lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Badrul Tekad Perbaiki Komunikasi, Fokus Aksi Timbal Balik Di Kuching
Badrul Tekad Perbaiki Komunikasi, Fokus Aksi Timbal Balik Di Kuching
KUALA NERUS, 19 Oktober - Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali, bertekad memperbaiki kelemahan komunikasi dan organisasi pasukannya menjelang aksi timbal balik menentang Kuching City FC selepas tewas 1-4 dalam suku akhir pertama Piala FA Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. Mengakui kekalahan itu berpunca daripada kesilapan sendiri, Badrul menyifatkan perlawanan tersebut bukan malam terbaik buat pasukannya yang banyak melakukan kesilapan mudah di semua posisi. "Untuk perlawanan pada malam ini saya rasa bukan malam kita. Terlalu banyak kesilapan individu-individu, terlalu ghairah untuk menjaringkan gol dan kita lupa di belakang serta berlaku kesilapan komunikasi," katanya pada sidang media selepas perlawanan. Menurutnya, kecuaian itu mengakibatkan pertahanan TFC ditembusi dua kali dalam tempoh 10 minit pertama, sekali gus memberi kelebihan awal kepada Kuching City FC untuk mendominasi perlawanan. "Kita tahu pasukan Kuching mempunyai pemain yang berkualiti. Jadi kita dihukum dengan kesilapan-kesilapan yang kita buat untuk game pada malam ini," jelasnya kepada pemberita. Badrul turut menjelaskan bahawa anak buahnya sebenarnya menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua dengan memberikan tekanan kepada pasukan lawan, namun sekali lagi kesilapan individu menggagalkan usaha untuk bangkit. "Kalau kita tengok, kita memberi tekanan di separuh masa kedua tapi itu saya cakap kesilapan individu berlaku bila kita hendak menjaringkan gol, kalut untuk menjaringkan gol, kita lupa di belakang. Jadi mengakibatkan Kuching menjaringkan gol ketiga," katanya lagi. Mengulas mengenai persediaan menghadapi perlawanan timbal balik di Kuching pada 28 Oktober ini, Badrul menegaskan tempoh sepuluh hari akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperbaiki kelemahan pasukan. "Sudah tentu kita ada 'gap' dalam 10 hari ini dan kita ada 90 minit di Kuching. Kita akan buat yang terbaik. Apa kesilapan yang kita lakukan pada malam ni kita kena baiki, kita kena lupakan (kekalahan pada malam itu) dan kita cuba menyaingi Kuching di tempat lawan nanti," ujarnya dengan penuh tekad. Jurulatih skuad negeri itu turut menekankan aspek komunikasi sebagai isu paling ketara yang perlu diperbetulkan segera agar kesilapan sama tidak berulang. "Kalau kita tengok gol-gol yang Kuching jaringkan, komunikasi kita tidak tersusun dan disitu berlaku kesilapan. Saya harap pemain-pemain belajar pada malam ini, tidak boleh melakukan kesilapan apabila kita bertemu dengan pasukan Kuching," nyatanya. Dengan kekalahan besar di laman sendiri, TFC kini perlu menang sekurang-kurangnya dengan tiga jaringan tanpa bolos di Kuching bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.
19 Oct 25
94
TFC Tewas 4-1 Di Laman Sendiri
TFC Tewas 4-1 Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 18 Oktober - Harapan Terengganu FC (TFC) untuk membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik suku akhir kedua Piala FA Malaysia musnah apabila tewas 1-4 di tangan Kuching City FC (Kuching) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. Di hadapan hampir 10,000 penonton, skuad tuan rumah dikejutkan seawal minit kelapan apabila penyerang Kuching, Wanja Ronald Ngah, meledak gol pembukaan selepas berlaku kekalutan di hadapan gawang TFC. Kelekaan benteng TFC sekali lagi dihukum empat minit kemudian apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat. Wanja tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menambah jaringan, menjadikan kedudukan 2-0 dalam tempoh seawal 12 minit permainan. Kuching terus mendominasi permainan pada separuh masa pertama dengan serangan bertali arus, manakala barisan pertahanan TFC kelihatan bergelut mengekang asakan agresif oleh pasukan pelawat. Bersambung babak kedua, nasib malang TFC berterusan apabila Ahmad Danial Ahmad Asri menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga Kuching pada minit ke-52, menambah tekanan kepada tuan rumah. Walau bagaimanapun, TFC akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pemain import sensasi skuad negeri, Yann Kevin Mabella, pada minit ke-68 untuk menjadikan kedudukan 3-1. Keberhasilan jaringan sulung pasukan tuan rumah itu sekaligus memberikan harapan Dan suntikan tonik kepada TFC untuk menutup jurang mata yang ketara itu. Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pemain yang sama menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82 selepas tandukan tersasar masuk hasil sepakan penjuru Petrus Shitambi dari Kuching. Perlawanan berakhir dengan kemenangan besar Kuching City FC 4-1, memberikan kelebihan selesa buat skuad Kuching menjelang aksi timbal balik di Sarawak pada 28 Oktober ini.
18 Oct 25
44
Menteri Besar Santuni Pasukan Hoki Terengganu
Menteri Besar Santuni Pasukan Hoki Terengganu
Menteri Besar Terengganu hari ini menyantuni Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam satu majlis di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan skuad itu menjulang empat kejuaraan utama musim ini.
16 Oct 25
21
Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan
Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan
Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mencipta kegemilangan dalam sejarah sukan negara apabila berjaya menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia, Piala TNB dan Piala Tun Razak pada musim ini, sekaligus menjulang nama Terengganu sebagai kuasa besar hoki tanah air.
16 Oct 25
14
Menteri Besar Santuni Pasukan Hoki Terengganu
Menteri Besar Santuni Pasukan Hoki Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Menteri Besar Terengganu hari ini menyantuni Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam satu majlis di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan skuad itu menjulang empat kejuaraan utama musim ini. Majlis itu turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya, dan Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun, yang bersama-sama menyaksikan penyerahan piala kepada kepimpinan tertinggi negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kehadiran Menteri Besar bersama pemain-pemain THT memberi makna besar kepada seluruh keluarga hoki Terengganu. "Hari ini kita dapat bersama-sama dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menyampaikan piala yang telah dijulang oleh THT dalam kejohanan Piala Tun Razak tempoh hari. "Kehadiran Menteri Besar membuktikan bahawa kejayaan atlet negeri diraikan bukan hanya sebagai kemenangan sukan, tetapi sebagai kebanggaan seluruh rakyat Terengganu," katanya dalam sidang media seusai majlis penghargaan tersebut. Beliau menambah, majlis berkenaan diadakan sebagai lambang kasih dan penghargaan THT kepada kerajaan negeri yang sentiasa menyokong perjuangan mereka di gelanggang dan di luar padang. "Hari ini kita menyampaikan piala terus kepada Menteri Besar Terengganu sebagai suatu tanda ucapan terima kasih THT kepada pihak kerajaan negeri atas sokongan yang berterusan untuk persatuan hoki negeri. "Ia tanda penghargaan tulus pasukan kepada kepimpinan negeri yang tidak pernah jemu memberikan dorongan dan kepercayaan kepada mereka," tambahnya. Majlis itu menutup musim penuh gemilang buat THT dengan semangat kebersamaan yang menyentuh hati, sekali gus menjadikan kejayaan mereka bukan hanya milik pasukan, tetapi milik seluruh negeri yang bersatu di bawah panji Terengganu.  
15 Oct 25
93
Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan
Hoki Terengganu Ukir Sejarah, Julang Empat Kejuaraan
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mencipta kegemilangan dalam sejarah sukan negara apabila berjaya menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia, Piala TNB dan Piala Tun Razak pada musim ini, sekaligus menjulang nama Terengganu sebagai kuasa besar hoki tanah air. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan ini membuktikan bahawa usaha gigih pemain dan pengurusan THT membuahkan hasil luar biasa. "Hari ini kita dapat bersama-sama dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk menyampaikan piala yang telah dijulang oleh THT dalam kejohanan Piala Tun Razak tempoh hari. "Kemenangan itu melengkapkan koleksi empat kejuaraan utama musim ini yang amat membanggakan seluruh rakyat Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pasukan Hoki Terengganu Menjulang Trofi Bersama Menteri Besar Terengganu di Ruang Legar U2, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.  Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya, dan juga Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun. Beliau menambah, prestasi THT menggambarkan kejayaan kesinambungan pelan pembangunan sukan negeri yang memberi tumpuan kepada pembinaan bakat muda dan kekuatan pasukan secara berstruktur. "Saya secara peribadi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pemain-pemain THT, dan yang paling membanggakan dalam Razak Cup kali ini, ia dibarisi oleh pemain-pemain muda, itu sangat membanggakan pihak kerajaan," ujarnya. Hishamuddin turut menjelaskan bahawa pencapaian luar biasa ini tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil sokongan berterusan kerajaan negeri serta pengurusan yang cekap di bawah Persatuan Hoki Terengganu (PHT). "Hari ini kita menyampaikan piala terus kepada Menteri Besar Terengganu sebagai suatu tanda ucapan terima kasih THT kepada pihak kerajaan negeri atas sokongan yang berterusan untuk persatuan hoki negeri. "Sokongan dan kepercayaan daripada kerajaan negeri menjadi nadi utama kejayaan yang dikecapi oleh pasukan ini," tambahnya. Beliau turut memberi bayangan bahawa kerajaan negeri akan memperkenalkan pelbagai insentif baharu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan. "Insya-Allah ada inisiatif yang akan diberikan cuma buat masa sekarang ini tidak diumumkan lagi kerana masih terlalu awal," katanya.
15 Oct 25
1262
THT Pertahan Kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025
THT Pertahan Kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Juara treble liga hoki kebangsaan musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) sekali lagi membuktikan keampuhan mereka apabila menewaskan skuad hoki Pahang dengan keputusan 4-2, sekali gus merangkul kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025. Kejohanan edisi ke-63 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil semalam menyaksikan kegemilangan THT mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada musim lalu. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan membanggakan itu. “Tahniah diucapkan kepada pasukan hoki Terengganu (THT) atas kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025. Semoga terus cemerlang dan mengharumkan nama Terengganu di pentas hoki negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, semalam. Hishamuddin Pertemuan sengit antara dua skuad dari Pantai Timur itu menyaksikan THT mendominasi separuh masa pertama dengan jaringan 3-0. Gol pertama hadir melalui ledakan Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee sebelum minit ke-20, diikuti dua gol berturut-turut oleh bekas pemain skuad kebangsaan, Faizal Saari, yang mengukuhkan kedudukan pasukan. THT kemudian menambah jaringan keempat menerusi Darwisy Hamdan pada minit ke-36, sekaligus mengekalkan cengkaman ke atas pasukan lawan. Pasukan Pahang bagaimanapun berjaya merapatkan jurang apabila mereka merobek benteng pertahanan THT dan menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir, namun tetap tidak mampu menafikan kemenangan milik skuad Terengganu apabila wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 4-2 memihak kepada THT. Sumber: Malaysian Hockey Confederation (MHC) Jurulatih THT, Harfizi Baharom, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu petanda positif terhadap persiapan pasukan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan. “Masa depan nampak baik kerana kami ada lapan pemain muda yang bermain buat kali pertama dalam Piala Razak, dan mereka adalah sebahagian daripada skuad SUKMA tahun depan,” katanya seperti dilaporkan oleh New Straits Times (NST). Harfizi turut memuji keserasian antara pemain senior dan pemain muda yang menjadi antara faktor utama kemenangan pasukan. “Pemain-pemain muda ini bergabung dengan baik bersama pemain senior seperti Faizal, ketua pasukan Firhan Ashari dan lain-lain. Mereka bermain bersungguh-sungguh untuk membantu Terengganu mempertahankan kejuaraan,” ujarnya lagi. Sumber: Malaysian Hockey Confederation (MHC)  
12 Oct 25
364
Terengganu Terus Cemerlang Lahirkan Atlet Bertaraf Dunia - Timbalan Menteri
Terengganu Terus Cemerlang Lahirkan Atlet Bertaraf Dunia - Timbalan Menteri
KUALA NERUS, 12 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiktiraf kehebatan atlet negeri Terengganu yang sentiasa mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa menerusi bakat dan pencapaian berprestasi tinggi. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, berkata Terengganu sememangnya terkenal sebagai negeri yang kaya dengan bakat serta semangat juang luar biasa, melahirkan ramai ikon sukan negara sejak dahulu lagi. “Nama-nama besar seperti Nazmizan Mohamad, pelari pecut kebanggaan negara yang pernah beraksi di pentas Olimpik Athens 2004 berasal dari Dungun. Dari daerah yang sama juga lahir wira dunia digelar ‘The Pocket Rocketman’, Dato’ Azizulhasni Awang, yang menjadi simbol kejayaan sukan berbasikal dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia. “Kedua-dua tokoh ini membuktikan bahawa Terengganu tidak pernah kering dalam melahirkan juara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim. Adam Adli turut menzahirkan ucapan tahniah kepada generasi baharu anak Terengganu yang meneruskan legasi kecemerlangan tersebut, antaranya Qabil Irfan Azlan yang mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol ESBK Talent 2025. Selain itu, beliau berkata, Muhammad Hakim Danish Ramli bakal mencipta detik bersejarah apabila membuat penampilan sulung di Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2025 dalam kelas Moto3, yang dijadual berlangsung hujung Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang. Dalam pada itu, Adam Adli turut memuji pencapaian atlet wanita Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, yang beberapa kali dinobatkan sebagai ‘Ratu Pecut’ di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). “Kejayaan mereka semua membuktikan bahawa dengan disiplin, latihan berterusan dan semangat kental, anak muda Malaysia mampu mengangkat nama negara di persada dunia,” ujarnya.  
12 Oct 25
85
Peruntukan RM2.3 Juta Perkukuh Ekosistem Sukan
Peruntukan RM2.3 Juta Perkukuh Ekosistem Sukan
KUALA NERUS, 12 oktober - Dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan di Negeri Terengganu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan RM2.3 Juta yang melibatkan lima projek pembangunan meliputi naik taraf dan projek terbaharu. Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, beberapa projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan bagi memastikan infrastruktur sukan di Terengganu di tahap terbaik. "Dalam ucapan Perdana Menteri semasa Pembentangan Belanjawan 2026 semalam, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah turun ke setiap negeri bagi memahami keutamaan pembangunan sukan di peringkat negeri. "Hasil libat urus tersebut turut diambil kira dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk cadangan naik taraf infrastruktur dan kemudahan sukan di Stadium Hoki Kuala Terengganu,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim. Mengulas lebih lanjut, Adam Adli berkata keseluruhan inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh kemudahan sukan di negeri ini, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti. "Peningkatan aktiviti ekonomi setempat dan penyertaan rakyat dalam gaya hidup aktif selaras dengan aspirasi Malaysia Madani," ujarnya.
12 Oct 25
54
BCPP FC Juara Piala YB ADUN Batu Rakit 2025
BCPP FC Juara Piala YB ADUN Batu Rakit 2025
KUALA NERUS, 11 Oktober – Pasukan Bukit Cempaka Pasir Putih (BCPP FC) menamatkan penantian hampir tiga dekad apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala YB ADUN Batu Rakit 2025, setelah menewaskan DABARA FC 2-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu baru-baru ini. Kejayaan ini merupakan gelaran pertama BCPP FC dalam kejohanan tersebut sejak kali terakhir mara ke perlawanan akhir pada tahun 2000. Skuad kendalian Mohd Hasraf Hussein, tampil konsisten sepanjang kejohanan dengan rekod tanpa kekalahan selepas melepasi peringkat kumpulan. Dalam aksi akhir yang penuh debaran, BCPP FC membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Affendi seawal minit ke-23, sebelum DABARA FC menyamakan kedudukan melalui Muhammad Alauddin pada minit ke-35. BCPP FC kembali di hadapan menerusi jaringan Muhammad Azhar pada minit ke-40, namun DABARA FC sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-50. Gol kemenangan BCPP FC akhirnya hadir melalui Muhammad Aqil, yang memastikan pasukannya menjulang piala berprestij ini dengan keputusan akhir 2-3. Antara penyokong yang hadir, Nurul Hafiza Ghazali, 36, meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan pasukan kesayangannya. “Saya sangat terharu pasukan saya dapat pergi sejauh ini, walaupun orang lain lihat kami hanya pasukan underdog,” ujarnya.
11 Oct 25
50