KUALA NERUS, 20 Ogos – Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Syeikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, membuka lembaran baharu buat skuad Penyu dengan komitmen membawa bola sepak negeri ke tahap lebih profesional di samping memberi impak terhadap ekonomi rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB itu menzahirkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah yang memberi kepercayaan untuk beliau menerajui kelab gergasi Pantai Timur itu.
"Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah TFCSB kerana telah memberi saya peluang untuk menerajui Terengganu FC (TFC).
"Saya mengharapkan pengalaman saya dalam bidang korporat di dalam dan luar negara akan memberi sesuatu yang baharu kepada negeri Terengganu, bukan sahaja kepada pasukan bola sepak, tetapi juga dalam menaikkan taraf ekonomi rakyat Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ice Power dan TFCSB yang dimeterai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan kesepakatan bersama Ahli Lembaga Pengarah untuk memperkukuh tahap bola sepak negeri secara profesional.
"Saya punyai persetujuan dengan Ahli Lembaga Pengarah adalah untuk menaikkan taraf standard bola sepak negeri Terengganu secara profesionalisme.
"Banyak yang perlu kita baiki, dari segi infrastruktur, nilai komersial, dan juga kedudukan kewangan,” jelas beliau.
Dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, beliau optimis mampu membawa perubahan besar kepada TFC dan seluruh penyokongnya.
"Daripada itu saya punya harapan dari pengalaman-pengalaman saya berada di luar akan membawa bola sepak negeri Terengganu kepada satu tahap yang lebih tinggi selepas ini," ujarnya.