lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Skuad ragbi wanita Terengganu membuktikan potensi pemain akar umbi masih 'berkuasa' apabila membuka tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2025) dengan dua kemenangan meyakinkan, meskipun tidak dibarisi pemain kebangsaan bertaraf elit. Beraksi dalam kategori Wanita Terbuka, pasukan tuan rumah yang rata-ratanya terdiri daripada bekas pemain Sukan Malaysia (SUKMA) terdahulu mempamerkan keserasian tinggi apabila menewaskan Melaka 46-00 sebelum membenam Sarawak 50-00 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Pengurus pasukan, Ahmad Sujairi Johari berkata, kejayaan hari pertama itu adalah hasil keyakinan pasukan terhadap kekuatan dalaman yang dibentuk sejak dari peringkat remaja. "Kami tidak meletakkan skuad wanita Terengganu ini selaku pasukan pilihan bagi National 7s kali ini di mana kami hanya membariskan bekas-bekas pemain SUKMA terdahulu termasuk beberapa pemain lain untuk melengkapkan pasukan ini. Juga pasukan kami tidaklah didominasi oleh pemain-pemain berstatus kebangsaan. "Melihat pada keputusan perlawanan hari pertama ini, komunikasi serta keserasian dalam pasukan menjadi kelebihan buat kami ketika ini. "Cabaran sebenar untuk kami adalah pada keesokkan hari bagi penentuan peringkat kumpulan sebelum mara ke penentuan akhir pada Ahad ini," ujarnya. Prestasi cemerlang ini dilihat sebagai cerminan kepada keberkesanan program pembangunan sukan wanita di Terengganu yang konsisten melahirkan bakat-bakat berdaya saing walaupun tanpa pendedahan antarabangsa secara langsung. Meskipun tanpa status sebagai pasukan pilihan, skuad wanita Terengganu kini dilihat memiliki semangat dan momentum yang tepat untuk mencipta kejutan.
26 Jul 25
402
Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2025 Jadi Tumpuan
Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2025 Jadi Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan (7s) Kebangsaan 2025 secara rasmi dibuka dan dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai, di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail. Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai itu menghimpunkan 41 pasukan dari seluruh negara berentap dalam empat kategori utama membabitkan lelaki dan wanita terbuka serta bawah 21 tahun. Sebanyak 139 perlawanan dijadualkan sepanjang tiga hari kejohanan, dengan melibatkan seramai 656 pemain dan pegawai pasukan, dibantu oleh 38 pegawai kejohanan. Antara pasukan yang mengambil bahagian termasuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Sarawak, serta wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pulau Pinang dan Sabah merupakan dua negeri yang tidak menghantar wakil bagi edisi kali ini. Hari pertama menyaksikan pasukan Johor, Selangor dan Terengganu membuka langkah kanan dalam perlawanan sulung masing-masing. Dalam kategori Wanita Terbuka, Selangor memberi amaran awal kepada pencabar apabila membelasah Sarawak 48-0 dalam perlawanan yang berlangsung seawal jam 8 pagi.  Aksi penuh keyakinan dan disiplin terserlah dalam setiap gerakan serangan Selangor yang tidak memberi ruang langsung kepada Sarawak untuk mencipta mata. Sementara itu, dalam kategori Lelaki Terbuka, juara bertahan Johor meneruskan momentum kejayaan apabila menundukkan Negeri Sembilan dengan keputusan 14-0. Kecekapan barisan belakang dan kekentalan pertahanan Johor menjadi pemisah ketara antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang berlangsung pada jam 9.03 pagi. Dalam kategori Bawah 21 Tahun Wanita, Johor sekali lagi mencuri tumpuan apabila membelasah Pahang 38-0. Kemenangan besar ini menjadi indikator awal bahawa skuad pembangunan negeri selatan itu berada dalam kelas tersendiri untuk edisi kali ini. Bagi tuan rumah Terengganu pula, semangat bermain di laman sendiri disalurkan dengan baik oleh skuad Lelaki Bawah 21 Tahun mereka yang berjaya menewaskan Melaka 27-7. Kejohanan ini turut menjadi pentas penting bagi pemilihan skuad kebangsaan ke Kejohanan Asia dan kelayakan ke temasya antarabangsa akan datang, termasuk peluang memburu emas di Sukan SEA yang kian hampir.  
25 Jul 25
70
Kerajaan Negeri Pertimbang Tindakan Undang-Undang Terhadap Aiman
Kerajaan Negeri Pertimbang Tindakan Undang-Undang Terhadap Aiman
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang fitnah dan tuduhan tidak berasas yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri, khususnya berkaitan proses kelulusan permit hiburan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial yang dikenali sebagai Rezeki Aiman Enterprise. "Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum berhubung penyebaran satu rakaman video di media sosial khususnya TikTok oleh Pemilik Akaun Rezeki Aiman Enterprise yang mendakwa kononnya terdapat penyelewengan dalam kelulusan permit hiburan, termasuk dakwaan sogokan kepada pihak tertentu. "Pemilik akaun tersebut kemudiannya membuat rakaman video lain untuk memohon maaf dan mengakui kenyataannya adalah tidak benar dan menarik balik kenyataan dalam rakaman video yang terdahulu. "(Namun,) Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pemilik Akaun Rezeki Aiman Enterprise. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui akaun Facebook rasminya, sebentar tadi. Dakwaan seperti itu bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, malah mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri. Justeru, Wan Sukairi menegaskan bahawa mana-mana pihak yang memiliki bukti sahih mengenai penyelewengan perlu menyalurkan maklumat tersebut secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan menyebarkannya di media sosial. "Sekiranya terdapat pihak yang memiliki bukti sahih, mereka disarankan untuk menyalurkan maklumat tersebut secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan telus dan menyeluruh dijalankan," tambahnya. Tindakan tegas itu penting sebagai mesej jelas bahawa kerajaan negeri tidak akan sesekali berdiam diri terhadap mana-mana cubaan mencemarkan imej dan integriti pentadbiran awam.
24 Jul 25
260
Klinik Perubatan Wildan Rakan Penaja Terbaharu Terengganu FC
Klinik Perubatan Wildan Rakan Penaja Terbaharu Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Terengganu FC (TFC) terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuhkan aspek kesihatan dan kebajikan pemainnya apabila menjalin kerjasama strategik bersama Klinik Perubatan Wildan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerjasama itu dimeterai menerusi satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Klinik Perubatan Wildan dan TFC Sdn Bhd yang berlangsung di Hotel Grand Puteri, kelmarin. Menerusi memorandum tersebut, Klinik Perubatan Wildan komited untuk menyediakan pelbagai bentuk sokongan dengan nilai keseluruhan mencecah RM155,000. "Kerjasama yang diberikan oleh Klinik Perubatan Wildan ialah dalam bentuk peralatan fisioterapi, ubat-ubatan, pemeriksaan kesihatan dan khidmat panel penjagaan yang pastinya akan membantu dalam melancarkan lagi operasi TFC. "Seiring dengan kerjasama ini juga, Klinik Perubatan Wildan secara rasmi menyertai keluarga penaja Terengganu FC melalui Pakej Penajaan Silver. "Ia satu langkah signifikan dalam jalinan hubungan strategik antara sektor kesihatan dan industri bola sepak di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya, sebentar tadi. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli, Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah TFCSB positif dan yakin bahawa MoU itu mampu untuk memperkukuh penjenaam Klinik Perubatan Wildan. "Kami amat mengharapkan agar pakej ini bukan sahaja memberikan kelebihan dari sudut penjenamaan, tetapi juga meluaskan jaringan promosi Klinik Perubatan Wildan melalui platform rasmi dan aktiviti kelab di sepanjang musim, InsyaAllah. "Terima kasih diucapkan kepada Klinik Perubatan Wildan atas sokongan berterusan dalam memperkukuhkan aspek kesihatan dan kebajikan pasukan Terengganu FC," ujarnya. Hishamuddin berharap agar jalinan kerjasama itu akan terus berpanjangan dan berkembang dengan lebih berkesan. Dalam pada itu, TFC menyatakan kerjasama tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada para pemain TFC, menandakan sokongan penuh mereka terhadap inisiatif penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan profesional bagi memastikan prestasi optimum di dalam dan luar padang. "Kerjasama ini juga dijangka memberi impak yang signifikan terhadap prestasi dan kesejahteraan pemain dalam jangka masa panjang.  "Sejajar dengan visi TFCSB untuk terus melangkah ke hadapan sebagai kelab bola sepak yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan serantau," kata mereka dalam satu kenyataan, semalam.
24 Jul 25
88
INSTEP Rai 73, Perkukuh Tenaga Mahir Tempatan
INSTEP Rai 73, Perkukuh Tenaga Mahir Tempatan
KUALA NERUS, 27 Julai - Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) meraikan kejayaan 73 graduan program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) Plus- Upstream ambilan Januari 2024, di Dewan Sri Gelam, INSTEP di sini.  Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Ts. Azhar Ahmad berkata, TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dan PETRONAS dalam memperkukuh bakat teknikal tempatan serta membina ekosistem tenaga yang mampan.  "Dengan sokongan rakan strategik seperti Aset Semenanjung Malaysia (PMA), Aset Sarawak (SKA) dan Aset Sabah (SBA), kami terus melabur dalam modal insan sebagai pemacu pertumbuhan industri masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Mengulas lanjut katanya, program TEP Plus merupakan inisiatif tajaan pra-pekerjaan yang direka untuk merapatkan jurang kemahiran antara pemegang diploma dan keperluan sebenar industri.  "Sepanjang program, peserta mengikuti latihan menyeluruh yang merangkumi pembelajaran campuran (blended learning), temuduga berasaskan kompetensi, lawatan ke loji serta bengkel teknikal bertaraf industri. "Antara bidang yang ditawarkan pada ambilan kali ini ialah Pengeluaran, Instrumentasi, Elektrikal dan Mekanikal, selari dengan keperluan sektor tenaga masa kini," ujarnya. Menurut Azhar, program selama 18 bulan itu ditaja oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang melibatkan seramai 73 peserta iaitu dari PMA (43 orang), SKA (20 orang) dan (10 orang). "Para graduan turut menjalani latihan praktikal prasarana latihan di INSTEP, termasuk Loji Latihan Huluan dan Hiliran (Upstream Downstream Training Plant - UDTP), selain sesi pembelajaran dalam kelas dan bengkel," katanya. Dalam pada itu katanya, bagi memperkukuh daya saing, peserta turut memperoleh sijil kompetensi yang diiktiraf industri seperti Authorized Entrant and Standby Person (AESP), Basic Offshore Safety Induction and Emergency Training (BOSIET) dan OPITO: Basic Hydrogen Sulfide (H2S) Training. "Pelatih dalam bidang Elektrikal dan Instrumen pula menerima pensijilan IECEX (International Electrotechnical Commission System for Certification to Standards Relating to Equipment for Use in Explosive Atmospheres) yang melengkapkan mereka dengan kemahiran bekerja di persekitaran berisiko tinggi," ujarnya. Tambah beliau, selain latihan teknikal, TEP Plus turut memberi penekanan kepada pembangunan holistik dan pembinaan karakter. "Iaitu dengan penyertaan peserta dalam pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti kejohanan sukan, persembahan bakat, program pengurusan impak sosial termasuk aktiviti pembersihan pantai bersama komuniti setempat, serta program kerohanian dan motivasi seperti kelas al-Quran bagi pelatih beragama Islam," ujarnya. Katanya, TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dalam membangunkan bakat teknikal yang berdaya saing, selaras dengan aspirasi untuk menyokong pertumbuhan mampan dan ketahanan industri tenaga negara.
24 Jul 25
86
Usaha Terengganu Perkasa Islam Dapat Perhatian Tokoh Akademik Amerika
Usaha Terengganu Perkasa Islam Dapat Perhatian Tokoh Akademik Amerika
KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Komitmen Kerajaan Terengganu dalam memperkukuh dasar serta pelaksanaan Islam di negeri ini menarik perhatian seorang tokoh akademik dari Amerika Syarikat. Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata beliau menerima kunjungan hormat Profesor Timothy P. Daniels dari Universiti Hofstra, Amerika Syarikat, pagi tadi sebaik selesai Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN). “Alhamdulillah, saya gembira dapat bertukar pandangan dengan beliau. Tidak disangka, beliau juga fasih berbahasa Melayu. “Beliau banyak bertanyakan mengenai usaha kerajaan negeri dalam pelaksanaan Islam di Terengganu, khususnya dari aspek ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Khalil berkata pertemuan itu dimanfaatkan untuk menerangkan pendekatan kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar Islam, terutamanya dari sudut ekonomi, demi memastikan kesejahteraan rakyat. “Saya kongsikan bagaimana kerajaan negeri menekankan pembangunan insan melalui penghayatan nilai Islam, selain memperkukuh ekonomi melalui perniagaan patuh syariah dan pembangunan modal insan dalam industri,” ujarnya.
23 Jul 25
79
Taman Tema Air Sekayu Kembali Beroperasi 24 Julai
Taman Tema Air Sekayu Kembali Beroperasi 24 Julai
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang, Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu bakal dibuka semula kepada orang ramai pada 24 Julai 2025. Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam. Beliau mengajak orang ramai untuk kembali mengunjungi taman tersebut, khususnya taman tema air yang menggunakan air bukit semula jadi yang jernih dan sejuk, menjadikannya lokasi santai bersama keluarga. "24 Julai 2025, Taman Tema Air di Taman Pertanian Sekayu akan mula dibuka kepada pengunjung. Pakat bawa anak-anak mari main air sambil bersantai. "Banyak aktiviti menarik ditawarkan di sini antaranya taman tema air, ladang buah-buahan, tapak perkhemahan, asrama penginapan untuk program kem atau kursus, ladang lebah kelulut, kandang ternakan, aktiviti air dan banyak lagi.  "Menariknya kerana taman tema air di sini bersumber terus dari air bukit yang mengalir jernih dan sejuk," katanya. Menurutnya, taman tersebut yang sebelum ini menjadi antara destinasi agropelancongan popular di negeri ini terjejas teruk akibat banjir besar 2022, serangan gajah liar serta fenomena kepala air. Terdahulu, Dr. Azman pernah menjelaskan bahawa kerja pemulihan pusat rekreasi tersebut tidak dijalankan secara menyeluruh, sebaliknya dilakukan secara bertahap melalui penglibatan pelbagai jabatan dan komuniti tempatan.  "Sejak setahun lepas, Kerajaan Negeri telah memperuntukan kira-kira RM2 juta bagi kerja-kerja pemulihan secara berperingkat. "Jabatan-Jabatan Kerajaan di Hulu Terengganu seperti Pejabat Daerah, JKR, Majlis Daerah, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong membantu Jabatan Pertanian. "Untuk menjadi jabatan angkat bagi sama-sama menyumbang untuk mengembalikan kecerian Taman Pertanian Sekayu seterusnya menggamit semula kehadiran pengunjung," tambahnya. Mengulas mengenai kadar bayaran, beliau yang juga merupakan ADUN Jabi menjelaskan ia masih dalam peringkat pertimbangan namun dijamin tidak akan membebankan pengunjung.
22 Jul 25
3601
Jadikan Keharmonian Sebagai Mekanisme Strategi Perniagaan - Ariffin
Jadikan Keharmonian Sebagai Mekanisme Strategi Perniagaan - Ariffin
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Setiap syarikat digalak mengambil tindakan dengan menjadikan keharmonian sebagai mekanisme utama strategi perniagaan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, apabila memfokus perkara tersebut, impak positif bukan sahaja dari segi kewangan malah dapat meningkatkan nilai kemanusiaan dalam pekerjaan. Katanya, Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong inisiatif syarikat yang mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan pekerja. “Keharmonian perusahaan bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan sosial dan ekonomi, malah menjadi asas kepada pelaksanaan undang-undang perburuhan yang efektif dan lestari.  “Oleh itu, kita harus terus memperkukuh dialog sosial, memperbaharui undang-undang yang lapuk, serta membina kepercayaan antara majikan dan pekerja demi menjamin masa depan perburuhan yang adil, progresif dan seimbang,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolokium Keharmonian Perusahaan Negeri Terengganu  Tahun 2025 : Pemantapan Hubungan Antara Pekerja, Majikan Dan Kesatuan Di Tempat Pekerjaan di Hotel Raia, hari ini. Mengulas lanjut katanya, penganjuran kolokium berkenaan turut bertujuan mengekalkan keharmonian perusahaan di negara ini melalui pemantapan pengetahuan tentang undang-undang perburuhan negara. “Ia memberi pendedahan dan pengetahuan berkenaan kepentingan Industrial Harmony Index (IHI) dan juga pindaan Akta Perhubungan Perusahan 1967 kepada majikan, pekerja dan kesatuan sekerja dalam sektor swasta,” ujarnya. Ariffin berkata, kolokium tersebut merupakan salah satu usaha Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk mempertingkatkan keharmonian dalam pekerjaan bagi konteks pematuhan undang-undang dan peraturan perburuhan demi memastikan persekitaran kerja yang lebih kondusif, harmoni dan produktif. “Program seperti ini amat bertepatan dan harus diperkasa dari semasa ke semasa.  “Saya percaya Jabatan Perhubungan Perusahaan sebagai agensi utama yang mengurus tadbir hubungan majikan dan pekerja, memainkan peranan penting dalam mendidik dan menyelesaikan sebarang perselisihan agar tidak menjejaskan kelangsungan sektor ekonomi dan perindustrian di negeri ini,” ujarnya. Tegas beliau, kerajaan negeri komited dalam menyokong segala usaha yang memelihara kebajikan pekerja, sambil memastikan hak dan kepentingan majikan turut dijaga.  “Pendekatan yang seimbang ini akan terus menjadi teras dasar kerajaan negeri dalam merangka polisi berkaitan pembangunan modal insan dan tenaga kerja mahir. “Saya menyeru agar semua pihak iaitu pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan agensi kerajaan dapat terus berganding bahu bagi membentuk suasana kerja yang positif, bebas dari diskriminasi serta selamat dari sebarang bentuk eksploitasi atau penindasan,” ujarnya.  
22 Jul 25
61
Vaksin Covid-19 Beri Kesan Terhadap Mata Tidak Tepat - Pakar Perubatan
Vaksin Covid-19 Beri Kesan Terhadap Mata Tidak Tepat - Pakar Perubatan
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Dakwaan bahawa program vaksinasi COVID-19 telah dihentikan susulan laporan kesan terhadap mata adalah tidak benar, menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah. Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal meneruskan program imunisasi COVID-19 kerana manfaat vaksin jauh melebihi risiko kecil yang dikenal pasti dalam kajian. “WHO tidak pun menghentikan program vaksinasi COVID-19 kerana manfaatnya melebihi daripada sedikit risiko. KKM juga tidak memberhentikan program imunisasi atas jawapan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas. Mengulas lanjut, Dr. Suhazeli menekankan bahawa kesan sampingan seperti yang dilaporkan dalam kajian terhadap kornea mata adalah sangat rendah dan jarang berlaku, serta pemantauan berterusan sedang dilakukan. “Kesan sampingan yang rendah dan jarang sebegini akan sentiasa dipantau dari masa ke semasa,” katanya. Kenyataan itu dibuat susulan penularan satu artikel berkaitan kajian di Istanbul, Turki yang mendapati perubahan kecil pada struktur kornea selepas menerima vaksin mRNA jenis Pfizer-BioNTech. Kajian itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang kecacatan penglihatan berlaku dan kesan perubahan juga bersifat sementara.
22 Jul 25
111
Jelajah Silang Budaya SG4 Perkukuh Kerjasama Pelancongan Empat Negeri
Jelajah Silang Budaya SG4 Perkukuh Kerjasama Pelancongan Empat Negeri
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 2025 berjaya memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pelancongan antara negeri-negeri di bawah gagasan SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, jelajah di tiga negeri SG4 itu turut disusuli dengan program silang budaya yang mengetengahkan persembahan seni dan budaya masing-masing. Katanya, jelajah itu bukan sahaja memberi peluang untuk mempromosikan pelancongan Terengganu, malah turut mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri. “Program ini dimulakan di Kelantan menerusi kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud serta penganjuran program silang budaya di Dewan Gelanggang Seni, Kota Bharu. “Silang budaya itu menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian dan nyanyian daripada negeri Terengganu dan Kelantan sekali gus menampilkan keunikan kedua-dua negeri tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media di Perkarangan Menara Alor Setar, Kedah baru-baru ini. Program Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 ini turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan barisan konvoi. Razali berkata melalui siri jelajah ini, pihaknya dapat berkongsi pengalaman, idea serta perancangan strategik bersama negeri-negeri dalam SG4 dalam usaha memperkasa industri pelancongan serantau secara kolektif. “Jelajah diteruskan ke Kedah dan Perlis, di mana delegasi Terengganu mengadakan pertemuan bersama Exco Pelancongan Kedah, Dato’ Salleh Saidin di Menara Alor Setar, dan Exco Pelancongan Perlis, Abu Bakar Hamzah di Dewan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. "Dalam pada itu, jelajah ini turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa menerusi lawatan rasmi ke Narathiwat, Thailand," ujarnya. Di sana, delegasi Terengganu telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Narathiwat, Mr Ruslan Arong dan Timbalan Gabenor Narathiwat, Mr Kritsananan Kamrai.                    
21 Jul 25
133