lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

2,766 Rumah SPNB Siap Dibina
2,766 Rumah SPNB Siap Dibina
KEMAMAN, 29 September - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM504 juta bagi pembinaan 5,450 buah Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara, tahun ini.  Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat Ogos lalu, sebanyak 2,766 unit rumah telah siap dibina, 1,310 unit sedang dalam pembinaan manakala 1,374 unit lagi sedang dalam proses untuk diserahkan kepada kontraktor.  "Sejak SPNB diletakkan dibawah seliaan KPKT pada 2018, usaha penyelarasan inisiatif perumahan rakyat menjadi lebih bersepadu dan berkesan dan sehingga kini, sebanyak 73,167 unit RMR telah siap dibina di seluruh negara.  "RMR yang dilengkapi tiga bilik ini bernilai RM75,000 yang mana kita memberikan subsidi RM20,000 untuk setiap rumah yang dibina dan pemilik hanya perlu membayar kira-kira RM300 sebulan dalam tempoh 16 tahun," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat kepada 11 pemilik dan Sijil Penghargaan kepada sembilan kontraktor di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru di Kemasik, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah. Menurut Aiman Athirah, program RMR merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan kepada rakyat yang berpendapatan RM5,000, dengan syarat pemilik memiliki tanah.  Katanya, sehingga Julai, SPNB mererima sebanyak 182,208 permohonan untuk program RMR.  "Daripada jumlah itu, 117,000 adalah permohonan yang telah lengkap dan 73,354 telah diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.  "Sebanyak 65,000 permohonan lagi dalam proses pendaftaran serta semakan sebelum disenaraikan untuk kelulusan," katanya.  Sementara itu, Wan Sukairi berkata, Kerajaan Negeri Terengganu akan terus memainkan peranan dengan penuh komitmen dan berkesan dalam menjalin kerjasama erat bersama SPNB bagi memastikan kesejahteraan rakyat melalui peluang memiliki rumah sendiri. “Terima kasih buat SPNB yang sentiasa memberi komitmen dalam meyediakan rumah berkualiti dan mampu milik buat rakyat di Terengganu. “Sehingga 31 Ogos lalu, SPNB telah menyiapkan 10,254 unit RMR di negeri ini dan secara keseluruhan 72,167 unit di seluruh negara,” ujarnya. Beliau mengharapkan, dengan adanya rumah ini, para penerima dapat menikmati kehidupan lebih selesa, sejahtera dan terus membina masa depan yang lebih baik bersama keluarga.  
29 Sep 25
147
UMT Tawar Tiga Program Baharu Bagi Sesi Akademik 2025 2026
UMT Tawar Tiga Program Baharu Bagi Sesi Akademik 2025 2026
KUALA TERENGGANU, 29 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan tiga program baharu mulai sesi akademik 2025/2026. Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, tiga program baharu tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree). “Penawaran program baharu ini selaras dengan keperluan semasa negara dan dijangka dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi elektrik dan maritim pada masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Dalam pada itu, beliau memaklumkan, UMT menerima seramai 2,105 pelajar baharu bagi kemasukan sesi akademik 2025/2026, melibatkan 36 program pengajian di bawah tujuh fakulti.  “Daripada jumlah tersebut, seramai 15 orang merupakan pelajar antarabangsa yang datang dari pelbagai negara termasuk Maldives, India, Indonesia, Bangladesh, Sudan, Tanzania, Timor-Leste dan Kenya bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda,” ujarnya. Katanya, proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8 pagi semalam berjalan lancar seperti yang dirancang.  “UMT sentiasa bersedia menyambut kehadiran pelajar baharu dengan menyediakan kemudahan penginapan yang mencukupi, selain keperluan asas lain termasuk bilik pengajaran dan pembelajaran, makmal moden serta kafe yang selesa bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin sepanjang tempoh pengajian. “Bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan dilaksanakan mulai 28 September hingga 4 Oktober ini,” ujarnya. Tambah beliau, selain kampus induk di Kuala Nerus, UMT turut mempunyai kampus kedua di Bukit Kor, Marang yang akan memulakan kuliah pada 5 Oktober ini.  “Kampus tersebut menempatkan seramai 332 pelajar bagi mengikuti tiga program pengajian di bawah Fakulti Sains Makanan dan Agroteknologi melibatkan 28 kursus pengajian.  “Segala kemudahan kuliah dan makmal pengajaran di kampus tersebut juga telah disediakan sepenuhnya untuk kegunaan pelajar baharu,” ujarnya.  
29 Sep 25
80
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
Kerajaan Terengganu menyambut baik pengisytiharan hari Sabtu sebagai Hari Cuci Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan dengan melaksanakan aktivti gotong royong bersepadu yang diadakan serentak seluruh negara.
28 Sep 25
282
Karnival Berakit 5.0 Hidupkan Warisan Sungai & Semangat Patriotisme
Karnival Berakit 5.0 Hidupkan Warisan Sungai & Semangat Patriotisme
Hampir 250 peserta dari empat mukim menyemarakkan Karnival Berakit 5.0 yang berlangsung di Dataran Sheikh Abdul Qahar, Kampung Dusun, bermula 25 hingga 27 September.
28 Sep 25
42
6,000 Rakyat Terengganu Sertai Hari Cuci Malaysia
6,000 Rakyat Terengganu Sertai Hari Cuci Malaysia
KUALA TERENGGANU, 28 September – Seramai 6,000 peserta membanjiri Pantai Batu Buruk sempena Hari Cuci Malaysia 2025 bersempena World Cleanup Day 2025 peringkat negeri Terengganu yang berlangsung semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu diadakan secara serentak di seluruh negara dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, syarikat pembersihan, sektor perumahan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat umum. “Tujuannya adalah untuk melaksanakan aktiviti gotong royong bersepadu yang merangkumi pembersihan kawasan sekitar, menutup tapak sampah haram, serta menggerakkan kempen kitar semula. “Pada masa yang sama, ia mendidik orang ramai supaya lebih peka terhadap pengurangan penggunaan plastik sekali guna,” jelasnya. Beliau menegaskan, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan aspek kebersihan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti terus terjamin. Menariknya, program kali ini turut disertai pihak swasta seperti RD Paper dan Sally Global yang membuka booth e-waste dan booth belian minyak masak terpakai di kawasan tapak perasmian. Sambutan orang ramai amat menggalakkan, menunjukkan kesedaran semakin meningkat terhadap kitar semula bahan terbuang. Untuk rekod, setiap 1 kilogram minyak masak terpakai dibeli dengan harga RM2.50 bagi menggalakkan orang ramai menyumbang bahan terpakai tersebut untuk dijana semula menjadi tenaga boleh diperbaharui seperti biodiesel.    
28 Sep 25
634
MBKT Sita Palang Haram di Pulau Warisan
MBKT Sita Palang Haram di Pulau Warisan
KUALA TERENGGANU, 28 September - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil tindakan terhadap pemasangan palang parkir yang didirikan tanpa kebenaran pihak majlis di kawasan Pulau Warisan dalam operasi yang dijalankan malam tadi. Jurucakap MBKT memaklumkan, perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). "Sehubungan itu, pihak majlis memohon pemilik untuk mengalih atau merobohkan besi (palang) tersebut dengan segera," ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi MBKT, hari ini. Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk sumber rasmi MBKT bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat. Terdahulu, isu pemasangan palang automatik di Pulau Warisan tular baru-baru ini ekoran didapati dipasang tanpa sebarang permohonan dan kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.  Bertindak atas aduan orang ramai, MBKT mengeluarkan notis kesalahan serta mengarahkan supaya peralatan tersebut dialihkan segera.
28 Sep 25
2511
Kuala Terengganu Kuasai Gelanggang Silat SUTERA 2025 dengan Kutipan Emas Terbanyak
Kuala Terengganu Kuasai Gelanggang Silat SUTERA 2025 dengan Kutipan Emas Terbanyak
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kontinjen Kuala Terengganu mengukuhkan reputasi sebagai kuasa besar dalam arena silat apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan pingat emas terbanyak dalam acara silat tanding pada Sukan Terengganu (SUTERA) 2025. Daripada lebih 10 kelas yang dipertandingkan, kontijen Kuala Terengganu berjaya mengungguli beberapa kategori utama termasuk Kelas A (Putra), Kelas C (Putra), Kelas F (Putra), Kelas Bebas (Putra), Kelas B (Putri) serta Kelas Bebas (Putri), menjadikan daerah itu mendahului senarai pungutan pingat emas.  Antara penyumbang utama kejayaan Kuala Terengganu ialah Muhammad Faris Aiman Husin (Kelas A Putra), Muhammad Najmi Ruslan Mohammad Rozaki (Kelas C Putra), Muhammad Daim Fakhri Mohd Asri (Kelas F Putra) serta Muhammad Adam Syukri Omar (Kelas Bebas Putra).  Turut menyumbang emas dalam kategori wanita ialah Nurul Ain Husna Razali (Kelas B Putri) dan Farah Fariena Mohd Zaih (Kelas Bebas Putri). Pencapaian ini membolehkan Kuala Terengganu meninggalkan cabaran Kemaman, Dungun serta Kuala Nerus yang turut mengutip pingat emas Secara keseluruhan, Kuala Terengganu muncul juara dengan kutipan enam pingat emas, diikuti Kemaman di tempat kedua dengan empat emas. Dungun dan Kuala Nerus pula masing-masing menamatkan saingan dengan dua emas, manakala Setiu dan Marang sekadar meraih satu emas. Selain kelas rasmi, terdapat beberapa kelas tambahan yang tidak dipertandingkan dalam temasya SUTERA 2025 tetapi tetap dianjurkan bagi memberi peluang penyertaan lebih luas. Bagi acara tambahan, kemenangan dicatatkan oleh Muhd Zakwan Zamri dari Kuala Terengganu dalam Kelas I Putra, manakala Kelas J Putra dimenangi Muhammad Hisyam Syahabudin Abdul Rahman dari Kemaman. Sementara itu, Muhammad Syawal Muhaimin Shishammudin, juga dari Kemaman, muncul juara dalam Kelas Bebas Putra. Dalam kategori wanita pula, emas acara tambahan menjadi milik Wan Nur Fatimah Isyrafina Wan Ahmad Amli dari Kuala Terengganu bagi Kelas D Putri, manakala Siti Norbatrisyia Putri Mohd Hizam dari Kemaman menjuarai Kelas F Putri. Acara tambahan ini diadakan sebagai nilai tambah dan tidak diambil kira dalam pengiraan kutipan pingat keseluruhan.
27 Sep 25
252
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan Terengganu menyambut baik pengisytiharan hari Sabtu sebagai Hari Cuci Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan dengan melaksanakan aktivti gotong royong bersepadu yang diadakan serentak seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  program tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Katanya, Hari Cuci Malaysia yang telah dilaksanakan sempena 'World Cleanup Day 2025' telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya di seluruh negara. "Program ini bukan sekadar aktiviti mengutip sampah, tetapi ia adalah manifestasi semangat kesukarelawanan rakyat untuk bersama-sama memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran. "Ia selaras dengan usaha kerajaan negeri yang sentiasa menekankan pentingnya nilai kebersihan, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik dalam kehidupan seharian. "Kita percaya bandar yang bersih dan indah bukan hanya mencerminkan imej negeri, tetapi turut memberi keselesaan kepada masyarakat serta menarik kehadiran pelancong," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Cuci Malaysia 2025, Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Wan Sukairi turut menyeru agar semua pihak sama ada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta mahupun orang awam terus berganding bahu menjayakan program inisiatif kebersihan. "Kerana kebersihan ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau PBT sahaja, tetapi ia merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap lapisan masyarakat. "Budaya menjaga kebersihan perlu diamalkan setiap hari dengan memastikan buang sampah di tempatnya, kurangkan penggunaan plastik sekali guna, menyokong kitar semula, sehinggalah menyertai program kesukarelawanan seperti yang kita jayakan pada pagi ini," ujarnya.  
27 Sep 25
714
Pemenang Pertandingan Video Kreatif Perarakan Bot Merdeka 2025 Terima Penghargaan
Pemenang Pertandingan Video Kreatif Perarakan Bot Merdeka 2025 Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 26 September – Seramai tujuh orang peserta telah menerima penghargaan dalam satu Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif sempena Perarakan Bot Merdeka 2025 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang menyertai pertandingan tersebut. "Tahniah kepada semua pemenang dan peserta Pertandingan Video Kreatif sempena Perarakan Bot Merdeka 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang telah menunjukkan kreativiti masing-masing. "Insya-Allah, program ini akan diteruskan setiap tahun sebagai platform untuk mencungkil bakat rakyat Terengganu serta menyemarakkan semangat cintakan tanah air," katanya dalam satu hantaran Facebooknya. Menurut beliau, penganjuran pertandingan itu telah diusahakan bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Hadir sama, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Ajijan dalam menyempurnakan majlis tersebut. Pertandingan yang bertemakan "Semarak Merdeka, Jiwa Patriotik" itu terbuka kepada rakyat Terengganu berumur 18 tahun ke atas, dengan syarat penyertaan hanya satu video bagi setiap peserta berdurasi 1 hingga 3 minit, menggunakan format ditetapkan dan resolusi minimum 1080p. Hadiah yang ditawarkan termasuk wang tunai RM500 untuk pemenang pertama, RM300 bagi tempat kedua, RM200 bagi tempat ketiga serta saguhati RM100 untuk empat pemenang.
26 Sep 25
53
Kemaman, Hulu Terengganu Juara Bola Tampar SUTERA 2025
Kemaman, Hulu Terengganu Juara Bola Tampar SUTERA 2025
KUALA NERUS, 26 September - Pasukan Kemaman (Lelaki) dan Hulu Terengganu (Wanita) masing-masing muncul juara acara bola tampar Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 selepas menundukkan lawan pada perlawanan akhir yang berlangsung di UniSZA, hari ini. Dalam kategori lelaki, Kemaman melakar kemenangan dramatik 3–2 ke atas Setiu pada perlawanan akhir sebelah petang. Pasukan itu bermula garang dengan menguasai dua set awal, sebelum Setiu bangkit menyamakan kedudukan.  Namun, Kemaman berjaya menoktahkan kemaraan Setiu sekali gus memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas memuktamadkan set penentuan lantas dinobatkan sebagai juara. Terdahulu pada aksi separuh akhir sebelah pagi, Kemaman menewaskan Dungun 3–0, manakala Setiu menundukkan Besut dengan keputusan 3–0. Bagi kategori wanita, Hulu Terengganu membuktikan keampuhan apabila menewaskan Dungun 3–0 dalam aksi akhir, sekali gus membawa pulang gelaran juara. Hulu Terengganu mara ke pentas akhir selepas menewaskan Besut 3–0 pada separuh akhir, manakala Dungun menyingkirkan Kemaman 3–2. Sementara itu, Besut meraih gangsa dalam acara wanita selepas menundukkan Kemaman pada penentuan tempat ketiga dan keempat. Acara bola tampar SUTERA 2025 yang berlangsung pada hari keempat temasya ini menyaksikan pertarungan penuh semangat daripada atlet daerah, kini tiba di penghujungnya. Anjuran dwi tahunan kali ketiga itu, SUTERA 2025 yang mempertandingkan 13 acara dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula selasa lalu bakal melabuhkan tirai penutup pada 27 September 2025 ini.
26 Sep 25
35