KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menegaskan bahawa setiap rakyat miskin atau kaya berhak mendapat pembelaan sewajarnya apabila berdepan dengan undang-undang dan bukan sekadar terikat kepada jenama baharu atau pindaan undang-undang yang bersifat kosmetik.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 di Dewan Rakyat tengah hari semalam, beliau memberi peringatan agar semangat asal Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) tidak diketepikan.
Prinsip asasnya kata beliau adalah memberikan akses percuma kepada keadilan buat rakyat yang tidak berkemampuan tetapi dengan kualiti perkhidmatan guaman yang terjamin.
Beliau membangkitkan beberapa kebimbangan berhubung rang undang-undang baharu itu yang dilihat memberikan kuasa terlalu besar kepada Menteri daripada penetapan kadar bayaran peguam panel fi permohonan sehingga tindakan disiplin tanpa mekanisme semak dan imbang yang bebas.
“Besarnya kuasa menteri ini. Mengapa tidak diletakkan di bawah satu badan bebas Bagaimana kita mahu menjamin ketelusan” soal beliau.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran mengenakan fi ke atas pemohon bantuan guaman sedangkan tujuan asal undang-undang ini ialah membantu rakyat miskin.
“Ini langkah yang agak regresif. Rakyat tidak kisah soal rebranding. Apa yang penting mereka mahu tahu sama ada mereka akan benar-benar mendapat pembelaan sewajarnya, ” tegasnya.
Selain itu beliau menuntut ketelusan dalam mekanisme ujian kemampuan (means test) agar ia mengambil kira realiti kos sara hidup dan pendapatan boleh guna rakyat bukannya sekadar angka pendapatan kasar.
Beliau turut menekankan kepentingan kualiti perkhidmatan guaman dalam panel yang dilantik.
Beliau mencadangkan supaya latihan guaman berkala unit audit kualiti guaman dan garis panduan kelayakan peguam termasuk peguam syarie diwajibkan sebagaimana amalan sedia ada di bawah YBGK.
“Jangan sampai panel peguam sekadar masuk untuk dapatkan elaun tetapi tanggungjawab guaman dibuat ala kadar, ” katanya sambil menggesa kerajaan memperincikan kadar bayaran peguam panel mengikut tahap kes termasuk kes berat seperti kes bunuh dan hukuman mati.
Beliau juga menimbulkan persoalan berhubung prosedur rayuan di bawah Seksyen 67 yang boleh membuka ruang pihak lawan merayu membatalkan bantuan guaman yang diberikan kepada pemohon sesuatu yang dilihat bertentangan dengan semangat keadilan sosial.
Che Mohamad Zulkifly menegaskan bahawa undang-undang ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai perubahan teknikal tetapi menyentuh soal prinsip bahawa semua rakyat berhak mendapat pembelaan di mahkamah tanpa campur tangan politik.
“Pastikan roh asal YBGK dikekalkan iaitu akses rakyat miskin kepada peguam yang percuma berkualiti telus dan bebas daripada pengaruh politik, ” katanya