lightning-solid
Berita :
422 Aduan Kes Gajah Liar Ceroboh Kampung
422 Aduan Kes Gajah Liar Ceroboh Kampung
Noraini Jusoh
07 Jul 25
149

KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menerima 422 aduan dari tahun 2020 sehingga April lalu mengenai pencerobohan gajah dalam penempatan penduduk. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, sepanjang Januari hingga April tahun ini 29 kes telah direkodkan.

“Pada tahun lalu, sebanyak 114 aduan berkaitan isu gajah liar menceroboh masuk kebun dan kawasan penempatan penduduk di negeri ini.

“Tahun 2023 (109 kes), 2022 (53 kes), 2021 (63 kes) dan 2020 (54 kes),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beberapa usaha jangka panjang dan pendek telah diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani isu ini. 

“Antaranya menubuhkan pasukan Basong Rangers sebagai langkah pencegahan awal bagi konflik antara gajah dan manusia di mana pemantauan dan rondaan oleh komuniti setempat dilaksanakan di kawasan panas (hotspot) laluan gajah.

“Kita juga mewujudkan ‘Food Bank’ dengan penanaman rumput napier dijadikan sebagai ‘food bank’ di kawasan yang telah dibalak dan terjejas serta di kawasan ladang sebagai langkah jangka panjang untuk mengelakkan mitigasi gajah ke kawasan luar habitat asal dalam menangani konflik manusia-gajah,” ujarnya.

Katanya, pemasangan lampu di kawasan-kawasan ‘hotspot’ juga antara langkah yang diusahakan untuk mengurangkan gangguan gajah di kawasan kampung kerana gajah sensitif terhadap cahaya.

Malah katanya, Perhilitan Terengganu turut melaksanakan pemasangan kolar satelit gajah bagi memantau pergerakkan dan perilaku gajah. 

“Pemasangan kolar satelit ini juga adalah ‘early warning system’ yang dapat mengesan kedudukan gajah bagi membuat perancangan awal untuk menentukan strategi dan kaedah mengurangkan gangguan kedatangan gajah dikawasan yang terlibat. 

“Sehingga kini, terdapat dua kolar satelit yang telah dipasang dan satu yang masih aktif iaitu di Ladang TDM, Cherul,” ujarnya.

Jelas Dr Azman, kawalan populasi (tembak mati/ penakaian) merupakan tindakan yang akan diambil sekiranya tindakan - tindakan lain yang telah dibuat tidak berkesan.
 


Artikel Berkaitan