KUALA NERUS, 24 Ogos – Bermula tahun hadapan, semua pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) akan mula menggunakan tablet dalam sesi pembelajaran sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menerapkan digitalisasi menuju agenda Pendidikan Sejahtera 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata langkah ini bagi memastikan sekolah milik kerajaan negeri sentiasa seiring dengan arus pendidikan perdana.
“Bermula awal tahun depan, semua pelajar baharu SMIDI akan dibekalkan tablet kerana kita mahu memanfaatkan teknologi maklumat (IT) semaksimum mungkin dalam proses pembelajaran.
“Bagi Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), kita akan memperkenalkan asas-asas IT dengan menyiapkan makmal IT di setiap sekolah. Walaupun tidak diwajibkan pada peringkat awal, namun di SMIDI penggunaan makmal IT adalah wajib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtima’ Warga Pendidik JPINT di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pihak pengurusan sekolah turut perlu bersiap sedia menyediakan infrastruktur dan kelengkapan bagi memastikan penggunaan teknologi dapat dimaksimumkan.
Mengulas lanjut, Satiful berkata usaha ini diharap memberi manfaat besar kepada pelajar dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan negeri.
“Selain itu, kita juga mahu memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sahaja di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tetapi juga di sekolah milik kerajaan negeri.
“Langkah ini termasuk mewujudkan kelas sains tulen agar sekolah-sekolah di bawah JPINT tidak ketinggalan,” ujarnya.