lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Dua rentung Toyota Vios terbakar selepas rempuh pokok sawit
Dua rentung Toyota Vios terbakar selepas rempuh pokok sawit
KOTA TINGGI: Dua rentung selepas kereta mereka naiki merempuh pokok dan terbakar dalam kawasan ladang sawit di Jalan Tanjung Balau di sini, hari ini.Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan II, Faizal Ahmad, berkata lelaki dan wanita berkenaan dipercayai terperangkap dalam kereta Toyota Vios terbabit.Katanya, Bomba terima panggilan kecemasan jam 4.48 pagi. Di lokasi didapati ada dua mangsa dalam kereta terbakar selepas merempuh pokok."Seorang mangsa adalah lelaki dewasa berusia 21 tahun manakala seorang lagi wanita dewasa yang belum diketahui identitinya," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata, kedua-dua mangsa terperangkap dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kebakaran..
22 Oct 25
6
UC TATI Perkukuh Ekosistem Inovasi TVET, Selaras PITAS 2030
UC TATI Perkukuh Ekosistem Inovasi TVET, Selaras PITAS 2030
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Usaha Kolej Universiti TATI (UC TATI) memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal negeri Terengganu melalui lawatan akademik ke Jepun pada awal Oktober yang lalu disifatkan selari dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerana melalui pelan strategik negeri Terengganu itu antara perkara yang ditekankan adalah pembangunan modal insan berteraskan ilmu, teknologi dan nilai Islam. "Apabila pelajar TVET (pendidikan dan latihan teknikal) berupaya mencipta dan berinovasi, ia bukan sahaja memperkukuh UC TATI, tetapi juga membuka peluang eknomi baharu untuk rakyat Terengganu," katanya dalam satu kenyataan. Mengulas lebih lanjut, beliau berkata apa yang bermakna delegasi Terengganu telah didedahkan dengan pengalaman Jepun dalam memupuk budaya 'Science driven innovation'. Dalam pada itu Satiful berkata, dalam kunjungan ke negara terbabit pihak UC TATI, Leave A Nest Japan dan Hadid Group yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). "Di mana 'Leave A Nest' akan menyediakan bimbingan dan akses kepada rangkaian inovasi Jepun, Hadid Group akan menyokong pembangunan industri dan komersialisasi produk pelajar. "Manakala UC TATI, akan berfungsi sebagai hub pelaksanaan program yang mengabungkan TVET dengan keusahawanan teknologi," katanya.  
21 Oct 25
26
Terengganu Lawat The Weststar Group Teroka Kerjasama Strategik
Terengganu Lawat The Weststar Group Teroka Kerjasama Strategik
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Kunjungan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke The Weststar Grup bukan hanya sekadar pertemuan rasmi sebaliknya ia menjadi platform bertukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama strategik antara negeri dan industri. Menurut Ahmad Samsuri, pertemuan berlangsung dalam suasana penuh positif dalam suasana santai, perbincangan berlangsung dengan penuh nilai hormat dan keterbukaan. "The Weststar Group yang diketuai oleh Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim telah membuktikan keupayaan syarikat tempatan untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa," ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya, di sini, hari ini. Jelasnya lagi, kerajaan negeri sentiasa bersedia dan terbuka dalam menjalin hubungan dengan pelbagai pihak demi kepentingan serta pembangunan negeri Terengganu. "Demi masa depan Terengganu yang lebih berdaya maju, kami sedia mendengar, berfikir dan membina jalinan," ujar beliau.
21 Oct 25
98
Projek RM78 Juta Bukit Tebuk Untuk 420 Keluarga Dungun
Projek RM78 Juta Bukit Tebuk Untuk 420 Keluarga Dungun
DUNGUN, 19 Oktober – Harapan lebih 420 keluarga di Dungun untuk memiliki kediaman sendiri bakal menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri Terengganu melancarkan Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan Bercampur Bukit Tebuk bernilai RM78 juta, di atas tanah seluas 36.83 ekar yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan pemaju swasta bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki rumah berkualiti. "Pembangunan ini melibatkan kos sebanyak RM78 juta di atas kawasan seluas 36.83 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember 2030. "Projek ini adalah hasil usahasama kerajaan negeri dan pemaju swasta yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk Dungun," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek berkenaan di sini hari ini. Turut hadir, ADUN Sura, Dr.Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid bin Jusoh; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato' Wan Adnan Wan Derahman. Menurut beliau, projek ini merangkumi 444 unit kediaman dan komersial, termasuk 120 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Jenis A, 112 unit RMM Jenis B, 140 unit rumah teres setingkat Jenis C, 38 unit rumah link banglo 1.5 tingkat Jenis D, 18 unit rumah berkembar setingkat Jenis E dan 16 unit kedai satu tingkat. "Harga jualan bagi RMM Jenis A ditetapkan pada RM90,000 manakala Jenis B bermula RM185,000. "Penetapan harga bagi unit komersial akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak pemaju," jelasnya. Wan Sukairi berkata, tawaran pembelian rumah akan dibuat mengikut kategori pendapatan isi rumah bagi memastikan golongan sasar benar-benar menikmati manfaatnya. "RPMM Jenis A ditawarkan kepada mereka berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, manakala RMM Jenis B untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM8,000. "Bagi rumah dan kedai komersial pula, proses jualan serta tawaran akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak pemaju," tambah beliau. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada bekas ADUN Sura, atas peranan beliau mencetuskan idea asal projek berkenaan. "Idea dan cadangan projek ini sudah ada sejak zaman mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik yang turut bersama-sama kita pagi ini. "Walaupun mengambil masa agak lama, akhirnya kita berjaya melaksanakan acara pecah tanah yang sangat bermakna ini.” Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan terus melaksanakan lebih banyak projek perumahan rakyat di seluruh Terengganu bagi memenuhi impian rakyat memiliki rumah sendiri. "Akan ada beberapa lagi projek yang akan diumumkan pada masa akan datang mengikut jadual yang telah ditetapkan. "Ini menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat Terengganu yang masih belum memiliki rumah," jelasnya lagi. Menutup ucapannya, Wan Sukairi menyeru agar projek berkenaan menjadi simbol kemajuan dan kesejahteraan baharu buat penduduk Dungun. "Hari ini kita berdiri di atas tanah kosong. Namun, Insyaa Allah, dalam beberapa tahun akan datang, di sinilah akan berdiri deretan rumah-rumah indah, tempat bersemainya kasih sayang dan kehidupan baharu buat ratusan keluarga," ujarnya.  
20 Oct 25
1926
Ombak Besar Jangan Belayar - Exco Terengganu
Ombak Besar Jangan Belayar - Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Kerajaan negeri menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan pusat peranginan di kepulauan negeri itu ditutup sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris menegaskan bahawa tiada arahan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan negeri berkaitan penutupan pulau pada musim tengkujuh. Razali (kanan) "Walaupun musim tengkujuh atau MTL di Terengganu bermula pada November hingga Februari atau Mac, namun ia bukan berterusan sepanjang bulan. "Dalam sebulan ada tiga atau empat kali bot boleh masuk. Jadi terpulang kepada pengusaha untuk tentukan. "Tetapi kita sudah beri amaran kalau ombak besar tidak boleh belayar. Aspek keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan sangat penting dan diwajibkan," katanya seperti dilaporkan oleh Bernama beberapa hari yang lalu. Beliau juga pernah menjelaskan bahawa sepanjang tempoh MTL akan dimanfaatkan oleh pengusaha untuk melakukan penyelanggaraan fasiliti tempat peranginan termasuk pembaikan bot yang merupakan salah satu aset penting bagi perniagaan mereka. Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyarankan pemain industri untuk memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran dalam kalangan pengunjung khususnya berkaitan aspek keselamatan. Menurut Razali, apa yang boleh dilakukan oleh pemain industri ialah melalui penyiaran klip video bahaya aktiviti laut terutamanya menjelang MTL yang akan tiba tidak lama lagi. "Semua pengusaha chalet dan resort sudah dimaklumkan supaya menyiarkan video-video pendek mengenai bahaya aktiviti mandi-manda di laut ketika musim tengkujuh. "Video itu sudah ada. Alhamdulillah kita sifar korban tahun lepas, tidak ada kematian. Jadi kita harap pengusaha betul-betul mengambil langkah keselamatan dan begitu juga pengunjung," ujarnya.
19 Oct 25
108
Badrul Tekad Perbaiki Komunikasi, Fokus Aksi Timbal Balik Di Kuching
Badrul Tekad Perbaiki Komunikasi, Fokus Aksi Timbal Balik Di Kuching
KUALA NERUS, 19 Oktober - Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali, bertekad memperbaiki kelemahan komunikasi dan organisasi pasukannya menjelang aksi timbal balik menentang Kuching City FC selepas tewas 1-4 dalam suku akhir pertama Piala FA Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. Mengakui kekalahan itu berpunca daripada kesilapan sendiri, Badrul menyifatkan perlawanan tersebut bukan malam terbaik buat pasukannya yang banyak melakukan kesilapan mudah di semua posisi. "Untuk perlawanan pada malam ini saya rasa bukan malam kita. Terlalu banyak kesilapan individu-individu, terlalu ghairah untuk menjaringkan gol dan kita lupa di belakang serta berlaku kesilapan komunikasi," katanya pada sidang media selepas perlawanan. Menurutnya, kecuaian itu mengakibatkan pertahanan TFC ditembusi dua kali dalam tempoh 10 minit pertama, sekali gus memberi kelebihan awal kepada Kuching City FC untuk mendominasi perlawanan. "Kita tahu pasukan Kuching mempunyai pemain yang berkualiti. Jadi kita dihukum dengan kesilapan-kesilapan yang kita buat untuk game pada malam ini," jelasnya kepada pemberita. Badrul turut menjelaskan bahawa anak buahnya sebenarnya menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua dengan memberikan tekanan kepada pasukan lawan, namun sekali lagi kesilapan individu menggagalkan usaha untuk bangkit. "Kalau kita tengok, kita memberi tekanan di separuh masa kedua tapi itu saya cakap kesilapan individu berlaku bila kita hendak menjaringkan gol, kalut untuk menjaringkan gol, kita lupa di belakang. Jadi mengakibatkan Kuching menjaringkan gol ketiga," katanya lagi. Mengulas mengenai persediaan menghadapi perlawanan timbal balik di Kuching pada 28 Oktober ini, Badrul menegaskan tempoh sepuluh hari akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperbaiki kelemahan pasukan. "Sudah tentu kita ada 'gap' dalam 10 hari ini dan kita ada 90 minit di Kuching. Kita akan buat yang terbaik. Apa kesilapan yang kita lakukan pada malam ni kita kena baiki, kita kena lupakan (kekalahan pada malam itu) dan kita cuba menyaingi Kuching di tempat lawan nanti," ujarnya dengan penuh tekad. Jurulatih skuad negeri itu turut menekankan aspek komunikasi sebagai isu paling ketara yang perlu diperbetulkan segera agar kesilapan sama tidak berulang. "Kalau kita tengok gol-gol yang Kuching jaringkan, komunikasi kita tidak tersusun dan disitu berlaku kesilapan. Saya harap pemain-pemain belajar pada malam ini, tidak boleh melakukan kesilapan apabila kita bertemu dengan pasukan Kuching," nyatanya. Dengan kekalahan besar di laman sendiri, TFC kini perlu menang sekurang-kurangnya dengan tiga jaringan tanpa bolos di Kuching bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.
19 Oct 25
94
TFC Tewas 4-1 Di Laman Sendiri
TFC Tewas 4-1 Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 18 Oktober - Harapan Terengganu FC (TFC) untuk membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik suku akhir kedua Piala FA Malaysia musnah apabila tewas 1-4 di tangan Kuching City FC (Kuching) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. Di hadapan hampir 10,000 penonton, skuad tuan rumah dikejutkan seawal minit kelapan apabila penyerang Kuching, Wanja Ronald Ngah, meledak gol pembukaan selepas berlaku kekalutan di hadapan gawang TFC. Kelekaan benteng TFC sekali lagi dihukum empat minit kemudian apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat. Wanja tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menambah jaringan, menjadikan kedudukan 2-0 dalam tempoh seawal 12 minit permainan. Kuching terus mendominasi permainan pada separuh masa pertama dengan serangan bertali arus, manakala barisan pertahanan TFC kelihatan bergelut mengekang asakan agresif oleh pasukan pelawat. Bersambung babak kedua, nasib malang TFC berterusan apabila Ahmad Danial Ahmad Asri menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga Kuching pada minit ke-52, menambah tekanan kepada tuan rumah. Walau bagaimanapun, TFC akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pemain import sensasi skuad negeri, Yann Kevin Mabella, pada minit ke-68 untuk menjadikan kedudukan 3-1. Keberhasilan jaringan sulung pasukan tuan rumah itu sekaligus memberikan harapan Dan suntikan tonik kepada TFC untuk menutup jurang mata yang ketara itu. Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pemain yang sama menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82 selepas tandukan tersasar masuk hasil sepakan penjuru Petrus Shitambi dari Kuching. Perlawanan berakhir dengan kemenangan besar Kuching City FC 4-1, memberikan kelebihan selesa buat skuad Kuching menjelang aksi timbal balik di Sarawak pada 28 Oktober ini.
18 Oct 25
44
Ribuan Rakyat Terengganu Terus Bersolidariti, Hadir Himpunan Taufan Al-Aqsa
Ribuan Rakyat Terengganu Terus Bersolidariti, Hadir Himpunan Taufan Al-Aqsa
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober – Ribuan rakyat Terengganu membanjiri Dataran Khairunnisa semalam dalam Himpunan Taufan Al-Aqsa bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus berjuang membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman rejim Zionis Israel. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk menganjurkan himpunan seperti ini bagi memberi ruang kepada seluruh rakyat negeri menunjukkan keprihatinan dan kebersamaan terhadap perjuangan umat Islam di Palestin. “Malam ini kita menjadi saksi bahawa negeri Terengganu sentiasa seiring dengan saudara-saudara kita di bumi Palestin. “Bulan ini sahaja, ini merupakan program ketiga selepas pada 10 Oktober lalu kita telah mengadakan Perarakan Bot Seluruh Negeri Terengganu yang berhimpun di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, sebagai simbolik sokongan kepada saudara kita yang sedang berjihad di sana,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Taufan Al-Aqsa di Dataran Khairunnisa, di sini, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, serta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. Dr. Muhammad Khalil turut menambah bahawa pada 14 Oktober lalu, kerajaan negeri telah menganjurkan Program Maulid Akbar 'Untukmu Al-Aqsa' yang menghimpunkan lautan manusia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, bersama para ulama dari dalam dan luar negara bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin. “Pada malam ini sekali lagi rakyat Terengganu berhimpun bagi meneruskan semangat ulang tahun kedua Taufan Al-Aqsa, tanda bahawa perjuangan ini tidak akan pernah padam,” katanya.  
18 Oct 25
94
Hospital Berkait Kerajaan Terengganu Raih Anugerah Kecemerlangan Global
Hospital Berkait Kerajaan Terengganu Raih Anugerah Kecemerlangan Global
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pusat Perubatan Kumpulan Medic Iman (KMI) Kuala Terengganu di sini terus melakar kejayaan membanggakan apabila menerima ‘Global Performance Excellence Awards’ (GPEA) 2025 yang berlangsung di Beijing, China. Pengurus Besarnya, Salina Long berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi bagi prestasi organisasi dan kecemerlangan perniagaan di rantau Asia Pasifik. "Selain anugerah ini, KMIKT turut diiktiraf untuk ‘Best Practice’ melalui inisiatif ‘Special Task Force (STF) for Profitability’, yang menekankan pendekatan inovatif dalam meningkatkan kecekapan operasi serta prestasi keuntungan hospital. "Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan KMIKT terhadap kecemerlangan, pengoptimuman sumber, dan pengurusan strategik bagi memastikan pertumbuhan mampan selari dengan perkhidmatan berkualiti tinggi," ujarnya dalam satu kenyataan. Menurut Salina, penilaian bagi GPEA merangkumi beberapa aspek utama seperti kepimpinan, strategi, fokus pelanggan, penglibatan tenaga kerja, keputusan operasi dan inovasi. "Ia antara nilai-nilai yang sentiasa menjadi teras kepada budaya kerja kami di KMIKT. "Tahniah kepada seluruh warga kerja KMIKT atas kejayaan antarabangsa yang membanggakan ini. Bersama-sama kita terus memperkukuhkan kualiti perkhidmatan kesihatan untuk masa depan yang lebih cemerlang, " ujarnya. 
17 Oct 25
2242
‘Wanita Besi’ Marang Buktikan Kemampuan
‘Wanita Besi’ Marang Buktikan Kemampuan
MARANG, 17 Oktober – Lumrahnya wanita dikenali sebagai seorang yang berpersonaliti anggun dan lemah lembut. Bagaimanapun, sejajar dengan peredaran masa, wanita hari ini kian bergerak maju berdiri di atas kaki sendiri sekali gus mampu menjadi inspirasi kepada kelompok wanita lain. Percaya kepada kemampuan diri, Maziah Ghazali, 38, dari Kampung Sungai Serai, Binjal Rendah, di sini nekad menceburi pekerjaan sebagai juru kimpal atau 'welder' yang sering digambarkan sebagai kerjaya lasak dan lazimnya didominasi kaum lelaki. Isteri kepada Ahmad Sobri Hashimi, 39, mengakui, dia tidak sedikit pun kekok bekerja dalam keadaan panas, berdebu serta berdepan percikan api yang memerlukan kekuatan fizikal.  “Sebelum ini, saya berkerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengedar dan kontraktor untuk produk-produk kejuruteraan termasuk terlibat dalam industri penyudah logam. Ketika itu, suami turut berkerja di tempat sama dengan membuat kerja-kerja kimpalan.  “Saya sering memerhati tugas juru kimpal malah ada kalanya saya menggantikan kerja mereka, lama-kelamaan timbul minat untuk mendalami ‘dunia’ ini membuatkan saya dan suami nekad berhenti kerja pada tahun 2022 dan membuka bengkel kimpalan sendiri di rumah,” ujarnya. Maziah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman ke bengkelnya. Sebagai wanita, dia mengakui berdepan cabaran berbeza apabila menceburi bidang yang dikuasai lelaki terutamanya dalam mendapatkan kepercayaan pelanggan. “Reaksi yang saya terima pelbagai, ada baik dan sebaliknya. Maklumlah kerja juru kimpal biasanya melibatkan penyambungan, pembaikan, dan pemotongan logam yang banyak ‘bermain’ dengan api bukan sesuatu yang biasa buat wanita dan membuatkan ada klien yang kurang percaya dengan kemampuan saya. "Masa mula bekerja sendiri, setiap kali berjumpa 'tauke-tauke' besar untuk dapatkan tawaran kerja-kerja kimpalan, setiap kali itu juga mereka tanya 'bolehkah saya buat kerja untuk model saiz industri?' "Tapi saya tidak mudah melatah sebaliknya meminta mereka beri peluang untuk lakukan kerja terbabit terlebih dahulu. Dengan dibantu suami, saya telah buktikan setiap kerja tersebut dapat dilakukan sehabis baik," katanya. Maziah berkata, kini dia bukan sahaja berjaya membuktikan kerjaya lasak ini boleh diceburi golongan wanita, malah keupayaan dan ketelitiannya membuatkan tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan. “Alhamdulillah, ramai klien yang berpuas hati dengan hasil kerja saya, ada yang dulunya tidak percaya dengan kemampuan saya, sekarang datang cari,” ujarnya. Maziah berkata, paling membanggakan apabila bengkel kimpalan yang diusahakan bersama suaminya itu turut mendapat projek-projek besar daripada syarikat ternama termasuk anak syarikat kerajaan negeri serta industri perkapalan di Terengganu.  
17 Oct 25
118