lightning-solid
Berita :
100 Tahun Pengakap Terengganu: Seabad Membina Generasi
100 Tahun Pengakap Terengganu: Seabad Membina Generasi
Noraini Jusoh
03 Sep 25
20

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu bakal meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya tahun hadapan, menandakan satu abad perjalanan sejak ditubuhkan pada tahun 1926. 

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Shahrul Azwan Mohamad@Endut berkata, sambutan tersebut bakal menjadi detik bersejarah dalam mengangkat kembali warisan dan pencapaian gerakan pengakap di negeri ini.

Menurut beliau, kepengakapan mula bertapak di Tanah Melayu sekitar awal abad ke-20, bermula di kawasan Pantai Barat sebelum berkembang ke negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu. 

“Pada tahun 1926, gerakan ini diperkenalkan di Negeri Terengganu hasil usaha pendidik dari luar, termasuk dari Singapura. Mereka membawa bersama semangat dan metodologi pendidikan pengakap, bukan sahaja untuk mengisi masa lapang pelajar, tetapi juga sebagai pelengkap kepada kurikulum pendidikan formal.

“Antara individu penting dalam memperkenalkan gerakan ini di Terengganu ialah Mr. A.J. Gracle, yang diiktiraf sebagai Pengasas Pengakap Negeri Terengganu pada tahun 1926.

“Seterusnya, gerakan ini terus diperkukuhkan oleh barisan Pesuruhjaya dan Ketua Pesuruhjaya yang menerajui kepimpinan pengakap negeri sehingga kini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Sekolah Sultan Sulaiman, sebagai institusi pendidikan Melayu terawal di Terengganu, turut memainkan peranan penting dalam percambahan awal pengakap di negeri ini. 

“Sebagai sekolah yang menempatkan ramai pelajar lelaki dari pelbagai latar belakang, ia menjadi pusat strategik bagi memperkenalkan budaya kepengakapan kepada generasi muda.

“Kini, selepas satu abad, Pengakap Negeri Terengganu kekal relevan dalam mendidik generasi muda melalui program berteraskan kepimpinan, khidmat masyarakat, kemahiran hidup dan kesukarelawanan,” ujarnya.

Tambah beliau, bersempena sambutan 100 tahun, antara acara kemuncak yang akan dianjurkan ialah Jambori Antarabangsa Terengganu (TIJ 100) pada 17-21 Disember 2025, di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus yang bakal menghimpunkan 10,000 ahli pengakap dari dalam dan luar negara.

“Sambutan 100 tahun ini bukan sahaja mengenang jasa dan pengorbanan tokoh terdahulu, tetapi juga akan menjadi titik tolak untuk memperkukuhkan lagi peranan pengakap Terengganu dalam melahirkan generasi yang berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran globalisasi serta era digital,” katanya.
 


Artikel Berkaitan