Artikel "Utama" Terkini
Budaya Kerja Menyeronokkan Tingkat Produktiviti Penjawat Awam
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Keseronokan bekerja merupakan elemen penting dalam meningkatkan produktiviti, motivasi dan kepuasan dalam kalangan penjawat awam, sekali gus memberi kesan positif terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia, berkata pembudayaan suasana kerja yang menyeronokkan perlu diberi keutamaan kerana dalam sektor awam, kakitangan merupakan tulang belakang dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
"Keseronokan bekerja merujuk kepada perasaan positif yang dialami oleh pekerja ketika melaksanakan tugas mereka, yang melibatkan gabungan pelbagai elemen seperti suasana kerja yang kondusif, hubungan baik dengan rakan sekerja serta penghargaan terhadap usaha yang dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Hari Terbuka Psikologi Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan pelakon terkenal, Dato’ Rosyam Noor, sebagai panel jemputan dalam slot Bicara Psikologi bertajuk 'Mode Kerja: On, Stress: Off' yang berjaya menarik perhatian para peserta melalui penyampaian yang santai dan inspiratif.
Dalam pada itu, Dato’ Nara Setia turut mengharapkan agar suasana kerja yang kondusif dan menyeronokkan dapat diterapkan di semua peringkat jabatan kerajaan serta agensi negeri.
Beliau menegaskan bahawa adalah penting untuk membina suasana kerja yang positif, saling menghargai dan menyokong antara satu sama lain serta memberi makna yang mendalam supaya setiap individu bukan sahaja bekerja atas dasar tanggungjawab, tetapi juga kerana rasa bangga dan bahagia dalam menyumbang kepada organisasi.
Menurut beliau, pembudayaan suasana kerja yang menyeronokkan bukan sahaja merupakan satu pelaburan jangka panjang yang memberi pulangan besar kepada penjawat awam, malah turut memberikan manfaat secara menyeluruh kepada negeri.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa Hari Terbuka Psikologi Negeri Terengganu 2025 yang dianjurkan oleh Unit Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, telah menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat.
Antara pengisian yang diadakan termasuk Program Mental Health Fun Run & Fun Ride for Waqf 2025 yang berlangsung pada 11 Oktober lalu dan berjaya menarik penyertaan lebih 1,800 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Selain itu, turut diadakan Program Pementoran Kepimpinan dan Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Terengganu serta slot Bicara Psikologi pada hari ini sebagai kemuncak kepada program tersebut.
15 Oct 25
81
Menteri Besar Santuni Pasukan Hoki Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Menteri Besar Terengganu hari ini menyantuni Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam satu majlis di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan skuad itu menjulang empat kejuaraan utama musim ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya, dan Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun, yang bersama-sama menyaksikan penyerahan piala kepada kepimpinan tertinggi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kehadiran Menteri Besar bersama pemain-pemain THT memberi makna besar kepada seluruh keluarga hoki Terengganu.
"Hari ini kita dapat bersama-sama dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menyampaikan piala yang telah dijulang oleh THT dalam kejohanan Piala Tun Razak tempoh hari.
"Kehadiran Menteri Besar membuktikan bahawa kejayaan atlet negeri diraikan bukan hanya sebagai kemenangan sukan, tetapi sebagai kebanggaan seluruh rakyat Terengganu," katanya dalam sidang media seusai majlis penghargaan tersebut.
Beliau menambah, majlis berkenaan diadakan sebagai lambang kasih dan penghargaan THT kepada kerajaan negeri yang sentiasa menyokong perjuangan mereka di gelanggang dan di luar padang.
"Hari ini kita menyampaikan piala terus kepada Menteri Besar Terengganu sebagai suatu tanda ucapan terima kasih THT kepada pihak kerajaan negeri atas sokongan yang berterusan untuk persatuan hoki negeri.
"Ia tanda penghargaan tulus pasukan kepada kepimpinan negeri yang tidak pernah jemu memberikan dorongan dan kepercayaan kepada mereka," tambahnya.
Majlis itu menutup musim penuh gemilang buat THT dengan semangat kebersamaan yang menyentuh hati, sekali gus menjadikan kejayaan mereka bukan hanya milik pasukan, tetapi milik seluruh negeri yang bersatu di bawah panji Terengganu.
15 Oct 25
93
Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mencipta kegemilangan dalam sejarah sukan negara apabila berjaya menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia, Piala TNB dan Piala Tun Razak pada musim ini, sekaligus menjulang nama Terengganu sebagai kuasa besar hoki tanah air.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan ini membuktikan bahawa usaha gigih pemain dan pengurusan THT membuahkan hasil luar biasa.
"Hari ini kita dapat bersama-sama dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menyampaikan piala yang telah dijulang oleh THT dalam kejohanan Piala Tun Razak tempoh hari.
"Kemenangan itu melengkapkan koleksi empat kejuaraan utama musim ini yang amat membanggakan seluruh rakyat Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pasukan Hoki Terengganu Menjulang Trofi Bersama Menteri Besar Terengganu di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya, dan juga Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun.
Beliau menambah, prestasi THT menggambarkan kejayaan kesinambungan pelan pembangunan sukan negeri yang memberi tumpuan kepada pembinaan bakat muda dan kekuatan pasukan secara berstruktur.
"Saya secara peribadi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pemain-pemain THT, dan yang paling membanggakan dalam Razak Cup kali ini, ia dibarisi oleh pemain-pemain muda, itu sangat membanggakan pihak kerajaan," ujarnya.
Hishamuddin turut menjelaskan bahawa pencapaian luar biasa ini tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil sokongan berterusan kerajaan negeri serta pengurusan yang cekap di bawah Persatuan Hoki Terengganu (PHT).
"Hari ini kita menyampaikan piala terus kepada Menteri Besar Terengganu sebagai suatu tanda ucapan terima kasih THT kepada pihak kerajaan negeri atas sokongan yang berterusan untuk persatuan hoki negeri.
"Sokongan dan kepercayaan daripada kerajaan negeri menjadi nadi utama kejayaan yang dikecapi oleh pasukan ini," tambahnya.
Beliau turut memberi bayangan bahawa kerajaan negeri akan memperkenalkan pelbagai insentif baharu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan.
"Insya-Allah ada inisiatif yang akan diberikan cuma buat masa sekarang ini tidak diumumkan lagi kerana masih terlalu awal," katanya.
15 Oct 25
1262
Terengganu Terus Komited Pacu Agenda Islam
Kerajaan Terengganu Komited Jadi Model Pentadbiran Islam
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Kerajaan Terengganu terus teguh melangkah sebagai model pentadbiran Islam dengan menjunjung tinggi syiar Islam yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menegaskan bahawa dalam aspek pemerkasaan serta penguatkuasaan syariah, kerajaan negeri sentiasa berusaha memperkukuh pelaksanaan undang-undang Islam dengan memperkemaskan kanun jenayah syariah dan takzir secara berterusan.
"Tinggi menggunung impian saya untuk melihat kehidupan rakyat Terengganu berpandukan syariatullah.
"Kerajaan negeri akan berusaha sehabis daya untuk mengikuti manhaj Nubuwwah, sebagaimana perjuangan Rasulullah SAW selama 23 tahun menyampaikan dakwah Islam. Justeru, belanjawan yang besar turut diperuntukkan bagi memperkasa usaha ini," katanya.
Dr. Khalil berkata demikian ketika merasmikan Program Maulid Akbar Terengganu Berselawat Solidariti Untukmu Al-Aqsa yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini semalam.
Beliau menegaskan bahawa kedaulatan negeri atau negara hanya dapat ditegakkan melalui kepimpinan mukmin yang bertakwa, kerana hanya kepimpinan sedemikian mampu melahirkan kerajaan yang adil, bebas daripada salah urus, salah laku serta amalan rasuah.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa usaha memperluas kefahaman Islam kepada rakyat terus digiatkan melalui pelbagai pendekatan, termasuk majlis ilmu, daurah pengajian berkitab dan karnival Islami yang diadakan secara meluas di seluruh negeri.
“Semua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk menyuburkan sunnah perjuangan Rasulullah SAW, memastikan Islam sentiasa berada di tempat tertinggi kedaulatannya serta memperkukuh pelaksanaan syariat dalam kehidupan bernegara,” jelasnya.
15 Oct 25
59
RM500,000 Naik Taraf Skim Pengairan Padi Paya Paman
KEMAMAN, 15 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan RM500,000 bagi menaik taraf Skim Pengairan Padi di Paya Paman, Kemaman, sebagai langkah strategik memperkukuh infrastruktur pertanian dan memastikan sistem pengairan berfungsi secara lebih efisien.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata projek itu menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam usaha menjamin kelangsungan sektor pertanian serta keterjaminan makanan negeri.
Namun, beliau turut melahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan kawasan tanah padi terbiar, khususnya apabila generasi muda semakin tidak berminat mengusahakan sawah peninggalan keluarga walaupun dilengkapi sistem pengairan dan saliran lengkap.
“Infrastruktur kita boleh cari bajet untuk bina. Namun, kita cukup bimbang dengan situasi tanah padi terbiar apabila generasi muda tidak lagi berminat untuk menguruskan tanah sawah peninggalan orang tua sehingga mewujudkan kawasan sawah terbiar walaupun mempunyai sistem pengairan dan saliran yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial miliknya, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Kemaman, khususnya golongan muda, agar kembali aktif dalam aktiviti penanaman padi supaya usaha menaik taraf sistem pengairan ini benar-benar dimanfaatkan.
“Orang Kemaman kena rajin buat padi,” tegasnya.
Dr. Azman turut berharap kemudahan infrastruktur yang lebih baik ini akan menarik semula minat petani termasuk golongan muda untuk mengusahakan tanah sawah, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil padi di daerah tersebut.
Isu penuaan petani dan penyertaan belia yang semakin berkurang dalam sektor pertanian sering dibangkitkan di pelbagai negeri, mendorong kerajaan untuk merangka pendekatan serta insentif baharu bagi menjadikan sektor pertanian lebih menarik, moden dan berdaya saing.
15 Oct 25
44
Lautan Manusia Hadiri Maulid Akbar, Teguh Bersolidariti Untuk Al-Aqsa
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Lautan manusia membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sempena Maulid Akbar Terengganu Berselawat, Solidariti Untuk Al-Aqsa, sebagai manifestasi kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta tanda solidariti terhadap perjuangan membebaskan bumi Palestin.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin merupakan tanggungjawab aqidah dan maruah umat Islam.
“Rakyat Terengganu sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin, menentang kezaliman rejim Zionis, serta menyumbang dalam apa jua bentuk sama ada melalui doa, infaq atau peranan masyarakat.
“Inilah makna sebenar Ukhuwwah Islamiyyah yang dituntut oleh Rasulullah SAW,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Maulid Akbar tersebut di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut Muhammad Khalil berkata, kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi diterjemah melalui amal, akhlak dan perjuangan.
"Kita semua beruntung dan bertuah pada malam ini kerana program kita dihadiri oleh tetamu istimewa yang datang beribu batu jauhnya, Al Habib Umar Hafidz yang sudi memeriahkan majlis malam ini menyampaikan tausiyah,” katanya.
Turut bersama dalam majlis tersebut ialah Ustaz Azhar Idrus, serta dua wira anak Terengganu yang menyertai Global Sumud Flotilla, iaitu Ustaz Muhammad Abdullah (Ustaz Mad Kecik) dan Asmawi Mukhtar, yang berkongsi pengalaman mereka dalam misi kemanusiaan ke bumi Palestin, khususnya Gaza.
15 Oct 25
76
Patuhi Arahan Pihak Berkuasa Utamakan Nyawa
Oleh : Ahmad Hilmi
BESUT, 14 Oktober – Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu menegaskan kepentingan mematuhi arahan pihak berkuasa ketika menghadapi bencana banjir agar keselamatan nyawa tidak terancam.
Beliau berkata, walaupun banjir tidak dapat dielakkan, langkah persediaan awal dan kepatuhan kepada amaran berpindah mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa.
"Tempat kita memang terdedah dengan risiko banjir setiap kali monsun tiba. Kalau diarahkan berpindah, tolonglah berpindah pada waktu yang ditetapkan.
“Kalau diarahkan berpindah, tolonglah berpindah pada waktu yang ditetapkan. Keselamatan nyawa lebih utama daripada harta benda,” tegasnya ketika menyampaikan amanat dalam Program Simulasi Pengurusan Banjir dan Pengendalian Bot di Agro Darau, Hulu Besut, semalam.
Beliau menambah, keselamatan nyawa lebih utama daripada harta benda.
"Kami bersama agensi lain akan bantu jaga keselamatan dan keperluan penduduk,” katanya.
Justeru itu, melalui penganjuran ini, beliau berharap koordinasi antara agensi dan komuniti dapat diperkukuh demi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin apabila Monsun Timur Laut melanda hujung tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gong Tanah Merah, Mohamad Zu, menyambut baik penganjuran latihan tersebut kerana ia memberi pendedahan langsung kepada penduduk mengenai tindakan sewajarnya semasa banjir.
Beliau turut mencadangkan agar program sebegini diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak sesi latihan praktikal melibatkan agensi keselamatan.
“Kalau boleh, buat secara bersiri dan lebih banyak latihan praktikal di lapangan. Bila orang kampung tengok dan cuba sendiri, mereka lebih faham apa perlu dibuat bila banjir datang,” katanya lagi.
Program tersebut turut disertai oleh 50 JPKK dari seluruh DUN di daerah Besut termasuk Kuala Besut, Kota Putera, Jerteh, Hulu Besut dan Jabi.
Program anjuran peringkat daerah itu melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kelab Radio Amatur Besut (BESTRAC).
Antara pengisian termasuk taklimat keselamatan air, demonstrasi teknik menyelamat dan CPR, latihan penggunaan radio amatur, dan pengenalan serta penyelenggaraan bot enjin sangkut.
14 Oct 25
33
Terengganu Terus Teraju Agenda Bandar Pintar Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Terengganu terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju utama pembangunan bandar pintar di Pantai Timur menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik di bawah agenda Smart Terengganu 2040.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata usaha itu bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi bertujuan membina sebuah negeri yang berdaya tahan menghadapi perubahan zaman.
“Terengganu berhasrat menjadi negeri yang maju, berkat dan sejahtera. Kemajuan yang dimaksudkan bukan hanya diukur melalui bangunan atau infrastruktur, tetapi kesejahteraan hidup rakyat serta kekuatan nilai dan ilmu,” katanya ketika berucap pada Majlis Terengganu Smart City Activation Day (TSCA.25) di Duyong Convention Center, The Langit Duyong Marina Resort, di sini, hari ini
Menurut beliau, intipati Smart Terengganu 2040 berteraskan pembangunan berasaskan data, inovasi dan teknologi yang berpaksikan nilai Islam, budaya tempatan serta aspirasi rakyat.
Beliau berkata, melalui perancangan rapi yang digerakkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysia@Terengganu), negeri ini menjadi antara yang terawal menyiapkan Pelan Tindakan Bandar Pintar bagi setiap daerah sebagai panduan pelaksanaan sebenar di lapangan.
“Kita tidak menunggu perubahan berlaku, sebaliknya kita memacu perubahan itu dengan acuan sendiri – acuan Terengganu yang berpaksikan nilai Islam, kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan,” jelasnya.
Wan Sukairi turut menegaskan bahawa kejayaan bandar pintar tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi, sebaliknya bergantung kepada nilai dan kolaborasi antara semua pihak termasuk kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal, universiti, industri dan komuniti setempat.
“Teknologi hanyalah alat, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana manusia di belakangnya mampu berfikir, bekerjasama dan bertindak sebagai satu ekosistem pintar,” ujarnya.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru agar semangat kerjasama yang terjalin terus diperkukuh supaya Terengganu kekal di hadapan dalam pembangunan bandar pintar di Pantai Timur.
“TSCA.25 bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform untuk menyatukan tenaga dan idea dalam merealisasikan aspirasi negeri. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, Terengganu akan terus menjadi negeri yang maju, berkat dan sejahtera,” katanya.
14 Oct 25
589
Terengganu Peruntuk RM430 Ribu Naik Taraf Infrastruktur TKPM Rhu Tapai
SETIU, 14 Oktober – Kerajaan Terengganu memperkukuh usaha memperkasa sektor pertanian negeri dengan memperuntukkan sebanyak RM430 ribu bagi menaik taraf infrastruktur di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, Setiu.
Peruntukan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan, saliran dan jaringan jalan ladang bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil pertanian peserta di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan TKPM terus menjadi nadi pengeluaran makanan dan sumber pendapatan kepada rakyat.
"Semoga para peserta TKPM boleh meningkatkan pengeluaran hasil dengan penambahbaikan yang kita buat kepada jaringan jalan ladang dan sistem pengairan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, TKPM merupakan tanah milik kerajaan Negeri yang diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) khas untuk tujuan pertanian, penternakan, atau perikanan dengan matlamat utama bagi pengeluaran makanan negara.
Di Terengganu, lebih 2,000 hektar tanah telah diwartakan sebagai TKPM Pertanian termasuklah lokasi-lokasi penting seperti TKPM Palong Jenang Kemaman, TKPM Peradong Manir, TKPM Serating Marang, TKPM Tok Dor Besut dan TKPM Rhu Tapai Setiu.
Selain itu, terdapat kira-kira 4,000 hektar TKPM Penternakan dan sekitar 200 hektar TKPM Perikanan.
Mengulas mengenai konsep TKPM Pertanian, Azman menjelaskan bahawa setiap peserta diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) tanah antara 8 hingga 10 ekar seorang berserta kemudahan infrastruktur.
"Di sinilah mereka membanting tulang mencari rezeki. Kerajaan turut membantu dalam beberapa aspek lain termasuk bantuan teknikal, input dan pemasaran," tambahnya, menegaskan peranan kerajaan dalam menyokong usaha keras peserta TKPM.
Inisiatif naik taraf infrastruktur ini diharap akan memberi impak positif kepada ekonomi peserta TKPM dan seterusnya menyumbang kepada usaha negeri serta negara dalam mencapai tahap keterjaminan makanan yang lebih tinggi.
14 Oct 25
1037
Lautan Rakyat Dijangka Hadir Maulid Akhbar Terengganu Berselawat
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Lautan umat Islam dijangka membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok menghadiri Majlis Maulid Akhbar Terengganu Berselawat : Solidariti Untukmu Al-Aqsa.
Program penuh keberkatan itu bakal diserikan dengan kehadiran tokoh ulama tersohor dari Tarim, Yaman, Al-Habib Umar, yang dijadul menyampaikan tausiah khas pada malam esok.
Majlis yang bermula pada jam 7.00 malam hingga 11.30 malam itu akan turut menampilkan Daie Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus bersama wira Sumud Flotila, Ustaz Mad Kecik dan Chief Awie.
Program yang diadakan itu bertemakan hitam putih dan mafla Palestin itu bukan sekadar sambutan maulid semata-mata tetapi ia juga menjadi tanda solidariti umat Islam Terengganu terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim zionis.
Dalam pada itu, orang ramai diseru untuk hadir awal ke stadium dan membawa sejadah bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah serta bersama-sama menunaikan solat hajat sebelum acara utama bermula.
13 Oct 25
2135