KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak melupakan nasib saudara seagama di seluruh dunia yang masih belum menikmati kemerdekaan, khususnya rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Zionis.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, meskipun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan sejak lebih enam dekad lalu, perjuangan menentang penjajahan belum berakhir bagi umat Islam di bumi lain.
"Negara kita telah mencapai kemerdekaan, tetapi Palestin masih belum merdeka. Apa yang kita lalui dalam sejarah tanah Melayu sangat hampir dengan apa yang mereka hadapi di bumi Palestin.
"Jika kita pernah dijajah British, Palestin juga dijajah British. Penjajah British bawa agenda penghijrahan dan penempatan. Mereka bawa orang-orang Yahudi daripada Eropah, mereka tempatkan di Palestin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya bagi Program Briskwalk Jiwa Merdeka 2025 sempena sambutan bulan kemerdekaan di Dataran Batu Buruk, pagi semalam.
Menurutnya, umat Islam perlu menzahirkan rasa syukur dengan kemerdekaan tanah air bukan sahaja dengan mengingati pengorbanan pejuang terdahulu, malah dengan menyokong perjuangan umat Islam yang masih ditindas di negara lain.
"Maka, kita sebagai rakyat dan bangsa yang telah merdeka, kita juga mestilah mengingati rakan-rakan kita, saudara-saudara kita yang hari ini sedang berjuang untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajah.
"Khususnya apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, di Gaza, Tebing Barat, Jenin dan lain-lain lagi. Yang setiap hari dibunuh, dibantai, tidak mengira kanak-kanak, wanita, orang tua.
"Dalam video beberapa hari yang lepas, sangat menyayatkan hati bagaimana seorang pejuang Palestin digilis dengan kereta kebal. Tapi mereka tetap berjuang sehinggalah ketitisan darah yang terakhir gugur syahid.
Dalam pada itu, Dr. Khalil turut menegaskan untuk mempertahankan perjuangan nenek moyang menjadikan perlembagaan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia, khususnya bagi generasi muda pada hari ini.
"Alhamdulillah berkat perjuangan datuk nenek moyang kita, mereka berjaya menghalau penjajah. Hasil perjuangan mereka, Islam berjaya diletakkan sebagai agama negara yang menjadi agama persekutuan.
"Perlembagaan dibentuk dan diletakkan Islam sebagai agama negara. Itu yang mesti kita pertahankan, khususnya kepada generasi muda pada hari ini," pesannya.
Pada masa sama, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut serta berdoa agar keamanan negeri Terengganu dan negara Malaysia terus terpelihara.