Artikel "Utama" Terkini
Pelajar Perempuan Jangan Bersendirian, Langkah Awal Elak Tragedi - Maliaman
HULU TERENGGANU, 12 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menasihati pelajar khususnya pelajar perempuan agar tidak bergerak bersendirian walaupun dalam kawasan sekolah, sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kes jenayah seksual di institusi pendidikan.
Beliau berkata, tragedi melibatkan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini wajar menjadi peringatan serius kepada semua pihak, termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat, agar tidak leka dalam aspek keselamatan pelajar.
"Kita mesti menaruh kebimbangan. Jangan rasa selesa sangat. Walaupun di Terengganu belum berlaku, tapi kejadian di negeri lain seperti Melaka, Sabah dan Johor itu sudah cukup mengingatkan kita.
"Pelajar perempuan khususnya tidak boleh bersendirian, walaupun dalam sekolah. Kalau nak ke tandas, biar berteman, supaya perkara di luar jangka tidak berlaku," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Yayasan Salim, RAKR Tok Randok, Ajil.
Menyokong cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah sebagai sebahagian daripada langkah memperketat kawalan keselamatan, Maliaman turut menegaskan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dalam mencegah tragedi tidak diingini.
Beliau turut menekankan bahawa kesedaran tentang keselamatan bermula daripada rumah, dengan ibu bapa memainkan peranan utama menanam sikap berhati-hati dan bertanggungjawab dalam diri anak-anak.
"Saya setuju dengan cadangan pemasangan CCTV, sebab ia boleh membantu kawalan. Tapi yang paling penting ialah kawalan dan kesedaran kita sendiri, khususnya ibu bapa dan pelajar.
"Pelajar-pelajar mesti merasa patut diawasi. Pelajar-pelajar perempuan khususnya," jelasnya.
Tambahnya, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) turut digesa memperkukuh usaha kesedaran dan pemantauan bagi memastikan sekolah sentiasa menjadi tempat selamat dan kondusif untuk pelajar.
"Jadi kita pakat-pakat jagalah. JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), JPINT sendiri dan juga Yayasan (Yayasan Terengganu) maknanya kita mengambil peringatan.
"Peringatkan kepada pihak pengetua dan juga rakan-rakan pentadbiran supaya tidak mengambil isu ini dengan sambil lewa," ujarnya.
13 Oct 25
1203
Wanita Inspirasi Pemacu Perubahan Sosial
Wanita perlu menjadi ejen perubahan sosial dengan meniup semangat kebaikan dan membawa masyarakat lebih dekat kepada Allah SWT melalui ilmu, akhlak serta keteladanan.
13 Oct 25
26
Tolak Normalisasi Arak Dalam Majlis Kerajaan
Kerajaan negeri tegas menolak normalisasi arak dalam majlis rasmi kerajaan kerana ia membawa mudarat besar kepada masyarakat berbanding keuntungan ekonomi atau pelancongan semata-mata.
13 Oct 25
23
Rosol Cadang PM Berehat Bagi Hadapi Kes Sivil
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas rasmi sehingga kes sivil membabitkan beliau dan Yusuf Rotter diselesaikan.
Cadangan tersebut dilontarkan ketika beliau membahaskan isu tatakelola dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
“Saya tertarik dengan istilah ‘tatakelola’, namun ia tidak memberi makna jika akhirnya menjadi ‘tata kelaut’. Untuk memastikan keadilan ditegakkan dan mengelakkan wujudnya persepsi dua darjat dalam penghakiman, saya mencadangkan agar YAB Tambun berehat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga kes ini selesai,” katanya.
Rosol menegaskan, cadangan tersebut bukan bersifat serangan politik, sebaliknya bertujuan menjaga kewibawaan institusi Perdana Menteri dan memberi ruang kepada proses perundangan berjalan tanpa gangguan.
Tambah beliau, langkah itu mencerminkan integriti kepimpinan dan menjadi teladan kepada rakyat dalam menegakkan prinsip ketelusan serta akauntabiliti.
13 Oct 25
107
Wany Hasrita Kongsi Perjuangan Wanita Berkerjaya
KUALA NERUS, 13 Oktober - "Sentiasa ingat, kita ada maruah ibu bapa untuk dijaga," itu antara prinsip utama yang dipegang penyanyi dan selebriti terkenal, Wany Hasrita dalam mengharungi cabaran sebagai seorang wanita berkerjaya dalam industri hiburan tanah air.
Beliau berkongsi pandangan dan pengalaman peribadinya dalam program Bicara Selebriti yang diadakan sempena sambutan Hari Sayyidatina Aisyah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, semalam.
Menurut Wany, atau nama sebenarnya Nur Shahzwani Hasrita Hasbullah, di sebalik penampilan luaran, kekuatan sebenar seorang wanita berakar umbi daripada pegangan agamanya yang teguh.
"Bagi saya, apa-apa pun yang terjadi, kita kena cakap 'Allah ada'. Apa-apa pun, tak apa Allah ada. Dari situ sebenarnya sumber kekuatan kita. Bila kita dekat dengan agama kita, apabila kita pegang agama kita betul-betul, saya rasa semua yang kita lalui di dunia ini, kita akan lalui," katanya dalam sesi bicara tersebut.
Beliau turut menambah bahawa inspirasi daripada tokoh Saidatina Aisyah amat mendalam dalam hidupnya, sehinggakan beliau menamakan anak perempuannya, Aisyah, bersempena dengan isteri Rasulullah S.A.W itu.
Berkongsi tentang pengalamannya sebagai seorang selebriti, Wany mengakui bahawa mengekalkan amalan ibadah, terutamanya solat, dalam jadual kerja padat adalah satu perjuangan yang memerlukan keazaman tinggi.
Beliau menceritakan pengalaman paling mencabar ketika menjalani penggambaran di Busan, Korea dalam cuaca yang sangat sejuk, di mana beliau terpaksa berlari mencari tempat untuk berwuduk dan solat.
"Nak ambil wuduk, cuci tangan tiga kali pun dah tak rasa apa dah. Tangan, kaki, dah memang bergetar-getar. Solat pun sejuk juga, tapi itulah antara yang paling ‘struggle’," kongsinya.
Wany menegaskan bahawa untuk menjaga ibadah, ia bergantung kepada kemahuan diri sendiri untuk berusaha mencari jalan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Ketika ditanya mengenai cara beliau mengekalkan kesederhanaan dan prinsip hidup, Wany menekankan dua perkara utama iaitu memilih lingkungan sosial yang baik dan mendengar nasihat ibu.
"Pentingnya circle (lingkungan) yang bagus, yang mengejar akhirat. Secara tidak langsung ia akan mengingatkan saya sendiri. Apabila kawan-kawan yang baik, kita akan sendiri berjaga-jaga," jelasnya.
Beliau turut berpesan kepada para hadirin, terutamanya golongan muda, agar sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga serta mendengar nasihat ibu bapa.
"Dengarlah cakap ibu. Apa pun yang jadi, percayalah, selalunya apa yang dia cakap tu betul. Mereka lebih tahu," ujar beliau dengan nada sebak sambil menahan air mata.
Program Bicara Selebriti berkenaan berjaya menarik minat ramai hadirin dan dilihat sebagai satu platform yang efektif dalam menyebarkan mesej positif dan inspirasi kepada kaum wanita, selari dengan tema acara iaitu 'Wanita Inspirasi'.
13 Oct 25
58
'Jangan Pernah Lupakan Mereka' - Gema Semangat Perjuangan Palestin
KUALA NERUS, 13 Oktober - Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah di sini bergema dengan laungan takbir penuh semangat, menyahut seruan aktivis kemanusiaan terkenal, Heliza Helmi, sebagai tanda solidariti yang tidak berbelah bahagi untuk perjuangan rakyat Palestin.
Momen penuh emosi itu menjadi kemuncak ‘Slot Khas Wirawati Global Sumud Flotilla’ yang menampilkan beliau dan adindanya, Hazwani Helmi.
Segmen khas itu merupakan sebahagian daripada pengisian utama program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 yang bertemakan "Wanita Inspirasi".
Dalam perkongsian mereka, pasangan wirawati itu membawa para hadirin menyelami realiti dan cabaran misi kemanusiaan di peringkat global, terutamanya dalam usaha membantu dan menyuarakan nasib rakyat Palestin yang ditindas.
Melalui penceritaan yang berkesan, Heliza dan Hazwani menyuntik kesedaran dan menggesa orang ramai agar tidak pernah melupakan saudara seagama di sana dan terus menghulurkan sokongan dalam apa jua bentuk.
Kedua-duanya telah berkongsi pengalaman mendebarkan mereka menyertai Misi Global Sumud Flotilla dalam usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza, Palestin.
Heliza menjelaskan bahawa nama misi "Sumud" diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud teguh, kuat, cekal dan tabah, yang menggambarkan sifat sebenar rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka.
"Misi ini bukan semata-mata misi bantuan untuk bagi makanan, tapi ini adalah misi untuk buat bising," tegas Heliza, menjelaskan bahawa tujuan utama flotilla tersebut adalah untuk memastikan isu Palestin tidak dilupakan oleh dunia selepas lebih dua tahun peperangan.
Walaupun berdepan pelbagai kesukaran termasuk keadaan kapal yang tidak sempurna dan ditawan oleh tentera Israel, kedua-dua beradik itu menekankan bahawa kekuatan mereka datang daripada doa dan keyakinan kepada Allah.
"Kadang-kadang kita doa tapi kita punya keyakinan tu tak sepenuh hati... tapi ketika kita tidak ada apa-apa, kita nak sangat, Allah je yang kita tempat bergantung," ujarnya.
Bagi mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti mereka yang tidak ternilai dalam arena kemanusiaan, majlis turut menganugerahkan Anugerah Khas Khidmat Bakti kepada Heliza dan Hazwani Helmi.
Penganugerahan tersebut sebagai satu simbol penghargaan atas keberanian dan dedikasi mereka dalam memperjuangkan isu-isu global.
13 Oct 25
20
Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang dirampas kerana menceroboh dan mencuri hasil laut negara akan dilupuskan dengan kaedah penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Rhu, Besut pada 21 Oktober depan.
Langkah ini merupakan tindakan tegas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu dalam membanteras pencerobohan nelayan asing di samping inisiatif memulihara ekosistem marin negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata proses penenggelaman bot-bot ini adalah bukti komitmen APMM dan kerajaan negeri dalam mengawal kedaulatan laut serta melindungi khazanah hasil laut negara.
“Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara kita akan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di Perairan Pulau Rhu Besut pada 21 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada APMM Terengganu yang terus komited mengawal laut Terengganu dari anasir asing yang merosakkan dan mencuri khazanah hasil laut.
Menurut beliau, sebelum dilupuskan, semua enjin dan peralatan bernilai akan ditanggalkan daripada bot tersebut.
Katanya, hanya badan bot sahaja yang akan ditenggelamkan untuk memastikan ia selamat dan sesuai dijadikan habitat baharu hidupan laut.
Pelupusan bot yang dijadikan tukun tiruan dilihat memberikan kesan jangka panjang sebagai struktur sokongan kepada pemuliharaan biodiversiti marin, menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut, sekali gus membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan.
APMM Terengganu sebelum ini telah kerap kali menggunakan kaedah penenggelaman bot nelayan asing yang dilucut hak mahkamah sebagai tukun tiruan di perairan negeri, menandakan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan perikanan haram.
13 Oct 25
88
Misi Kemanusiaan Palestin Diteruskan Melalui Percubaan Darat
Global Sumud Flotilla yang disekat melalui jalan laut tidak akan mematahkan semangat sukarelawan untuk meneruskan misi melalui jalan darat.
12 Oct 25
18
Fun Run & Ride For Waqf 2025 Semarak Kesedaran Mental, Semangat Kebajikan
Program Mental Health Fun Run & Ride for Waqf 2025 yang berlangsung di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini bukan sekadar aktiviti kecergasan, tetapi juga menjadi platform memperkukuh kesedaran terhadap kesihatan mental serta menyemai semangat kebajikan berasaskan wakaf.
12 Oct 25
15
Terengganu Terus Cemerlang Lahirkan Atlet Bertaraf Dunia - Timbalan Menteri
KUALA NERUS, 12 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiktiraf kehebatan atlet negeri Terengganu yang sentiasa mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa menerusi bakat dan pencapaian berprestasi tinggi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, berkata Terengganu sememangnya terkenal sebagai negeri yang kaya dengan bakat serta semangat juang luar biasa, melahirkan ramai ikon sukan negara sejak dahulu lagi.
“Nama-nama besar seperti Nazmizan Mohamad, pelari pecut kebanggaan negara yang pernah beraksi di pentas Olimpik Athens 2004 berasal dari Dungun. Dari daerah yang sama juga lahir wira dunia digelar ‘The Pocket Rocketman’, Dato’ Azizulhasni Awang, yang menjadi simbol kejayaan sukan berbasikal dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kedua-dua tokoh ini membuktikan bahawa Terengganu tidak pernah kering dalam melahirkan juara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Adam Adli turut menzahirkan ucapan tahniah kepada generasi baharu anak Terengganu yang meneruskan legasi kecemerlangan tersebut, antaranya Qabil Irfan Azlan yang mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol ESBK Talent 2025.
Selain itu, beliau berkata, Muhammad Hakim Danish Ramli bakal mencipta detik bersejarah apabila membuat penampilan sulung di Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2025 dalam kelas Moto3, yang dijadual berlangsung hujung Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang.
Dalam pada itu, Adam Adli turut memuji pencapaian atlet wanita Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, yang beberapa kali dinobatkan sebagai ‘Ratu Pecut’ di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
“Kejayaan mereka semua membuktikan bahawa dengan disiplin, latihan berterusan dan semangat kental, anak muda Malaysia mampu mengangkat nama negara di persada dunia,” ujarnya.
12 Oct 25
85