KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Terengganu terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju utama pembangunan bandar pintar di Pantai Timur menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik di bawah agenda Smart Terengganu 2040.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata usaha itu bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi bertujuan membina sebuah negeri yang berdaya tahan menghadapi perubahan zaman.
“Terengganu berhasrat menjadi negeri yang maju, berkat dan sejahtera. Kemajuan yang dimaksudkan bukan hanya diukur melalui bangunan atau infrastruktur, tetapi kesejahteraan hidup rakyat serta kekuatan nilai dan ilmu,” katanya ketika berucap pada Majlis Terengganu Smart City Activation Day (TSCA.25) di Duyong Convention Center, The Langit Duyong Marina Resort, di sini, hari ini
Menurut beliau, intipati Smart Terengganu 2040 berteraskan pembangunan berasaskan data, inovasi dan teknologi yang berpaksikan nilai Islam, budaya tempatan serta aspirasi rakyat.
Beliau berkata, melalui perancangan rapi yang digerakkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysia@Terengganu), negeri ini menjadi antara yang terawal menyiapkan Pelan Tindakan Bandar Pintar bagi setiap daerah sebagai panduan pelaksanaan sebenar di lapangan.
“Kita tidak menunggu perubahan berlaku, sebaliknya kita memacu perubahan itu dengan acuan sendiri – acuan Terengganu yang berpaksikan nilai Islam, kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan,” jelasnya.
Wan Sukairi turut menegaskan bahawa kejayaan bandar pintar tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi, sebaliknya bergantung kepada nilai dan kolaborasi antara semua pihak termasuk kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal, universiti, industri dan komuniti setempat.
“Teknologi hanyalah alat, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana manusia di belakangnya mampu berfikir, bekerjasama dan bertindak sebagai satu ekosistem pintar,” ujarnya.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru agar semangat kerjasama yang terjalin terus diperkukuh supaya Terengganu kekal di hadapan dalam pembangunan bandar pintar di Pantai Timur.
“TSCA.25 bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform untuk menyatukan tenaga dan idea dalam merealisasikan aspirasi negeri. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, Terengganu akan terus menjadi negeri yang maju, berkat dan sejahtera,” katanya.