Artikel "Utama" Terkini
"Please Take Care of Our Turtles!"
"Please Take Care of Our Turtles!," itu mesej ringkas dititipkan oleh DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada papan kenyataan 'Mesej Untuk Penyu' ketika mencemar duli berkunjung ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Rantau Abang,Dungun.
27 Aug 25
33
Pulangan Hasil Penternakan, 400 Peserta e-Kasih Terima RM250
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Seramai 400 peserta e-Kasih di seluruh Terengganu menerima sumbangan tunai RM250 seorang hasil keuntungan daripada sewaan premis veterinar dan projek penternakan yang diusahakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu menunjukkan hasil usaha penternakan yang dilaksanakan kerajaan negeri dapat dinikmati semula oleh rakyat.
“Dana ini datang daripada hasil sewaan premis veterinar seperti reban ayam dan beberapa projek penternakan lain.
“Apabila ada pulangan, kita agihkan semula agar semua dapat merasai manfaatnya,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Dr. Azman (Kiri) dan Maliaman (Tengah)
Beliau turut memaklumkan, keuntungan bertambah selepas kerajaan negeri berjaya mengoperasikan semula beberapa reban ayam yang sebelum ini terbiar, termasuk Reban Baruh Masin di Besut, Reban Bukit Lawang di Setiu, Reban Bukit Nenasi di Kuala Nerus serta Reban Telaga Papan di Setiu.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri, malah membantu keluarga berpendapatan rendah untuk terus bertahan dan meningkatkan taraf hidup,” ujarnya.
27 Aug 25
100
Hak Pemilik Tanah Terjejas, Empat Negeri Tolak URA 2025
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Negeri-Negeri SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) menegaskan pendirian menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 (URA) yang akan dibentangkan untuk Bacaan Kali Kedua di Parlimen 27 Ogos ini.
SG4 dalam satu kenyataan memaklumkan, RUU berkenaan jika diluluskan akan menjadi suatu undang-undang yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, dijangka akan memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
“Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] yang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif Negeri yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan.
“Akta 172 juga mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang sesuai selaras dengan dasar kerajaan sesebuah Negeri serta keperluan, sikap dan budaya penduduk setempat.
“Pendekatan ini adalah lebih holistik dengan mengambil kira cita rasa pembangunan negeri berasaskan pertimbangan dasar dan diharmonikan dengan sifat budaya penduduknya,” ujar kenyataan tersebut, hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, pelaksanaan URA juga dilihat boleh menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi yang sedia ada dalam bandar terutamanya kaum Melayu dan bumiputera.
“Tambahan pula URA tidak memperincikan mekanisma pampasan dan perlindungan yang jelas kepada pemilik asal tanah dan ia dibimbangi berkemungkinan akan menjejaskan imbangan kaum dan pemilikan hartanah terutama bumiputera di bandar-bandar.
“Negeri-Negeri SG4 amat bimbang tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas, pelaksanaan URA akan mewujudkan jurang komuniti kaum di bandar-bandar sekaligus menjejaskan keharmonian negara,” ujarnya.
Jelas kenyataan tersebut, undang-undang sedia ada termasuk Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, dengan pelaksanaan secara berfokus dan penambahbaikan yang perlu dan wajar boleh menangani isu-isu berbangkit khususnya bagi tujuan pembangunan semula, penjanaan dan penyegaran semula bandar tanpa keperluan terhadap URA.
26 Aug 25
186
Ingati Tanah Air Umat Islam Belum Merdeka - Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak melupakan nasib saudara seagama di seluruh dunia yang masih belum menikmati kemerdekaan, khususnya rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Zionis.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, meskipun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan sejak lebih enam dekad lalu, perjuangan menentang penjajahan belum berakhir bagi umat Islam di bumi lain.
"Negara kita telah mencapai kemerdekaan, tetapi Palestin masih belum merdeka. Apa yang kita lalui dalam sejarah tanah Melayu sangat hampir dengan apa yang mereka hadapi di bumi Palestin.
"Jika kita pernah dijajah British, Palestin juga dijajah British. Penjajah British bawa agenda penghijrahan dan penempatan. Mereka bawa orang-orang Yahudi daripada Eropah, mereka tempatkan di Palestin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya bagi Program Briskwalk Jiwa Merdeka 2025 sempena sambutan bulan kemerdekaan di Dataran Batu Buruk, pagi semalam.
Menurutnya, umat Islam perlu menzahirkan rasa syukur dengan kemerdekaan tanah air bukan sahaja dengan mengingati pengorbanan pejuang terdahulu, malah dengan menyokong perjuangan umat Islam yang masih ditindas di negara lain.
"Maka, kita sebagai rakyat dan bangsa yang telah merdeka, kita juga mestilah mengingati rakan-rakan kita, saudara-saudara kita yang hari ini sedang berjuang untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajah.
"Khususnya apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, di Gaza, Tebing Barat, Jenin dan lain-lain lagi. Yang setiap hari dibunuh, dibantai, tidak mengira kanak-kanak, wanita, orang tua.
"Dalam video beberapa hari yang lepas, sangat menyayatkan hati bagaimana seorang pejuang Palestin digilis dengan kereta kebal. Tapi mereka tetap berjuang sehinggalah ketitisan darah yang terakhir gugur syahid.
Dalam pada itu, Dr. Khalil turut menegaskan untuk mempertahankan perjuangan nenek moyang menjadikan perlembagaan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia, khususnya bagi generasi muda pada hari ini.
"Alhamdulillah berkat perjuangan datuk nenek moyang kita, mereka berjaya menghalau penjajah. Hasil perjuangan mereka, Islam berjaya diletakkan sebagai agama negara yang menjadi agama persekutuan.
"Perlembagaan dibentuk dan diletakkan Islam sebagai agama negara. Itu yang mesti kita pertahankan, khususnya kepada generasi muda pada hari ini," pesannya.
Pada masa sama, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut serta berdoa agar keamanan negeri Terengganu dan negara Malaysia terus terpelihara.
26 Aug 25
68
Punca Kehilangan Ikan Kelah Terungkai
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Misteri kehilangan ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir sejak beberapa minggu lalu bukanlah disebabkan oleh kehadiran haiwan pemangsa sebaliknya ia dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penemuan pukat di kawasan berkenaan menjadi petunjuk jelas bahawa ikan tersebut ditangkap secara haram untuk dibawa keluar.
"Dalam tinjauan tadi saya terserempak dengan pukat, dan memang sah ia berukuran empat inci.
"Pukat itu tidak ada di tempat lain, hanya di kawasan (santuari) ini. Pada pemikiran saya, ia digunakan untuk menangkap ikan kelah untuk dibawa keluar," katanya kepada pemberita selepas meninjau Santuari Kelah, semalam.
Menurut beliau, anggaran sebanyak 50 sehingga 60 peratus populasi ikan kelah telah merosot di kawasan itu - menjadi indikator bahawa aktiviti penangkapan dilakukan secara agresif.
"Sekarang kita boleh nampak pasir dekat bawah, maknanya ikan itu ada selapis sahaja.
"Yang tinggal sekarang kebanyakannya ikan muda dan kecil. Ikan induk besar hanya ada beberapa ekor sahaja.
"Malah kita dapat lihat ada kesan luka pada kepala beberapa induk besar akibat tebaran jala. Ini menunjukkan ia ditangkap secara ganas. Jadi ini yang boleh (menyebabkan ikan) hilang," jelasnya.
Dalam pada itu, Razali turut menegaskan kehadiran memerang yang didakwa menjadi punca utama adalah tidak relevan kerana faktor tersebut tidak begitu signifikan.
"Memerang itu, baru-baru ini sahaja yang ada memerang. Tapi memerang tu dia binatang.
"Dia tidak akan menjadi habitat tetap yang mengganggu begitu lama. Pada saya, memerang hanyalah serpihan sahaja. Yang saya syak betul-betul adalah aktiviti manusia," ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, pihaknya juga akan berbincang bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan pemegang taruh Tasik Kenyir untuk mengambil tindakan selanjutnya.
"Sebab kita nampak ada satu laluan sahaja. Kalau ada satu laluan sahaja untuk mengeluarkan ikan kelah daripada santuari dan kita juga ada beberapa sekatan.
"Kalau sekatan tu ketat, saya tak jangka ikan kelah ni dapat dikeluarkan. Sebab masa dulu pernah tertangkap seorang yang bawa ikan kelah letak dalam beg, tertangkap.
"Tapi saya tidak mahu tuduh pada siapa-siapa. Tapi saya akan berbincang dan kalau perlu kita laporkan kepada polis untuk buat siasatan," tambahnya.
26 Aug 25
658
Jaminan Pemulihan Santuari Kelah, Pelancong Tidak perlu Bimbang
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa usaha pemuliharaan ikan kelah di Tasik Kenyir akan dipergiatkan, sekali gus memastikan Santuari Kelah terus kekal sebagai tarikan pelancongan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pelancong tidak perlu bimbang kerana Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berpengalaman luas dalam menguruskan habitat ikan tersebut.
"Pelancong jangan risau kerana KETENGAH ini pengalaman dia sudah lama macam mana nak bela ikan kelah ni.
"Saya ingat dah lebih daripada 30 tahun ataupun dekat-dekat dengan 30 tahun. Daripada ada beberapa ekor, KETENGAH boleh wujudkan sehingga ribuan ekor," katanya.
Menurut beliau, KETENGAH telah mengambil langkah segera dengan membuang platform di kawasan santuari tersebut dan mengehadkan aktiviti pelancong bagi memulihkan populasi kelah.
"KETENGAH telah mengambil perjalanan dan menghentikan lawatan ke santuari dan mula belaan baru dan hari ini baru kita nampak selepas tiga minggu ikan kelah menghampiri lubuk asal.
"Jadi sekarang ni kalau kita lihat KETENGAH terus mengambil inisiatif buang platform dan tak benarkan pelancong duduk dekat sini. Maka kita dapat lihat hari ni ada ratusan ekor.
Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menjalankan satu tinjauan di kawasan santuari kelah, hari ini.
Beliau turut menegaskan, antara perubahan yang bakal dilaksanakan termasuk larangan aktiviti mandi bersama kelah yang sebelum ini menjadi tarikan utama.
"Apa yang saya difahamkan oleh pihak KETENGAH, ikan kelah ini sangat manja sebenarnya.Tapi dulu oleh kerana ikan ini terlampau banyak dia (pelancong) boleh terjun, boleh mandi (dalam santuari).
"Tapi bila ada sahaja tangan-tangan ghaib dan SOP (tatacara pengendalian piawai) yang sangat longgar maka, untuk yang kehadapan saya cadangkan kepada KETENGAH supaya ketatkan lagi SOP.
"Tidak boleh mandi lagi, hanya boleh hulur kaki dan pegang sahaja (ikan kelah) di atas platform. Dan insya-Allah tahun depan kita akan buat SOP baru," ujarrnya.
26 Aug 25
312
Vape: Larangan Jualan Dikuatkuasa, Premis Ingkar Disita
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh ketegasan membanteras vape dengan melaksanakan larangan jualan bermula 1 Ogos lalu, termasuk tindakan sitaan dan kompaun terhadap premis yang berdegil.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Program Khas Gomo Asap dianjurkan untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya tabiat merokok dan menghisap vape.
"Tujuan program khas Gomo Asap ini adalah untuk kita memberi kesedaran dan juga kempen kepada rakyat Terengganu supaya meninggalkan apa-apa sahaja bahan berasap, seperti rokok dan juga vape.
"Kita semua tahu bahawa kedua-dua amalan ini bukan sahaja telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa, malah sangat memudaratkan generasi muda pada masa kini dan juga akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Anuar Abd Rahman.
Menurut Wan Sukairi, kerajaan negeri telah menguatkuasakan larangan penjualan, iklan dan penajaan vape di semua premis pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kerajaan negeri Terengganu seperti yang sudah sedia maklum, telah pun mula menguatkuasakan larangan jualan di premis-premis PBT, termasuklah pemaparan iklan dan juga penajaan dari syarikat-syarikat vape.
"Langkah ini bertujuan menyokong pengharaman dan membanteras penggunaan vape secara total di negeri Terengganu," tegasnya.
Beliau berkata, papan tanda larangan baharu juga diedarkan untuk ditempatkan di kawasan awam yang sering dikunjungi orang ramai.
"Sebentar tadi juga kita mengedarkan signage baru untuk ditampal di tempat-tempat larangan merokok seperti di pejabat, sekolah, pasar dan di tempat yang dikunjungi pelbagai rakyat termasuk golongan kanak-kanak, premis makanan dan sebagainya.
"Kita harap dengan kempen yang diadakan ini boleh memberikan kesedaran kepada rakyat untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak menghisap rokok dan juga vape," ujarnya.
Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan juga telah dijalankan terhadap premis di Kuala Terengganu dan daerah lain yang masih menjual vape.
"Selepas kita menguatkuasakan pengharaman penjualan vape di Terengganu pada 1 Ogos lalu, beberapa operasi telah dilakukan oleh pihak PBT di premis-premis yang masih menjual vape sama ada di Kuala Terengganu mahupun di daerah lain.
"Penguatkuasaan itu telahpun berlaku dan kita harap semua mereka yang menjual vape di premis supaya menghentikan segera aktiviti berkenaan atau berdepan tindakan," tambahnya.
Wan Sukairi turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang tidak akan teragak-agak dikenakan terhadap premis yang ingkar.
"Jika kita ada maklumat ada premis yang masih melakukan aktiviti penjualan, kita akan kuatkuasakan undang-undang sama ada melalui laporan media sosial ataupun maklumat yang disalurkan kepada pihak PBT.
"Setakat ini sudah ada kedai yang dikenakan tindakan termasuk disita dan dikenakan kompaun," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan larangan ini memberi fokus untuk mengekang pertambahan pengguna baharu terutama dalam kalangan anak muda.
"Sasaran kita adalah untuk pengguna-pengguna vape baru terutamanya.
"Ertinya, bila mereka sukar mendapatkan bekalan, lebih mudah untuk mereka meninggalkan vape berbanding golongan yang sudah tegar menghisapnya," ujarnya.
25 Aug 25
173
Projek RPMM Banggol Pauh Capai 70 Peratus, Siap April 2026
KUALA NERUS, 24 Ogos – Projek Rumah Pangsapuri Mampu Milik (RPMM) Banggol Pauh kini mencapai kemajuan hampir 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr Zaharuddin Zahid, berkata projek berkenaan bakal menyediakan 162 unit rumah, termasuk dua unit khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
“Harga sebenar setiap unit adalah RM240,000, namun kerajaan hanya menetapkan harga jualan kepada rakyat sebanyak RM80,000 sahaja, iaitu sepertiga daripada kos asal.
“Dengan harga berpatutan ini, saya menyeru semua penduduk Mukim Banggol dan kawasan berhampiran yang telah memohon supaya mengemas kini permohonan mereka melalui sistem e-Perumahan yang disediakan oleh SUK Perumahan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, baru-baru ini.
Menurutnya, projek ini amat dinantikan penduduk memandangkan permintaan terhadap rumah mampu milik di kawasan Kuala Nerus semakin meningkat.
“Setakat ini, pembinaan berjalan lancar dan kita menjangkakan pada bulan November atau Disember nanti, projek akan mencapai 80 peratus. Pihak SUK Perumahan akan mengeluarkan iklan rasmi bagi pemohon yang layak,” ujarnya.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau projek RPMM Pulau Duyong Fasa II bagi memastikan pembinaan berjalan mengikut jadual serta memenuhi sasaran kerajaan negeri menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik untuk rakyat.
24 Aug 25
1113
Santuari Kelah Sepi Salah Kerajaan Negeri?
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Penularan berita kehilangan Kelah (Tor Tambra) di Santuari Kelah Tasik Kenyir menyebabkan beberapa pihak menyalahkan kerajaan negeri berikutan insiden terbabit.
Menolak dakwaan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr. Azman Ibrahim menegaskan pengurusan santuari berkenaan bukannya di bawah sellaan kerajaan negeri.
"Orang kita sangat gemar berpolitik. Ikan kelah yang dikatakan hilang pun jadi topik untuk serang kerajaan negeri.
"Untuk makluman bagi mereka yang belum tahu, Santuari Kelah Tasik Kenyir dijaga dan diuruskan oleh KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terenganu Tengah) sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
"KETENGAH juga yang mengutip bayaran tiket masuk ke Santuari, bukan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa KETENGAH telah mengeluarkan kenyataan serta mengambil langkah pemulihan berhubung isu yang terjadi di kawasan produk eko-pelancongan tersebut.
"Soal netizen nak percaya atau tidak, itulah kenyataan dari agensi yang berautoriti.
"Kita doakan semoga Kelah akan kembali semula dan Santuari dapat dibuka semula kepada orang ramai.
Azman berkata demikian dalam satu hantaran melalui Facebook rasminya beberapa hari yang lalu.
Terdahulu, KETENGAH melaporkan kehadiran memerang menjadi punca ikan ikonik berkenaan culas untuk masuk ke lubuk yang disediakan untuk pelancong.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Perikanan Terengganu, Pang Nyukang menjelaskan perubahan landskap dan cuaca menyebabkan ikan tertumpu di lubuk semula jadi.
"Pemerhatian mendapati kawasan pemberian makanan ikan telah mengalami mendapan pasir dari hulu sungai selain penurunan paras air tasik sebagai persediaan tadahan musim tengkujuh.
"Keadaan ini menyebabkan perairan menjadi cetek manakala cuaca panas dan ketiadaan teduhan semula jadi menjadikan ikan lebih cenderung berlindung di kawasan berair dalam," katanya seperti dilaporkan oleh Astro AWANI.
24 Aug 25
123
Seminar Dasar Wanita Terengganu Teguh 'Kuasa' Wanita
Kerajaan Negeri menganjurkan Seminar Dasar Wanita Terengganu 2025 bagi memperkukuh pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu sebagai panduan strategik pembangunan wanita negeri ini.
24 Aug 25
24