KEDAH, 14 September – Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat Kali Ke-10 (2025) mencatat sejarah penting apabila menjadi yang terakhir sebelum DHPP dimartabatkan setaraf dengan Dewan-Dewan utama PAS.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan dasar Islam yang diperjuangkan PAS meraikan kepelbagaian dan peranan sahabat bukan Muslim dalam usaha membina negara yang adil, sejahtera dan berkebajikan.
“Insya-Allah, dengan langkah tersusun dan amanah yang digalas, PAS bersama DHPP akan terus memimpin Malaysia ke arah pentadbiran berteraskan integriti, kebajikan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya.
Beliau yang merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat Kali Ke-10 (2025) yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ahmad Amzad hadir sebagai pemerhati bersama Ahli Parlimen Kapar merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Halimah Ali, mewakili PAS Pusat.
Konvensyen bertemakan “DHPP Teguh Menyulam Perpaduan” itu turut diserikan dengan ucapan pimpinan PAS dan DHPP, antaranya Naib Presiden PAS merangkap Penasihat DHPP Pusat, Datuk Idris Ahmad, serta Ketua DHPP Pusat, Balasubramaniam Nachiappan.
DHPP kini memiliki keanggotaan seramai lebih 78,000 ahli di seluruh negara, menjadikannya platform penting dalam mengukuhkan hubungan PAS dengan masyarakat bukan Muslim.
Ahmad Amzad turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur yang telah bekerja keras menjayakan konvensyen ini serta menyeru agar DHPP terus memperkukuhkan keyakinan masyarakat bukan Islam, menjadi jambatan penghubung dengan perjuangan PAS.
“Insya-Allah, dengan langkah tersusun dan amanah yang digalas, PAS bersama DHPP akan terus memimpin Malaysia ke arah pentadbiran berteraskan integriti, kebajikan dan kesejahteraan untuk semua,” tambahnya.