lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Penamatan Subsidi Cetus Semula Masalah Bekalan Beras Tempatan
Penamatan Subsidi Cetus Semula Masalah Bekalan Beras Tempatan
KUALA TERENGGANU, 9 September – Penamatan Program Subsidi Beras Putih Tempatan (BPT) pada 31 Ogos lalu kembali mencetuskan masalah bekalan di pasaran apabila pengedar dan pembekal tidak lagi mampu mengekalkan harga runcit RM2.60 sekilogram tanpa sokongan kerajaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, keadaan itu menyebabkan penghantaran beras terhenti dan BPT mula menghilang semula dari pasaran. “Bukan kerana beras tempatan tidak laku, tetapi kerana mekanisme subsidi yang berakhir pada 31 Ogos lalu membuatkan pembekal kembali berada dalam dilema dan ketidakpastian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini. Beliau menjelaskan, program subsidi berjumlah RM150 juta yang diumumkan kerajaan pada Februari lalu dilaksanakan bagi menstabilkan harga BPT pada RM2.60 sekilogram selama enam bulan. “Program ini menyasarkan pengeluaran 24 juta kampit beras, dengan kerajaan membayar RM6.25 bagi setiap kampit. “Manfaat langsung hanya diperoleh oleh pengilang, pembungkus dan pengedar BPT, manakala petani serta pesawah tidak menerima apa-apa faedah. “Sepanjang enam bulan, pengguna mendapat manfaat apabila BPT kembali mudah didapati di pasaran,” jelasnya. Dr. Azman menegaskan, pendekatan subsidi bersifat sementara tidak mampu menjadi penyelesaian konkrit kepada isu beras negara.
09 Sep 25
145
Dr Sam Jumpa Johari, Perkukuh Kerjasama
Dr Sam Jumpa Johari, Perkukuh Kerjasama
KUALA TERENGGANU, 9 September - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengunjungi Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian untuk mengukuhkan kerjasama strategik. Dr. Ahmad Samsuri berkata, pihaknya telah mewakili Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) untuk memberikan taklimat semasa mengenai yayasan tersebut. "Taklimat (diberikan) kepada YB Menteri mengenai peranan dan inisiatif YPASM dalam bidang penyelidikan, pemuliharaan alam sekitar serta kerjasama strategik ke arah kelestarian sumber asli negara. "Semoga pertemuan ini menjadi pemangkin kepada hubungan strategik yang lebih erat pada masa depan," ujarnya melalui satu kenyataan melalui facebooknya, hari ini. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga penaung YPASM bertitah kedudukan Malaysia di tangga 36 daripada 200 negara dalam penerbitan kertas saintifik merupakan bukti pencapaian dan sumbangan dalam memahami bumi ini. "Bagaimanapun, beta ingin menekankan bahawa untuk memastikan penyelidikan berkembang maju di Antartika, kita perlu memahami rangka kerja dasar yang merangkumi peruntukan tahunan untuk menyokong usaha-usaha penyelidikan di Antartika secara berterusan. "Dengan minat yang semakin meningkat terhadap penyelidikan dalam perubahan iklim yang berkaitan dengan kawasan kutub, dana penyelidikan yang mampan penting bagi mengukuhkan program penyeludukan kutub kita," titah baginda ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia (MISA) di Bangi.  Pada majlis itu juga, Sultan Mizan turut berkenan menganugerahkan geran penyelidikan berjumlah RM800,000 kepada tujuh penyelidik melalui kerjasama inisitif perkongsian pintar atara YPASM dan 10 universiti tempatan.
09 Sep 25
112
Kerajaan Negeri Perkenal Peranan ‘Abang Angkat’ Perkukuh Suara Mahasiswa
Kerajaan Negeri Perkenal Peranan ‘Abang Angkat’ Perkukuh Suara Mahasiswa
Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk terus mendengar serta memenuhi suara mahasiswa melalui pelbagai saluran, termasuk dengan memperkenalkan peranan abang angkat sebagai orang tengah dalam menyampaikan pandangan dan keperluan pelajar.
08 Sep 25
27
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
Kerajaan Terengganu merancang pelbagai inisiatif sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi menyemarakkan lagi rasa cinta umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
08 Sep 25
37
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar amalan bacaan rawi, marhaban dan berzanji kembali dihidupkan secara meluas di masjid, surau, institusi pendidikan serta majlis-majlis komuniti di seluruh negeri.
08 Sep 25
33
Projek Solar RM800 Juta Di Setiu Masuki Fasa Pelaksanaan
Projek Solar RM800 Juta Di Setiu Masuki Fasa Pelaksanaan
KUALA TERENGGANU, 7 September – Projek Ladang Solar Skala Besar (LSS) bernilai RM800 juta di Setiu kini melangkah ke fasa pelaksanaan selepas menerima kelulusan rasmi daripada Suruhanjaya Tenaga. Selepas lebih setahun di peringkat perancangan, projek berimpak tinggi itu disahkan apabila konsortium JAKS Power Holdings menerima dua Surat Pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga pada 2 September lalu. Menurut perancangan, konsortium berkenaan bersama rakan strategik dari China, China Power Engineering Consulting Group International Engineering Co. Ltd (CPEEC) akan membangunkan dua loji solar berkapasiti 99.99MW setiap satu di Setiu, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 200MW. “Bagi tujuan tersebut, sebuah syarikat tujuan khas akan ditubuhkan untuk menandatangani perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB),” jelas JAKS seperti dilaporkan NST. Projek ini akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank. Pada Julai 2024, anak syarikat kerajaan negeri, TDM-YT Plantation Sdn. Bhd., telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JAKS Solar Power Holdings Sdn. Bhd. bagi membangunkan ladang solar di Lembah Bidong. Projek tersebut melibatkan pelaburan RM800 juta di kawasan seluas 700 hektar dengan kapasiti 200MW. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan projek itu sebagai langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, selain memperkukuh kedudukan Terengganu dalam agenda tenaga boleh baharu negara. Pengerusi TDM-YT Plantation, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, sebelum ini menjangkakan kerjasama tersebut mampu memberi pulangan tetap sekitar RM1 juta setahun kepada syarikat berkenaan. Beliau juga optimis projek itu bakal membuka peluang kepada rakyat tempatan dalam aspek pekerjaan, keusahawanan serta latihan kemahiran, seiring aspirasi negeri ke arah pembangunan mapan.
08 Sep 25
298
SG4 Angkat Isu Palestin Ke Pentas Antarabangsa
SG4 Angkat Isu Palestin Ke Pentas Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 7 September – Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) yang akan berlangsung pada 14 September di BDB Hotel & Suites, Jitra, Kedah dijangka menjadi pentas penting mengangkat isu Palestin ke perhatian dunia Islam. Program anjuran State Government 4 (SG4) yang dianggotai Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis itu bakal menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, sarjana, aktivis kemanusiaan serta NGO antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, forum ini akan membina jaringan strategik merentas sempadan.  "MUNIF 2025 ini bakal menghimpunkan para pemimpin gerakan Islam, sarjana dan aktivis kemanusiaan, serta NGO antarabangsa di bawah satu platform strategik. "Matlamat dan fokus utama forum ini ialah memperkukuhkan sinergi kerja dan kolaborasi strategik antara pertubuhan Islam antarabangsa, khususnya di rantau Asia Tenggara," katanya ketika Sidang Media Pra-Pelancaran MUNIF 2025 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Menurut beliau, Palestin menjadi agenda utama kerana ia menyentuh perasaan umat Islam sejagat.  "Bagi tahun ini, fokus kita ialah kepada isu pembebasan Baitul Maqdis dan juga isu penindasan ke atas rakyat Palestin di Gaza. "Justeru, saya menyeru kepada NGO-NGO dan juga individu yang prihatin terhadap isu ini untuk sama-sama memberikan sokongan dan dokongan," ujar beliau. MUNIF 2025 turut menegaskan tiga agenda utama iaitu menyelamatkan Gaza daripada kezaliman Zionis, membebaskan Masjid Al-Aqsa serta mempertahankan kedudukan Baitulmaqdis, dan merangka tindakan segera yang praktikal.  "Strateginya merangkumi empat aspek: kemanusiaan dengan bantuan segera, diplomasi melalui gerakan politik antarabangsa, ekonomi menerusi boikot berkesan dan dana ummah, serta media bagi melawan propaganda Zionis dengan naratif benar," tegas beliau. Muhammad Khalil menjelaskan, penyertaan peserta luar negara akan memperkukuhkan solidariti serantau.  "Kita jangkakan kehadiran peserta dari luar negara seperti dari negara-negara ASEAN, khususnya negara berdekatan seperti Indonesia, Selatan Thailand, Filipina, Sri Lanka, termasuk juga Turki, Pakistan dan Bangladesh.  "Sekurang-kurangnya, kita mengambil satu pendekatan untuk terus memberikan kesedaran kepada masyarakat dan umat Islam tentang isu besar dunia Islam," tambahnya. Beliau menegaskan forum ini bukan sekadar wacana simbolik, sebaliknya usaha praktikal menghidupkan perjuangan Palestin.  "Supaya kita sentiasa hidupkan isu ini dengan pelbagai program.  "MUNIF 2025 adalah simbol kebangkitan solidariti umat Islam untuk Al-Aqsa, Gaza dan Palestin," ujarnya. Forum ini dianjurkan Pertubuhan Pencinta Baitulmaqdis dengan penganjuran bersama Kerajaan Negeri SG4 serta kerjasama NGO termasuk Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia, Yayasan Isra’, Cakna Palestin, Yayasan Permata Ummah dan I-Aware.
07 Sep 25
82
Rumah Botol Terima Sentuhan Baru
Rumah Botol Terima Sentuhan Baru
SETIU, 7 September - Rumah botol Ayahku yang terletak di Kampung Penarik di sini terus memikat sebagai tarikan pelancongan unik Setiu malah tampil lebih berseri dengan sentuhan warna baharu oleh pelajar Universiti Management & Science (MSU) Kampus Kota Bharu. Pemiliknya, Tengku Mohd Ali Tengku Mansor, 81, atau lebih mesra dipanggil Ayahku berkata, rumah kayu yang dihiasi ribuan botol kaca itu kini tampil berwarna-warni selepas disapu cat baharu sekali gus mengembalikan seri rumah yang saban hari menjadi tumpuan pengunjung dari pelbagai negeri. Katanya, kerja mengecat semula menggunakan empat warna utama iaitu hijau, merah, kuning dan biru bagi menyerikan semula bahagian dinding serta hiasan botol kaca yang tersusun di sekeliling rumah. Jika sebelum ini sebahagian cat mulai pudar, kini botol kaca yang tersusun kemas tampak lebih bersinar di bawah cahaya matahari menjadikan rumah kayu itu ibarat sebuah karya seni yang hidup kembali. Ayahku mengakui, walaupun rumah itu tidak pernah putus dikunjungi orang ramai, sentuhan pelajar berkenaan memberi makna lebih besar kerana ia menghidupkan kembali semangatnya menjaga kediaman unik itu. “Ramai orang singgah bergambar, ada yang datang dari jauh semata-mata nak tengok sendiri rumah ini. Tapi bila pelajar sanggup datang beramai-ramai, cat semula sampai lewat petang, saya rasa rumah ini benar-benar dihargai. “Bila tengok warnanya jadi terang balik, saya sendiri rasa macam semangat saya pun hidup semula. Dulu nampak lusuh, sekarang bila orang datang singgah pun hati saya rasa lebih bangga,” katanya seperti yang dipetik Utusan. Kehadiran pelajar MSU itu juga seakan membawa 1001 senyuman, bukan sahaja kepada pemilik rumah malah kepada penduduk setempat yang melihat suasana gotong-royong meriah di halaman rumah ikonik tersebut. Sejak pagi lagi, suara gelak tawa pelajar ini bergema sambil tangan masing-masing sibuk memegang berus cat, menjadikan rumah botol itu kembali ceria dengan sentuhan generasi muda. Pelajar Diploma Reka Bentuk Grafik, Nik Harris Danial Nik Mohd Yusoff, 20, berkata mereka mahu menjadikan rumah botol itu terus kekal sebagai ikon pelancongan Setiu dengan wajah yang lebih menarik. “Walaupun seharian berpanas dari pagi hingga petang, rasa penat terus hilang bila melihat hasilnya begitu memuaskan,” katanya. Sementara itu, pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Nur Syafiqah Athirah Mohd Syafizal, 21, berkata pengalaman tersebut memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga warisan komuniti. “Rumah ini bukan sekadar hiasan botol tapi juga menjadi simbol kreativiti Ayahku. Bila kami dapat bantu, kami rasa sebahagian daripada ceritanya juga,” ujarnya. Suasana sekitar rumah turut berubah apabila warna ceria pada dinding dan hiasan botol menjadikannya lebih ‘instagrammable’ malah mengundang rasa teruja pengunjung yang singgah bergambar.
07 Sep 25
735
Terengganu Perkukuh Aspirasi Bandar Pintar Melalui Tomorrow City Shanghai
Terengganu Perkukuh Aspirasi Bandar Pintar Melalui Tomorrow City Shanghai
CHINA, 6 September – Kerajaan Negeri Terengganu menyertai Tomorrow City Shanghai, acara tahunan bertaraf antarabangsa yang membincangkan hala tuju pembangunan bandar pintar di Shanghai, China.  Delegasi Terengganu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah bersama Setiausaha Bahagian Kerajaan Terengganu, Datuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu. Menurut Wan Sukairi, penyertaan tiga hari pada 2 hingga 4 September lepas memberi peluang besar untuk bertukar pandangan dan mempelajari pengalaman negara lain. "Banyak elemen bandar pintar boleh disesuaikan di Terengganu mengikut lokasi, iklim dan populasi. Insya-Allah pengalaman sepanjang menyertai program ini akan diterjemahkan dalam dasar negeri,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa Terengganu telah melaksanakan beberapa inisiatif bandar pintar, termasuk pemasangan sistem pemantauan CCTV serta pusat arahan setempat di MBKT. "Kita akan menambah bilangan CCTV di Kemaman dan Kuala Terengganu, sebelum diperluas ke daerah lain,” jelasnya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu, TPr Dr Abu Bakar Mat, pula menyifatkan Tomorrow City Shanghai sebagai platform penting memperkukuh jaringan antarabangsa. “Sesi ini membuka peluang perbincangan terus bersama vendor bandar pintar, selain memperluas kerjasama dengan negara seperti Hong Kong dan Korea. Malah, China turut menunjukkan kesediaan untuk membantu,” ujarnya. Selain pembangunan bandar pintar, delegasi Terengganu turut mengambil kesempatan memperkenalkan potensi pelancongan negeri. “Selepas sesi pembentangan, ramai yang berminat mengetahui keindahan Terengganu. Ini juga membantu mempromosikan Smart City Activation Day anjuran PlanMalaysia@Terengganu,” tambah Dr Abu Bakar. Dalam perkembangan sama, PlanMalaysia Terengganu dijadualkan menganjurkan Terengganu Smart City Activation Day 2025 pada 14 Oktober ini di Duyong Convention Centre, The Langit Duyong Marina Resort yang bakal menghimpunkan pemain industri bagi membincangkan strategi dan hala tuju bandar pintar di negeri ini. Penyertaan Terengganu dalam Tomorrow City Shanghai diyakini menjadi pemangkin penting dalam merealisasikan aspirasi negeri ke arah bandar pintar berdaya huni, inklusif dan mampan.
05 Sep 25
1147
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
KUALA TERENGGANU, 5 September – Kerajaan Terengganu merancang pelbagai inisiatif sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi menyemarakkan lagi rasa cinta umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepelbagaian program yang bakal dilaksanakan itu bukan sahaja bertujuan memperkasa minda dan intelek, malah berperanan menyemai kesejahteraan jiwa dalam kalangan masyarakat negeri ini. “Kita akan teruskan pendekatan dakwah melalui penyampaian ilmu dan tarbiah, di samping melaksanakan kaedah yang lebih menyeluruh serta berkesan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah peringkat negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis tersebut bagi menyempurnakan perasmian sambutan. Keberangkatan baginda berdua turut diiringi Menteri Besar bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri. Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.  
05 Sep 25
129