerajaan termasuk mempromosikan Geran Agropreneur Muda (GAM), mewujudkan kawasan tanaman/ternakan yang baharu (Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), padang ragut atau zon industri akuakultur), mengadakan program berimpak tinggi dan pembangunan modal insan selain penggunaan teknologi dan amalan pertanian baik. Katanya, GAM bernilai RM30,000 dalam bentuk barangan ditawarkan kepada peserta berumur 18 hingga 45 tahun bagi membantu dan menggalakkan penyertaan dari golongan belia memandangkan kebanyakkan petani di daerah ini berusia antara 55 hingga 65 tahun. "Kerajaan negeri juga merancang mewujudkan TKPM baru di Kampung Pela, Mukim Penghulu Diman sebagai tapak pengeluaran makanan dan memfokuskan kaedah penanaman secara fertigasi yang lebih bersistematik. "Rekod peserta fertigasi menunjukkan penyertaan peserta lebih aktif dari kelompok usia 30 hingga 45 tahun. Bimbingan dan kursus secara percuma juga disediakan kepada peserta berminat. Pihak Jabatan sentiasa membuka peluang bagi meningkatkan pengetahuan dengan memberikan kursus/’hands on’ samada di dalam negeri atau luar Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Mohd Zawawi mengemukakan soalan mengenai apakah usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan dan memperkasakan semula agenda pertanian di Daerah Hulu Terengganu. Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga terus mempergiatkan program pelepasan benih ikan ke perairan umum bagi memperkaya sumber perikanan serta meningkatkan pendapatan komuniti nelayan. "Program inventori sumber perikanan darat turut dijalankan bagi mengumpul data spesis ikan sebelum program pelepasan benih ikan dilaksanakan," ujarnya. Tambah beliau, bagi menyokong pengukuhan jangka panjang industri akuakultur negeri, penyediaan insentif bantuan secara in-kind kepada penternak seperti peralatan akuakultur, sangkar, benih, dan makanan ikan akan diberikan melalui kelulusan Jawatankuasa Negeri dan peruntukan tahunan semasa.  
07 Jul 25
627
Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Ditutup Kerana Tidak Aktif
Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Ditutup Kerana Tidak Aktif
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Usul Membatalkan Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu yang dibawa di Dewan Mesyuarat Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Terenggganu Kelima Belas, Wisma Darul Iman hari ini kerana akaun itu tidak lagi aktif dan hanya mempunyai baki sekitar RM3 sahaja. Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ia merupakan akuan lama yang telah tidak lagi digunakan selaras dengan perubahan fungsi dan kaedah operasi jabatan berkenaan. "Itu adalah akaun lama yang tidak lagi aktif sejak sekian lama, jadi kita tutuplah dan kaedah penggunaanya pun sudah diubah. "Biasalah, akaun 'dormant' yang tidak lagi aktif perlu ditutup. Nak guna buat apa lagi, baki pun tinggal RM3 sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini. Terdahulu, usul bagi menutup satu komponen dalam Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu telah diterima sebulat suara tanpa sebarang perbahasan. Usul itu telah dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. Katanya,menurut Subperenggan Terengganu (10) (4) (B) Akta Tatacara Kewangan 1957, Akta 61 Dewan Undangan Negeri membuat ketetapan bersetuju membatalkan Kumpulan Wang Amanah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu yang berbaki RM3.  
07 Jul 25
129
Tengku Muhammad Ismail 'Labuh' Tirai Kejohanan Kuda Lasak
Tengku Muhammad Ismail 'Labuh' Tirai Kejohanan Kuda Lasak
DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah sempena hari terakhir Kejohanan Kuda Lasak Yang di-Pertuan Muda Terengganu 2025
07 Jul 25
36
Masjid, Surau Santuni Bikers Ke TIBW25
Masjid, Surau Santuni Bikers Ke TIBW25
Kerajaan negeri, melalui agensi-agensi yang menguruskan masjid dan surau, komited menyediakan kemudahan kawasan rehat di premis ibadah berkenaan sebagai usaha menyantuni para pengunjung yang akan hadir ke Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25).
07 Jul 25
43