KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Kerajaan negeri komited melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha memperkasakan agenda pertanian di Hulu Terengganu yang merupakan antara bidang utama sumber pendapatan rakyat di daerah itu suatu ketika dahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, antara usaha yang dilaksanakan kerajaan termasuk mempromosikan Geran Agropreneur Muda (GAM), mewujudkan kawasan tanaman/ternakan yang baharu (Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), padang ragut atau zon industri akuakultur), mengadakan program berimpak tinggi dan pembangunan modal insan selain penggunaan teknologi dan amalan pertanian baik.
Katanya, GAM bernilai RM30,000 dalam bentuk barangan ditawarkan kepada peserta berumur 18 hingga 45 tahun bagi membantu dan menggalakkan penyertaan dari golongan belia memandangkan kebanyakkan petani di daerah ini berusia antara 55 hingga 65 tahun.
"Kerajaan negeri juga merancang mewujudkan TKPM baru di Kampung Pela, Mukim Penghulu Diman sebagai tapak pengeluaran makanan dan memfokuskan kaedah penanaman secara fertigasi yang lebih bersistematik.
"Rekod peserta fertigasi menunjukkan penyertaan peserta lebih aktif dari kelompok usia 30 hingga 45 tahun. Bimbingan dan kursus secara percuma juga disediakan kepada peserta berminat. Pihak Jabatan sentiasa membuka peluang bagi meningkatkan pengetahuan dengan memberikan kursus/’hands on’ samada di dalam negeri atau luar Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mohd Zawawi mengemukakan soalan mengenai apakah usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan dan memperkasakan semula agenda pertanian di Daerah Hulu Terengganu.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga terus mempergiatkan program pelepasan benih ikan ke perairan umum bagi memperkaya sumber perikanan serta meningkatkan pendapatan komuniti nelayan.
"Program inventori sumber perikanan darat turut dijalankan bagi mengumpul data spesis ikan sebelum program pelepasan benih ikan dilaksanakan," ujarnya.
Tambah beliau, bagi menyokong pengukuhan jangka panjang industri akuakultur negeri, penyediaan insentif bantuan secara in-kind kepada penternak seperti peralatan akuakultur, sangkar, benih, dan makanan ikan akan diberikan melalui kelulusan Jawatankuasa Negeri dan peruntukan tahunan semasa.