KUALA TERENGGANU, 29 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan tiga program baharu mulai sesi akademik 2025/2026.
Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, tiga program baharu tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree).

“Penawaran program baharu ini selaras dengan keperluan semasa negara dan dijangka dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi elektrik dan maritim pada masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, UMT menerima seramai 2,105 pelajar baharu bagi kemasukan sesi akademik 2025/2026, melibatkan 36 program pengajian di bawah tujuh fakulti.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 15 orang merupakan pelajar antarabangsa yang datang dari pelbagai negara termasuk Maldives, India, Indonesia, Bangladesh, Sudan, Tanzania, Timor-Leste dan Kenya bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda,” ujarnya.

Katanya, proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8 pagi semalam berjalan lancar seperti yang dirancang.
“UMT sentiasa bersedia menyambut kehadiran pelajar baharu dengan menyediakan kemudahan penginapan yang mencukupi, selain keperluan asas lain termasuk bilik pengajaran dan pembelajaran, makmal moden serta kafe yang selesa bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin sepanjang tempoh pengajian.
“Bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan dilaksanakan mulai 28 September hingga 4 Oktober ini,” ujarnya.
Tambah beliau, selain kampus induk di Kuala Nerus, UMT turut mempunyai kampus kedua di Bukit Kor, Marang yang akan memulakan kuliah pada 5 Oktober ini.
“Kampus tersebut menempatkan seramai 332 pelajar bagi mengikuti tiga program pengajian di bawah Fakulti Sains Makanan dan Agroteknologi melibatkan 28 kursus pengajian.
“Segala kemudahan kuliah dan makmal pengajaran di kampus tersebut juga telah disediakan sepenuhnya untuk kegunaan pelajar baharu,” ujarnya.