lightning-solid
Berita :
MB Terengganu Kutuk Kekejaman Israel, Dua Anak Jati Negeri Antara Aktivis Ditahan
MB Terengganu Kutuk Kekejaman Israel, Dua Anak Jati Negeri Antara Aktivis Ditahan
Noraini Jusoh
02 Oct 25
184

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan kemanusiaan.

Katanya, tindakan tidak berperikemanusiaan itu sekali lagi memperlihatkan sikap angkuh rejim Zionis terhadap undang-undang dunia.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis yang ditahan serta mendoakan agar kapal-kapal lain yang masih dalam perjalanan dapat selamat tiba ke Gaza dan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang sedang menderita.

"Solidariti kita bersama rakyat Palestin tidak akan pernah goyah. Doa, sokongan dan tekanan masyarakat dunia adalah kunci untuk memastikan misi kemanusiaan ini berjaya," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sekitar jam 8 pagi waktu Malaysia, seramai 12 orang rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa lain telah disekat dan ditahan oleh rejim Israel sejak 2 pagi tadi waktu Malaysia ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Antara aktivis Malaysia yang ditahan, termasuklah dua anak jati Terengganu iaitu Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Ruysdi Ramli, yang telah bersama-sama menyertai misi bersejarah ini demi membela nasib rakyat Palestin," ujarnya.

Untuk perkembangan terkini berhubung misi ini, orang ramai boleh merujuk laman rasmi Global Sumud Flotilla melalui media sosial mereka.

 


 


Artikel Berkaitan