lightning-solid
Berita :
Terengganu Taja Anak Muda Jadi Juruteknik Pesawat Bertauliah
Terengganu Taja Anak Muda Jadi Juruteknik Pesawat Bertauliah
Noraini Jusoh
07 Jul 25
1052

KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Kerajaan Terengganu terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi apabila memperkenalkan Program Latihan Persijilan Juruteknik Pesawat Bertauliah (CAAM Category A1), hasil kerjasama bersama Yayasan Terengganu, Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dan syarikat penerbangan Batik Air.

Program berimpak tinggi itu membuka peluang kepada anak Terengganu, khususnya dalam kalangan belia dan golongan asnaf, untuk menceburi bidang aeroangkasa secara profesional dengan latihan bertaraf industri serta pensijilan rasmi daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, setakat ini seramai 15 orang calon telah ditaja oleh Yayasan Terengganu dan YPM bagi menyertai program tersebut.

"Bagi Kohort 1, seramai 58 calon telah menghadiri sesi temu duga di Pusat Cari Kerja THRDC dan 8 daripadanya berjaya dipilih oleh Batik Air serta memulakan kursus pada 1 Mac 2025.

"Manakala Kohort 2 menyaksikan 18 calon temu duga secara dalam talian, dan 10 daripada mereka telah mendapat tawaran," katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, dalam sidang DUN di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sulaiman mengemukakan pertanyaan berhubung inisiatif baharu yang dilaksana kerajaan negeri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi strategik.

Mengulas lanjut, Satiful berkata kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif penempatan pekerjaan secara bersasar melibatkan lebih 800 anak tempatan dalam industri seperti Sony, Panasonic, Mybrush dan Telekom Malaysia dari tahun 2022 hingga 2024.

"Turut diberi keutamaan ialah golongan asnaf, melalui Program Oil & Gas Wakalah Technical Programme (OGWTP) anjuran INSTEP dan YPM yang melibatkan 47 peserta.

"Peserta program ini menjalani latihan dalam bidang Mekanikal dan Elektrik dan Instrumen serta dilengkapi pensijilan seperti BOSIET, AESP, OGSP dan BOFA yang diiktiraf industri," jelas beliau.

Tambah Satiful, dalam sektor halal pula, seramai 102 peserta menyertai Certified Halal Internal Auditing Programme (CHAP) anjuran Halal Development Corporation (HDC) dan UniSZA bagi melahirkan auditor dalaman halal profesional.

Sementara itu katanya, sektor kereta api (rail) menjadi tumpuan baharu susulan pelancaran perkhidmatan kereta api Pantai Timur. Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) yang melibatkan latihan di China telah dimulakan oleh pihak ECRL, namun penglibatan belia Terengganu masih perlu dipertingkatkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa institusi seperti TATIUC, TESDEC, KKYT, TTITC serta IPT lain memainkan peranan dalam latihan teknikal, manakala THRDC menyelaras pemadanan kerja dengan industri selepas tamat pengajian.

“Ada industri memerlukan pensijilan tambahan, maka peranan Yayasan Terengganu dan YPM penting dalam menyediakan dana latihan tambahan agar graduan bersedia sepenuhnya untuk ke industri sebenar,” jelasnya.


Artikel Berkaitan