KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Komitmen Kerajaan Terengganu dalam memperkukuh dasar serta pelaksanaan Islam di negeri ini menarik perhatian seorang tokoh akademik dari Amerika Syarikat.
Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata beliau menerima kunjungan hormat Profesor Timothy P. Daniels dari Universiti Hofstra, Amerika Syarikat, pagi tadi sebaik selesai Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).
“Alhamdulillah, saya gembira dapat bertukar pandangan dengan beliau. Tidak disangka, beliau juga fasih berbahasa Melayu.
“Beliau banyak bertanyakan mengenai usaha kerajaan negeri dalam pelaksanaan Islam di Terengganu, khususnya dari aspek ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Khalil berkata pertemuan itu dimanfaatkan untuk menerangkan pendekatan kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar Islam, terutamanya dari sudut ekonomi, demi memastikan kesejahteraan rakyat.
“Saya kongsikan bagaimana kerajaan negeri menekankan pembangunan insan melalui penghayatan nilai Islam, selain memperkukuh ekonomi melalui perniagaan patuh syariah dan pembangunan modal insan dalam industri,” ujarnya.