KUALA TERENGGANU, 26 September – Seramai tujuh orang peserta telah menerima penghargaan dalam satu Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif sempena Perarakan Bot Merdeka 2025 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang menyertai pertandingan tersebut.

"Tahniah kepada semua pemenang dan peserta Pertandingan Video Kreatif sempena Perarakan Bot Merdeka 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang telah menunjukkan kreativiti masing-masing.
"Insya-Allah, program ini akan diteruskan setiap tahun sebagai platform untuk mencungkil bakat rakyat Terengganu serta menyemarakkan semangat cintakan tanah air," katanya dalam satu hantaran Facebooknya.

Menurut beliau, penganjuran pertandingan itu telah diusahakan bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Hadir sama, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Ajijan dalam menyempurnakan majlis tersebut.

Pertandingan yang bertemakan "Semarak Merdeka, Jiwa Patriotik" itu terbuka kepada rakyat Terengganu berumur 18 tahun ke atas, dengan syarat penyertaan hanya satu video bagi setiap peserta berdurasi 1 hingga 3 minit, menggunakan format ditetapkan dan resolusi minimum 1080p.
Hadiah yang ditawarkan termasuk wang tunai RM500 untuk pemenang pertama, RM300 bagi tempat kedua, RM200 bagi tempat ketiga serta saguhati RM100 untuk empat pemenang.