KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Terengganu FC (TFC) tampil sebagai sebuah pasukan yang berbelanja sederhana namun berjiwa besar dalam menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang bakal bermula Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, TFC sedang giat menjalani persiapan rapi menjelang sepak mula liga.
“Tahun ini kita tampil sebagai pasukan ‘underdog’, berbelanja secara sederhana dan mengukur baju di badan sendiri.
“Namun, semangat juang kita tetap tinggi. Sokongan daripada semua pihak amat diperlukan agar semangat ini terus menyala hingga ke penghujung musim,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Mengulas mengenai siri perlawanan pramusim yang sedang berlangsung, Hishamuddin menyifatkannya sebagai pentas penting untuk membina keserasian dari segi teknikal dan taktikal antara pemain.
“Yang paling utama, pemain berjaya mendapatkan minit permainan yang mencukupi sebelum menghadapi saingan liga yang panjang.
“Amat positif apabila ketua jurulatih memberi kepercayaan kepada pemain tempatan baharu seperti Baqiuddin Shamsudin dan Saiful Jamaluddin, termasuk pemain gantian, Khalaif Naskam.
“Bagi pemain import, hanya seorang diturunkan dalam kesebelasan utama, manakala separuh masa kedua menyaksikan kemunculan pemain import baharu yang turut mempamerkan prestasi memberangsangkan,” katanya.
Tambah beliau, aksi persahabatan kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) turut membuktikan bahawa TFC masih memiliki sokongan peminat yang kukuh, dengan kehadiran penonton yang memberangsangkan.
“Ini memberi petanda positif bahawa fan base TFC masih kuat, dan saya amat menghargai kehadiran penyokong ke stadium.
“Kita masih di fasa awal, dan cabaran sebenar akan bermula apabila liga bermula Ogos nanti. Pasukan memerlukan beberapa lagi aksi persahabatan bagi memperkukuh persediaan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan agar pasukan tidak memandang ringan kemampuan lawan, kerana setiap pasukan lain juga sedang melakukan persediaan rapi dan mampu memberikan saingan sengit.
