lightning-solid
Berita :
PSKT- UniSZA Bina Produk Makanan Sihat
PSKT- UniSZA Bina Produk Makanan Sihat
Mohd Irsyadi Abu Bakar
14 Sep 25
1135

KUALA TERENGGANU, 14 September - Usaha Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam mewujudkan rantaian makanan sihat perlu disokong sebaiknya.

Antara yang menjadi tumpuan kini adalah pembangunan pelbagai produk hiliran berasaskan ubi keledek vitato.

Ketua Penyelaras Unit Pemasaran Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA, Dr Zarizal Suhaili menyifatkan, kerjasama yang dibangunkan mampu menawarkan manfaat besar kepada masyarakat.

"Menerusi kerjasama PSKT, apa yang kita dapat adalah pendedahan luas bagi setiap kepakaran yang dipindahkan yang mana apa-apa penyelidikan yang kita usahakan dapat dikembangkan kepada komuniti.

"Dalam projek ini, mereka wujudkan tapak untuk penyediaan kita punya sistem fertigasi, membolehkan kita laksanakan penanam 1,000 beg ubi vitato dalam keluasan setengah ekar tanah.

"Ini prototaip pertama kami dengan pembenihan bermula awal bulan Jun lalu yang mana kita telah tuai sebahagiannya sebanyak 30 kilogram," katanya ketika ditemui dalam program jualan sempena Kejohanan Terengganu Pushbike Cup 2025 di perkarangan PSKT, semalam. 

Tambahnya, hasil tuaian sepenuhnya dijangka mampu mencapai sekitar 500 kg.

Selain itu, projek tersebut turut dijayakan dengan kerjasama pemain industri iaitu Warisan Kayana Group Sdn Bhd dalam usaha memastikan produk yang dihasilkan mampu bersaing dalam pasaran.

"Kini kita terdedah dengan makanan segera, namun untuk imbangi keadaan ini kita cuba wujudkan konsep makanan segera dengan kandungan yang sihat melalui produk dari ubi keledek vitato ini.

"Cabarannya besar, namun kita perlu cuba dapatkan pihak industri yang boleh keluarkan snek dengan kandungan sihat sebagaimana produk-produk pembangunan yang dikeluarkan universiti.

"Kerjasama ibu bapa, universiti, komuniti dan industri mampu meletakkan keutamaan generasi masa depan kepada pemakanan yang sihat," katanya.

 


Tag :

Artikel Berkaitan