KEMAMAN, 20 Ogos – Air Terjun Janda Mandi di Kijal yang terkenal dengan keunikannya kerana aliran air terus jatuh ke laut bakal dijadikan tarikan pelancongan baharu di Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha itu akan dibangunkan melalui konsep Community Based Tourism (CBT) dengan penglibatan masyarakat setempat.
“Air Terjun Janda Mandi ini cukup unik dan hanya ada satu di negara kita. Insya-Allah, kita akan majukan tempat ini bersama penduduk supaya keindahan alamnya terus terpelihara.
“Air Terjun Janda Mandi setinggi 80 hingga 90 meter itu terletak di Bukit Kijal, berhampiran Pantai Teluk Kalong. Lokasinya boleh dicapai melalui dua cara, sama ada berjalan kaki merentasi trek bukit atau menaiki bot,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Kawasan Air Terjun Janda Mandi, Bukit Kijal semalam.
Razali berkata, walaupun laluan sudah ditambah baik, pengunjung tetap disarankan mendapatkan khidmat penunjuk arah daripada penduduk kampung memandangkan trek agak licin dan berbahaya sekiranya bersendirian.
“Selain keindahan alam semula jadi, air terjun ini turut menyimpan kisah misteri turun-temurun. Menurut cerita orang kampung, nama 'Janda Mandi' berasal daripada kisah seorang wanita, isteri kepada nakhoda yang meninggal dunia ketika belayar.
“Wanita itu dikatakan turun mandi di air terjun berkenaan sebelum ghaib secara misteri. Sehingga kini, kisah tersebut kekal menjadi bualan penduduk, malah ada nelayan tempatan mendakwa pernah terlihat kelibat seorang wanita mandi di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata, gabungan keindahan semula jadi dan kisah unik itu mampu menjadikan Janda Mandi sebagai produk pelancongan ikonik baharu di negeri ini.
“Pelancongan bukan hanya tentang pemandangan, tetapi juga cerita di sebaliknya. Dengan penglibatan penduduk kampung, saya yakin Janda Mandi akan menjadi tarikan istimewa di Kijal,” ujarnya.
