KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Misteri kehilangan ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir sejak beberapa minggu lalu bukanlah disebabkan oleh kehadiran haiwan pemangsa sebaliknya ia dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penemuan pukat di kawasan berkenaan menjadi petunjuk jelas bahawa ikan tersebut ditangkap secara haram untuk dibawa keluar.

"Dalam tinjauan tadi saya terserempak dengan pukat, dan memang sah ia berukuran empat inci.
"Pukat itu tidak ada di tempat lain, hanya di kawasan (santuari) ini. Pada pemikiran saya, ia digunakan untuk menangkap ikan kelah untuk dibawa keluar," katanya kepada pemberita selepas meninjau Santuari Kelah, semalam.
Menurut beliau, anggaran sebanyak 50 sehingga 60 peratus populasi ikan kelah telah merosot di kawasan itu - menjadi indikator bahawa aktiviti penangkapan dilakukan secara agresif.
"Sekarang kita boleh nampak pasir dekat bawah, maknanya ikan itu ada selapis sahaja.
"Yang tinggal sekarang kebanyakannya ikan muda dan kecil. Ikan induk besar hanya ada beberapa ekor sahaja.
"Malah kita dapat lihat ada kesan luka pada kepala beberapa induk besar akibat tebaran jala. Ini menunjukkan ia ditangkap secara ganas. Jadi ini yang boleh (menyebabkan ikan) hilang," jelasnya.

Dalam pada itu, Razali turut menegaskan kehadiran memerang yang didakwa menjadi punca utama adalah tidak relevan kerana faktor tersebut tidak begitu signifikan.
"Memerang itu, baru-baru ini sahaja yang ada memerang. Tapi memerang tu dia binatang.
"Dia tidak akan menjadi habitat tetap yang mengganggu begitu lama. Pada saya, memerang hanyalah serpihan sahaja. Yang saya syak betul-betul adalah aktiviti manusia," ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, pihaknya juga akan berbincang bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan pemegang taruh Tasik Kenyir untuk mengambil tindakan selanjutnya.
"Sebab kita nampak ada satu laluan sahaja. Kalau ada satu laluan sahaja untuk mengeluarkan ikan kelah daripada santuari dan kita juga ada beberapa sekatan.
"Kalau sekatan tu ketat, saya tak jangka ikan kelah ni dapat dikeluarkan. Sebab masa dulu pernah tertangkap seorang yang bawa ikan kelah letak dalam beg, tertangkap.
"Tapi saya tidak mahu tuduh pada siapa-siapa. Tapi saya akan berbincang dan kalau perlu kita laporkan kepada polis untuk buat siasatan," tambahnya.