KEMAMAN, 1 Oktober - Peringkat keempat Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman bukan sahaja menyajikan saingan sengit , malah turut meninggalkan kenangan indah buat pelumba pasukan Polti VisitMalta, Manuel Penalver yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
Beliau menyifatkan laluan dalam persaingan tersebut sejauh 141.5 kilometer membuatkannya terpesona dan menyifatkan Terengganu merupakan laluan yang tercantik dalam pengalamannya menyertai acara berbasikal di peringkat dunia.
"Sangat cantik sepanjang laluan pantai, dapat dinikmati keindahannya dalam cuaca yang baik.
"Lebih menyeronokkan penonton bersorak untuk kami sepanjang perlumbaan dan ia benar-benar merupakan sebuah tempat yang menarik,"ujarnya ketika ditemui pihak media, di sini.

Katanya, seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan Terengganu sekiranya melihat pemandangan dari atas melalui sisi pandang dron.
"Ia akan dapat dilihat lebih indan dan cantik.
"Selepas ini kami tidak berbasikal, dan akan ambil kesempatan untuk menikmati pemandangan yang cantik ini sebelum menghadapi perlumbaan seterusnya,"katanya.
