lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Terengganu Tuan Rumah Sirkit Para Ping Pong Kebangsaan
Terengganu Tuan Rumah Sirkit Para Ping Pong Kebangsaan
KUALA NERUS, 27 Julai – Terengganu buat julung kalinya dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran acara sukan berprestij, Sirkit 2 Para Ping Pong Kebangsaan Allianz-MSN-TTAM 2025 yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Kuala Nerus bermula 23 hingga 27 Julai. Kejohanan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Allianz Malaysia serta Persatuan Ping Pong Para Malaysia (TTAM) itu berjaya menarik penyertaan seramai 108 atlet para dari seluruh negara, kecuali Kuala Lumpur dan Perak. Kejohanan yang mempertandingkan 16 kategori terbuka ini membabitkan penyertaan atlet berkeperluan intelektual (AI) dan fizikal, sekali gus menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat baharu selain menguji tahap persediaan atlet menghadapi temasya bertaraf lebih besar. Pengarah Bahagian PARA MSN, Joherman Amir, yang turut hadir memeriahkan kejohanan berkata, penganjuran di Terengganu mencerminkan perkembangan positif sukan para negara dan wajar dimartabatkan sebagai antara acara utama dalam kalendar PARA kebangsaan. “Prestasi atlet sangat membanggakan. Ini membuktikan bahawa sukan ping pong para semakin berkembang pesat dan berpotensi untuk terus diberi perhatian serius dalam pembangunan sukan OKU di Malaysia,” katanya dalam sidang media. Turut hadir, Presiden Persatuan Ping Pong Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohd Asamudin A. Rahman. Pemilihan Ar-Riyadah Residence sebagai venue utama penganjuran disifatkan tepat kerana kemudahan mesra OKU yang kondusif serta sokongan logistik yang baik, menjadikan kejohanan ini antara yang paling teratur dan inklusif setakat ini. Penganjuran sirkit ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi Terengganu sebagai penganjur bertaraf tinggi, malah menegaskan komitmen negeri ini dalam memperkasa pembangunan sukan OKU secara progresif dan holistik.    
26 Jul 25
221
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Skuad ragbi wanita Terengganu membuktikan potensi pemain akar umbi masih 'berkuasa' apabila membuka tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2025) dengan dua kemenangan meyakinkan, meskipun tidak dibarisi pemain kebangsaan bertaraf elit. Beraksi dalam kategori Wanita Terbuka, pasukan tuan rumah yang rata-ratanya terdiri daripada bekas pemain Sukan Malaysia (SUKMA) terdahulu mempamerkan keserasian tinggi apabila menewaskan Melaka 46-00 sebelum membenam Sarawak 50-00 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Pengurus pasukan, Ahmad Sujairi Johari berkata, kejayaan hari pertama itu adalah hasil keyakinan pasukan terhadap kekuatan dalaman yang dibentuk sejak dari peringkat remaja. "Kami tidak meletakkan skuad wanita Terengganu ini selaku pasukan pilihan bagi National 7s kali ini di mana kami hanya membariskan bekas-bekas pemain SUKMA terdahulu termasuk beberapa pemain lain untuk melengkapkan pasukan ini. Juga pasukan kami tidaklah didominasi oleh pemain-pemain berstatus kebangsaan. "Melihat pada keputusan perlawanan hari pertama ini, komunikasi serta keserasian dalam pasukan menjadi kelebihan buat kami ketika ini. "Cabaran sebenar untuk kami adalah pada keesokkan hari bagi penentuan peringkat kumpulan sebelum mara ke penentuan akhir pada Ahad ini," ujarnya. Prestasi cemerlang ini dilihat sebagai cerminan kepada keberkesanan program pembangunan sukan wanita di Terengganu yang konsisten melahirkan bakat-bakat berdaya saing walaupun tanpa pendedahan antarabangsa secara langsung. Meskipun tanpa status sebagai pasukan pilihan, skuad wanita Terengganu kini dilihat memiliki semangat dan momentum yang tepat untuk mencipta kejutan.
26 Jul 25
398
Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2025 Jadi Tumpuan
Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2025 Jadi Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan (7s) Kebangsaan 2025 secara rasmi dibuka dan dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai, di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail. Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai itu menghimpunkan 41 pasukan dari seluruh negara berentap dalam empat kategori utama membabitkan lelaki dan wanita terbuka serta bawah 21 tahun. Sebanyak 139 perlawanan dijadualkan sepanjang tiga hari kejohanan, dengan melibatkan seramai 656 pemain dan pegawai pasukan, dibantu oleh 38 pegawai kejohanan. Antara pasukan yang mengambil bahagian termasuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Sarawak, serta wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pulau Pinang dan Sabah merupakan dua negeri yang tidak menghantar wakil bagi edisi kali ini. Hari pertama menyaksikan pasukan Johor, Selangor dan Terengganu membuka langkah kanan dalam perlawanan sulung masing-masing. Dalam kategori Wanita Terbuka, Selangor memberi amaran awal kepada pencabar apabila membelasah Sarawak 48-0 dalam perlawanan yang berlangsung seawal jam 8 pagi.  Aksi penuh keyakinan dan disiplin terserlah dalam setiap gerakan serangan Selangor yang tidak memberi ruang langsung kepada Sarawak untuk mencipta mata. Sementara itu, dalam kategori Lelaki Terbuka, juara bertahan Johor meneruskan momentum kejayaan apabila menundukkan Negeri Sembilan dengan keputusan 14-0. Kecekapan barisan belakang dan kekentalan pertahanan Johor menjadi pemisah ketara antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang berlangsung pada jam 9.03 pagi. Dalam kategori Bawah 21 Tahun Wanita, Johor sekali lagi mencuri tumpuan apabila membelasah Pahang 38-0. Kemenangan besar ini menjadi indikator awal bahawa skuad pembangunan negeri selatan itu berada dalam kelas tersendiri untuk edisi kali ini. Bagi tuan rumah Terengganu pula, semangat bermain di laman sendiri disalurkan dengan baik oleh skuad Lelaki Bawah 21 Tahun mereka yang berjaya menewaskan Melaka 27-7. Kejohanan ini turut menjadi pentas penting bagi pemilihan skuad kebangsaan ke Kejohanan Asia dan kelayakan ke temasya antarabangsa akan datang, termasuk peluang memburu emas di Sukan SEA yang kian hampir.  
25 Jul 25
66
Klinik Perubatan Wildan Rakan Penaja Terbaharu Terengganu FC
Klinik Perubatan Wildan Rakan Penaja Terbaharu Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Terengganu FC (TFC) terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuhkan aspek kesihatan dan kebajikan pemainnya apabila menjalin kerjasama strategik bersama Klinik Perubatan Wildan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerjasama itu dimeterai menerusi satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Klinik Perubatan Wildan dan TFC Sdn Bhd yang berlangsung di Hotel Grand Puteri, kelmarin. Menerusi memorandum tersebut, Klinik Perubatan Wildan komited untuk menyediakan pelbagai bentuk sokongan dengan nilai keseluruhan mencecah RM155,000. "Kerjasama yang diberikan oleh Klinik Perubatan Wildan ialah dalam bentuk peralatan fisioterapi, ubat-ubatan, pemeriksaan kesihatan dan khidmat panel penjagaan yang pastinya akan membantu dalam melancarkan lagi operasi TFC. "Seiring dengan kerjasama ini juga, Klinik Perubatan Wildan secara rasmi menyertai keluarga penaja Terengganu FC melalui Pakej Penajaan Silver. "Ia satu langkah signifikan dalam jalinan hubungan strategik antara sektor kesihatan dan industri bola sepak di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya, sebentar tadi. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli, Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah TFCSB positif dan yakin bahawa MoU itu mampu untuk memperkukuh penjenaam Klinik Perubatan Wildan. "Kami amat mengharapkan agar pakej ini bukan sahaja memberikan kelebihan dari sudut penjenamaan, tetapi juga meluaskan jaringan promosi Klinik Perubatan Wildan melalui platform rasmi dan aktiviti kelab di sepanjang musim, InsyaAllah. "Terima kasih diucapkan kepada Klinik Perubatan Wildan atas sokongan berterusan dalam memperkukuhkan aspek kesihatan dan kebajikan pasukan Terengganu FC," ujarnya. Hishamuddin berharap agar jalinan kerjasama itu akan terus berpanjangan dan berkembang dengan lebih berkesan. Dalam pada itu, TFC menyatakan kerjasama tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada para pemain TFC, menandakan sokongan penuh mereka terhadap inisiatif penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan profesional bagi memastikan prestasi optimum di dalam dan luar padang. "Kerjasama ini juga dijangka memberi impak yang signifikan terhadap prestasi dan kesejahteraan pemain dalam jangka masa panjang.  "Sejajar dengan visi TFCSB untuk terus melangkah ke hadapan sebagai kelab bola sepak yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan serantau," kata mereka dalam satu kenyataan, semalam.
24 Jul 25
84
Terengganu International Esport Showdown 2025 Platform Promosi Sukan Digital
Terengganu International Esport Showdown 2025 Platform Promosi Sukan Digital
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Kejohanan Terengganu International Esport Showdown 2025 menjadi platform dalam mempromosi budaya dan diplomasi sukan digital kepada semua peserta, khususnya pemain luar negara. Presiden Persatuan Esport Malaysia Terengganu (ESMT), Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani berkata, dengan mengetengahkan nilai 'Terengganu Hospitality' , acara ini diharap bakal mengisi kalendar pelancongan negeri. “Insha Allah, saya berharap kejohanan bertaraf antarabangsa ini akan dimasukkan ke dalam kalendar rasmi e-sukan antarabangsa,” katanya. Kejohanan berprestij ini merupakan edisi pertama kejohanan e-sukan antarabangsa yang dianjurkan di luar Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu dipilih sebagai lokasi penganjurannya. Seramai 504 peserta dari seluruh negara termasuk sembilan negara luar merangkumi Indonesia, Laos, Thailand, Brunei, Myanmar, Jepun, India dan Nigeria telah mengambil bahagian menjadikannya antara acara e-sukan terbesar di Malaysia setakat ini. Tiga permainan dipertandingkan merangkumi E-football, Mobile Legends Bang Bang (MLLB) dan PUBG Mobile.  Sementara itu, pemain e-sukan muda berbakat, Ahmad Muhaimin Abd Razak, 20, dari Selangor atau lebih mesra di sapa Minbappe mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Terengganu International Esport Showdown 2025, sekaligus membawa pulang hadiah utama bernilai RM10,000. Minbappe mempamerkan kehebatan luar biasa sepanjang kejohanan, menewaskan beberapa pemain profesional antarabangsa sebelum muncul juara mutlak. Kejayaan Ahmad Muhaimin menjadi bukti bahawa Malaysia mempunyai bakat muda yang mampu bersaing di pentas dunia menjadi satu petanda positif untuk masa depan e-sukan negara.
22 Jul 25
318
CEO : Penyokong Terengganu Perlu 'Trust The Process'
CEO : Penyokong Terengganu Perlu 'Trust The Process'
Hasrat penyokong untuk melihat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC masih tidak kesampaian apabila kelibatnya masih tidak kelihatan dalam sesi Dialog dan Soal Jawab Terengganu FC.
20 Jul 25
171
Terengganu Terus Komited Memperkasa Pembangunan Sukan
Terengganu Terus Komited Memperkasa Pembangunan Sukan
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memperkasa pembangunan sukan melalui pelbagai inisiatif di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) demi memastikan kelangsungan prestasi atlet dan kemudahan sukan yang mampan serta inklusif. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus MSNT yang dipengerusikannya pada Selasa lalu. Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tahun ini untuk melaksanakan beberapa projek penting, termasuk menaik taraf Litar Latihan MiniGP dan Pocket Bike, serta pembinaan baharu gelanggang futsal, pickleball dan sukan padel. “Pembangunan sukan di Terengganu bukan sahaja memberi fokus kepada atlet elit, malah turut merangkumi penyediaan infrastruktur yang memberi manfaat kepada pembangunan akar umbi dan generasi muda,” katanya menerusi satu kenyataan. Jelas beliau, pihaknya turut membincangkan persediaan awal kontinjen negeri bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARASUKMA Selangor 2026. Sehubungan itu katanya, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan dan segala perancangan akan dikemas kini secara berterusan. Tambahnya lagi, program sukan berprestasi tinggi bagi atlet Para juga akan dikendalikan oleh MSNT, sebagaimana arahan terkini daripada KBS. “Walaupun begitu, kerjasama erat bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) akan terus diperkukuh dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet para yang berpotensi. “Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan JBSNT atas sokongan berterusan mereka. “Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi persekutuan amat penting bagi memastikan Terengganu kekal cemerlang dalam bidang sukan dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan sukan negara,” katanya.
13 Jul 25
343
TFC Berbelanja Sederhana Hadapi Musim Baharu
TFC Berbelanja Sederhana Hadapi Musim Baharu
KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Terengganu FC (TFC) tampil sebagai sebuah pasukan yang berbelanja sederhana namun berjiwa besar dalam menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang bakal bermula Ogos ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, TFC sedang giat menjalani persiapan rapi menjelang sepak mula liga. “Tahun ini kita tampil sebagai pasukan ‘underdog’, berbelanja secara sederhana dan mengukur baju di badan sendiri. “Namun, semangat juang kita tetap tinggi. Sokongan daripada semua pihak amat diperlukan agar semangat ini terus menyala hingga ke penghujung musim,” katanya dalam satu hantaran di media sosial. Mengulas mengenai siri perlawanan pramusim yang sedang berlangsung, Hishamuddin menyifatkannya sebagai pentas penting untuk membina keserasian dari segi teknikal dan taktikal antara pemain. “Yang paling utama, pemain berjaya mendapatkan minit permainan yang mencukupi sebelum menghadapi saingan liga yang panjang. “Amat positif apabila ketua jurulatih memberi kepercayaan kepada pemain tempatan baharu seperti Baqiuddin Shamsudin dan Saiful Jamaluddin, termasuk pemain gantian, Khalaif Naskam. “Bagi pemain import, hanya seorang diturunkan dalam kesebelasan utama, manakala separuh masa kedua menyaksikan kemunculan pemain import baharu yang turut mempamerkan prestasi memberangsangkan,” katanya. Tambah beliau, aksi persahabatan kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) turut membuktikan bahawa TFC masih memiliki sokongan peminat yang kukuh, dengan kehadiran penonton yang memberangsangkan. “Ini memberi petanda positif bahawa fan base TFC masih kuat, dan saya amat menghargai kehadiran penyokong ke stadium. “Kita masih di fasa awal, dan cabaran sebenar akan bermula apabila liga bermula Ogos nanti. Pasukan memerlukan beberapa lagi aksi persahabatan bagi memperkukuh persediaan,” ujarnya. Beliau turut mengingatkan agar pasukan tidak memandang ringan kemampuan lawan, kerana setiap pasukan lain juga sedang melakukan persediaan rapi dan mampu memberikan saingan sengit.  
11 Jul 25
218
Dua Stadium Utama Terengganu Dalam Proses Penambahbaikan
Dua Stadium Utama Terengganu Dalam Proses Penambahbaikan
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Dua stadium utama negeri, iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), kini sedang menjalani proses penambahbaikan yang melibatkan aspek padang dan sistem pencahayaan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi SSMZA dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi SSINS. “Padang SSMZA kini berada dalam fasa akhir kerja menaik taraf sistem saliran, manakala rawatan rumput sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon,” katanya dalam kenyataan media hari ini. Menurut beliau, kerja menaik taraf sistem saliran dijangka siap sepenuhnya penghujung Julai ini, sementara kerja rawatan semula rumput padang sedang berjalan secara berfasa. Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan terhadap aspek pencahayaan lampu limpah di stadium tersebut. “Usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan tahap pencahayaan lampu limpah di SSMZA dapat dinaik taraf dan melepasi piawaian minimum ditetapkan. Kita mahu pastikan semua aspek teknikal memenuhi standard semasa,” jelasnya. Beliau memberi jaminan akan terus memantau perkembangan penyelenggaraan kedua-dua stadium tersebut agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk pembangunan sukan negeri. “Insya-Allah, saya akan berikan perhatian terbaik terhadap kedua-dua venue ini melalui pengurusan MSNT untuk SSMZA dan MBKT bagi SSINS. Sama-sama kita doakan semua urusan dipermudahkan oleh Allah SWT,” tambahnya. Mengulas perlawanan persahabatan pramusim antara Terengganu FC dan Penang FC yang berlangsung malam tadi di SSINS, Hishamuddin menyifatkannya sebagai penuh nostalgia buat penyokong setia bola sepak negeri. “Venue perlawanan di SSINS menggamit memori indah penyokong Terengganu. Kedudukan tempat duduk yang dekat dengan padang memberi keselesaan menonton dan suasana yang cukup nostalgik,” ujarnya.  
09 Jul 25
3742
10,000 ‘Y Suku’, ‘Y16’ Gegar Litar Gong Badak
10,000 ‘Y Suku’, ‘Y16’ Gegar Litar Gong Badak
Lebih 10,000 pemilik motosikal Yamaha Y15ZR (Y Suku) dan Yamaha Y16ZR (Y16) dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Gong Badak semalam sempena penganjuran Cara Geng Y Members 2.0 yang berlangsung dengan penuh meriah.
02 Jul 25
43